SOALAN
SAYA selalu tak kena di mata suami. Situasi itu menyebabkan saya selalu menjadi mangsa kemarahannya.
Pantang salah di matanya, cepat sahaja dia naik tangan. Penat saya berusaha untuk memenuhi keperluannya dalam mengurangkan
kemarahannya, namun tetap juga begitu. Perlukah saya bertahan dalam perhubungan ini?
ISTERI DERITA
JAWAPAN
Memiliki keluarga bahagia pasti menjadi idaman setiap pasangan berkahwin. Anak yang baik, suami penyayang adalah anugerah bagi insan bergelar isteri. Namun begitu, bukan semua individu bernasib baik dalam menjalani bahtera rumah tangga.
Pasti ada pasang surut yang kadangkala menggugat hati dan perasaan.
Saya memahami apa yang dirasai puan. Perlu ke bertahan dengan perhubungan begini?. Saya yakin, bukan senang untuk puan berhadapan dengan suami panas baran dan kaki pukul.
Berada dalam perhubungan yang penuh ketegangan dan kemarahan sangat memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental.
Berikut beberapa langkah boleh dipertimbangkan dalam menangani hal ini:
Keselamatan – Setiap kali pergolakan berlaku, pastikan puan dan anak-anak selamat. Jika terdapat tanda-tanda kekerasan fizikal seperti
ancaman yang bakal memberi kemudaratan, segera cari perlindungan seperti menghubungi pihak berkuasa atau tempat perlindungan.
Sumber sokongan – Dapatkan bantuan dan sokongan daripada ahli keluarga atau rakan yang boleh dipercayai. Berkongsi dengan meluahkan perasaan dirasai, dapat mengurangkan bebanan yang puan dirasai.
Bantuan profesional – Pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor perkahwinan. Mereka boleh membantu puan dan
suami mencari jalan mengatasi masalah kemarahan dan memperbaiki masalah yang kalian hadapi.
Membuat pertimbangan- Sekiranya tindakan yang disarankan ini masih tidak berubah, puan boleh mempertimbangkan sejauh manakah perhubungan ini perlu dikekalkan. Apakah kesan terhadap kesejahteraan fizikal dan mental puan dan anak-anak. Tanya diri puan, masih ada harapankah untuk suami berubah atau sejauh mana keinginan suami untuk membantu mengubah sikapnya demi keluarga tersayang.
Berdoa – Mendekatkan diri kepada Allah. Yakinlah bahawa seandainya dia milik puan, dia pasti akan kembali ke pangkal jalan. Selalu mendoakan suami agar dia dapat mengubah diri untuk keluarga.
Membuat keputusan yang bijak- Kadangkala, meninggalkan perhubungan toksik mungkin merupakan langkah terbaik untuk memastikan kesejahteraan jangka panjang puan dan anakanak. Ini adalah keputusan yang sangat peribadi dan harus dibuat dengan pertimbangan sebaik
mungkin.
Tidak mudah membuat keputusan menghadapi perhubungan toksik, namun kesihatan dan kesejahteraan puan dan anak-anak, paling utama.
Jika usaha-usaha memperbaiki situasi tidak berhasil dan keadaan semakin buruk, mungkin sudah tiba masanya untuk mempertimbangkan langkah-langkah yang lebih drastik untuk kebaikan puan sekeluarga.










