Produk lokal, tolonglah guna nama tempatan - Utusan Malaysia

Produk lokal, tolonglah guna nama tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGEBOMAN dan serangan Israel ke atas Gaza meragut lebih 35,000 nyawa yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas.

Pembunuhan beramai-ramai ini tidak ada tanda reda, sebaliknya bertambah zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Sebagai manusia bertanggungjawab kita kena teguh dengan semangat solidariti memboikot jenama dan produk dikeluarkan negara Barat dan yang dikaitkan dengan Zionis serta sekutu-sekutunya.

Saya bangga apabila sewaktu membeli belah di pasaraya baru-baru ini ramai ibu dan bapa yang sambil membeli-belah, memberikan penerangan kepada anak mereka mengenai boikot. Ada juga yang rujuk internet dan melihat senarai produk yang harus diboikot sebelum membeli.

Banyak manfaatnya daripada tindakan kita ini. Antara paling ketara, baharulah kita tahu ada banyak produk tempatan yang berkualiti. Saya turut mengambil kesempatan membeli produk-produk tempatan yang saya selalu guna di rumah seperti produk mencuci dan makanan.

Memang banyak yang memuaskan hati malah lebih baik daripada produk import.

Kesempatan boikot ini harus digunakan usahawan tempatan untuk terus mempromosi produk mereka, barulah orang akan mencari.

Begitupun dalam kerancakan dan berjinak-jinak dengan produk lokal ini, sedikit ralat apabila nama produknya kurang menggambarkan semangat Malaysia atau yang berkaitan dengan kita.

Ada yang bukan sahaja logo, tetapi namanya pun ala-ala kebaratan. Agaknya itulah mentaliti ramai dalam kalangan kita yang masih mengagungkan negara luar, sedangkan sebenarnya kita berkemampuan.

Stigma itu melekat kuat dalam jiwa, tanpa kita sedari ia membakar jiwa bagaikan api di dalam sekam. Daripada stigma ia membarah hingga kita mengakui, meyakini dan mempercayai nama-nama ala kebaratan itu tanda aras produk yang ada kualiti dan sukses, sedangkan kita lupa, pasaran kita sekitar dalam negara sahaja.

Sebelum pilih nama siapalah agaknya penasihatnya. Aduhai. Usaha memboikot turut merebak dengan kempen blockout, suatu tindakan memboikot artis serta pempengaruh yang tidak membuka mulut mengenai isu Palestin dan dengan bangganya menjadi duta produk Isreal.

Orang terkenal ada pengaruh, gunakanlah kelebihan itu menyuarakan sesuatu yang betul. Sampai bila kita mahu membenarkan fikiran kita dijajah?

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN