Bekas pelacur mahu lupakan kisah silam

Bekas pelacur mahu lupakan kisah silam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP manusia terdedah kepada kesilapan dan keterlanjuran, sama ada sengaja atau tidak. Dan sebaik-baik insan yang melakukan kesilapan itu ialah mereka yang segera bertaubat kepada Allah dan menyesali segala apa yang dilakukan.

Pun begitu sebagai insan biasa-biasa, bukan mudah untuk kembali ke pangkal jalan.

Sebaliknya, mereka perlu sentiasa diberi semangat dan keyakinan bahawa masih ada jalan untuk pulang dan mendapat keampunan daripada Allah SWT.

Minggu ini saya kongsikan kisah Meme (bukan nama sebenar), seorang bekas pelacur yang kini sudah insaf dan mahu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Kata Meme dalam pertemuan yang diatur baru-baru ini, dia tidak berniat untuk membuka aib sendiri, tetap jalur hidupnya harus dijadikan pengajaran kepada wanita lain.

Bagaikan babak dalam drama, begitulah kisah hidup Meme.

“Ketika dan saat ini, saya tidak mengharap apa-apa, sebaliknya hanya mahukan kehidupan tenang bersama insan-insan tersayang.

“Saya melakukan banyak dosa kepada ibu dan adik-adik Sehingga kini, ibu tidak mengetahui apakah pekerjaan yang saya lakukan sebelum ini untuk menyara keluarga,” tutur Meme bernada kesal.

Episod hitam hidup Meme bermula selepas bapanya berkahwin lain dan meninggalkan mereka sekeluarga.

Kata Meme, ketika itu ibu adalah orang yang paling terkesan dengan perbuatan bapa.

“Ibu kemurungan berbulan-bulan lamanya. Saya terpaksa mengambil alih urusan rumahtangga. Menguruskan ibu yang kesihatannya tidak menentu, selain dua adik yang masih kecil,” ceritanya.

Meme yang ketika itu berada di Tingkatan Tiga memilih untuk berhenti sekolah bagi memberi tumpuan kepada keluarga.

Menceritakan penglibatan awalnya, dalam aktiviti pelacuran, Meme berkata segalagalanya bermula selepas dia berhijrah ke Kuala Lumpur.

Jiwa remaja Meme rapuh dan goyah. Dalam usia muda, dia tidak mampu menanggung beban berseorangan.

Ketika itulah, dia didatangi Hanna, (bukan nama sebenar) seorang kakak senior ketika di sekolah menengah menghulurkan bahu untuk dia bercerita.

Hanna yang telah keluar dari kampung dan bekerja di Kuala Lumpur itu banyak membantu dan memberi kata-kata semangat kepadanya.

Selepas dipujuk, Meme mengambil keputusan mengikut Hanna ke Kuala Lumpur.

“Saya tidak berniat lari daripada tanggungjawab. Ketika itu saya hanya berfikir saya perlukan pekerjaan untuk mendapatkan wang bagi menyara ibu dan adik-adik,” katanya berterus terang.

Episod hidupnya bermula selepas menjejaki kota metropolitan.

Seminggu, dua minggu, hampir sebulan dia makan, tidur sahaja di rumah sewa Hanna. Pekerjaan dijanjikan belum nampak di depan mata.

Sehinggalah pada suatu hari, dia dibawa Hanna ke sebuah kelab hiburan.

Awalnya terkejut dan menolak, namun sedikit demi sedikit Meme mula seronok dan terikut dengan gaya hidup Hanna dan akhirnya mengheretnya ke lembah hina.

Meme mula ketagih dengan gaya hidup baru.

“Hanna ajar saya macam-macam. Buat itu, ini dan perkenalkan orang itu ini.

“Ternyata hanya dengan melayan lelaki, saya mendapat wang dengan mudah. Wang itu jugalah saya hantar ke kampung untuk perbelanjaan ibu dan adik-adik,” katanya.

Sambung Meme, dia mula insaf selepas Hanna terlibat dalam kemalangan maut pada penghujung 2018.

Ketika itu perasaannya bercampur baur. Takut, sedih dan bimbang.

Dia nekad berhenti dan meninggalkan pekerjaan terkutuk itu.

Kata Meme, dia tidak rela selama-lamanya menjadi pelacur sebaliknya ingin kembali hidup seperti biasa dan kembali ke pangkuan keluarga.

Menyambung cerita kata Meme, disebalik kehidupan gelap yang dilalui sepanjang 15 tahun, dia ada keinginan untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

Perasaan insaf tidak pernah padam, malah semakin menebal setiap kali memikirkan usia yang semakin lanjut, selain soal kematian.

Allah itu Maha Baik. Ternyata ketika dia memasang niat untuk bertaubat, Hanif, (bukan nama sebenar) hadir dalam hidupnya.

Hanif merupakan salah seorang anggota paramedik di hospital swasta .

“Kami bertemu ketika saya menziarahi jenazah Hanna di hospital. Saya tidak menyangka pertemuan kali pertama itu membawa kepada hubungan kami sebagai suami isteri sehingga ke hari ini,” katanya sebak.

Sambung Meme, lelaki itu banyak membuka ruang untuknya kembali ke pangkal jalan.

“Sebelum memulakan hubungan serius , saya berterus terang kepada Hanif, siapa saya sebenarnya.

“Alhamdulilah, ternyata Hanif menerima saya seadanya. Awal Julai ini genap tiga tahun kami mendirikan rumahtangga,’’ ujarnya.

Sejak memutuskan untuk berhenti dari dunia pekerjaan terkutuk itu dan memilih untuk mendirikan rumahtangga, perkara pertama Meme mahu lakukan adalah menjaga ibu dan adikadiknya.

Disaat membicarakan tentang ibunya, Meme dilihat mengalirkan air mata kerana mengenangkan nasib ibunya.

Dari situ, saya membaca ada perasaan tersembunyi dalam dirinya.

“Sejujurnyasaya benar-benar sedih kerana gagal menjadi anak yang baik. Sehingga ke hari ini, kondisi kesihatan ibu masih tidak pulih sepenuhnya

“Insya-Allah, sebagai anak saya sedaya upaya berbakti kepada ibu selagi masih bernafas. Saya bersyukur, kerana Allah masih pinjakan ibu untuk saya di dunia ini,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Sesungguhnya, bertaubat kepada Allah SWT, menurut pandangan Islam adalah satu usaha wajib yang dilakukan setiap individu.

Kesalahan kepada Allah tidak dapat dirawat melainkan orang yang melakukan kesalahan itu memohon ampun kepadaNya.

Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya. (Surah Toha, ayat 82).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×