Nyaman dan hangat dalam gaya peralihan

Nyaman dan hangat dalam gaya peralihan

RONA neutral dan asas menghiasi setiap sudut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENANG betul melihat kediaman yang satu ini.

Susun atur dan permainan warnanya secara keseluruhan tampak senada dan menarik.

Pemilik, Faidhi Afiq Mohamad dan Nurhafizatul Haswani Mohd. Razak memilih konsep reka bentuk bercirikan Peralihan (Transitional Design) bagi kediaman teres tiga tingkat mereka ini.

Konsep ini menggabungkan gaya tradisional dan moden bertujuan mencipta ruang yang harmoni dan seimbang.

Kata Nurhafizatul yang merupakan Pengurus Projek Syarikat Kontraktor Pembersihan dan Landskap, ruang peralihan ditakrifkan oleh tonal, tekstur, monokromatik dan estetika yang minimum.

“Untuk rumah 146_hse kami, kami cuba menggabungkan beberapa faktor ke dalam reka bentuk berkonsepkan ‘Transitional’.

“Bermula dengan pemilihan warna dinding, kami memilih warna dinding cuba disatukan dalam kumpulan warna neutral untuk memberikan suasana yang tenang (cozy) dan hangat (warm),” katanya yang aktif berkongsikan dekorasi rumah di Instagram 146_hse.

Nurhafizatul bersama suami dan anak-anak.

Bercerita lanjut, katanya, elemen yang melengkapkan konsep yang dipilih adalah dengan meminimumkan ubah suai struktur asal rumah (open floor plan) yang membolehkan pencahayaan yang lancar antara ruang rumah.

“Kami juga cuba untuk mengekalkan konsep ‘Transitional’ di setiap ruang supaya kelihatan seimbang.

“Ini menyumbang kepada suasana yang moden, luas dan membawa suasana yang sangat menenangkan ke dalam rumah,” jelasnya.

Tambahnya, dalam reka bentuk ‘Transitional’ menerapkan banyak perabot linear yang dipadankan dengan reka bentuk bulat dan melengkung.

Reka bentuk tradisional dan moden digabungkan secara harmoni dan saling melengkapi apabila diletakkan bersama.

“Selain itu, kami menitik berat penampilan yang tidak terlalu berat, mudah dan estetik.

“Kami juga menerapkan beberapa seni dinding bagi melengkapkan konsep ini dengan memaparkan karya seni daripada beberapa artis tempatan. Ia menghasilkan gabungan lukisan klasik dan ukiran kontemporari yang digantung di ruang-ruang dinding kami,” ujarnya lagi.

PADANAN sempurna
gaya klasik dan moden

Kelebihan reka bentuk ini terletak pada keupayaannya untuk mengharmonikan pelbagai elemen dalam mewujudkan suasana yang nyaman dan menarik.

Selain gabungan keselesaan dan minimalis, gaya hiasan rumah ini turut menawarkan padanan sempurna gaya tradisional dan moden.

Dari segi penjagaan pula katanya, ia tidak begitu rumit.

“Kerana konsep ini sendiri bersifat malar segar atau tidak jemu dipandang walaupun bertahun-tahun.

“Selain itu, susun atur perabot yang minimal dan linear menjadikan ia mudah diurus,” jelasnya lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN