SEORANG artis forensik yang terlepas daripada kematian dị, tangan pembunuh bersiri kini membantu polis menangkap lebih 1,300 penjenayah.
Lois Gibson, yang bekerja di Jabatan Polis Houston di Texas, Amerika Syarikat (AS), memegang gelaran Rekod Dunia Guinness kerana paling banyak membantu mengenal pasti penjenayah menggunakan lakaran wajah yang dilukisnya.
Sehingga Februari, lakaran Gibson membantu mengenal pasti 1,313 penjenayah sekali gus menyelamatkan ratusan nyawa dan mengekang jenayah berat daripada berlaku.
Gibson, yang baru-baru ini muncul dalam siri televisyen Itali, Lo Show dei Record, pernah menjadi penari dan bekerja sebagai model sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang seni halus.
Kehidupan dan laluan kerjayanya berubah pada usianya 21 tahun, selepas dia menjadi sasaran seorang pembunuh bersiri dan perogol.
“Dia menyerang dan menyeksa saya dengan teruk sehingga saya hampir mati.
“Apabila dia pergi, darah keluar dari mata dan kerongkong saya. Pengalaman itu sangat mengerikan. Saya dapat merasai menjadi mangsa jenayah kejam dan bagaimana hampir berdepan dengan kematian di tangan seseorang tanpa sebab yang jelas,” katanya.
Gibson meninggalkan Los Angeles selepas serangan itu dan berpindah ke Houston, di mana dia menghubungi polis untuk mendapatkan pekerjaan pada tahun 1982.
“Kali pertama saya melalulannyat untuk Jabatan Polis Houston, saya merasakan ia adalah lakaran yang buruk, menyedihkan dan samar. Tetapi selepas lakaran berkenaan ditayangkan di saluran berita, rakan sebilik penyerang tersebut menyerahkan penjenayah itu kepada polis.
“Awalnya saya merancang untuk tidak melakukannya lagi kerana membuat lakaran penjenayah, sangat mengerikan daripada segi emosi, tetapi apabila mengetahui hasil seni itu berjaya menghalang seorang lelaki daripada melakukan pembunuhan di Taman Memorial, pandangan saya mulai berubah.
“Saya mula menjadi ketagih untuk menangkap penjenayah apabila menyedari usaha itu mampu dilakukan dengan hanya sedikit lakaran kecil yang mengambil masa kurang sejam, ujamya.
Gibson berkata, dia sangat percaya program kecerdasan buatan (AI) di komputer tidak akan dapat mencipta lakaran komposit seperti yang boleh dilakukan oleh manusia dengan tangan mereka sendiri.
Jelasnya, dia juga pernah diminta melukis semula lakaran yang asalnya dihasilkan oleh program komputer kerana tidak berjaya membawa pelaku ke muka pengadilan.
“Lakaran yang tepat bergantung pada tafsiran manusia.
“Jika anda seorang artis seperti saya dan anda cuba melakukannya pada komputer, anda pasti tertanya mengapa perlu melakukannya sedangkan saya boleh melukis dengan lebih cepat dan mudah,” katanya.

Lois berjaya memegang rekod tersebut selama kira-kira 20 tahun, dengan bilangan penjenayah yang ditahan di penjara hasil bantuannya semakin meningkat.
“Saya bekerja dengan mangsa jenayah apabila mereka berada dalam keadaan yang sangat beremosi dan sering berfikir mereka tidak dapat mengingati rupa penyerang itu.
“Saya menggunakan pelbagai teknik untuk menenangkan dan mengalih perhatian mangsa, membantu membuka kunci kenangan dan mencipta lakaran yang cukup baik untuk mengenal pasti penyerang.
“Rekod dunia yang masih dipegang ini, turut membantu saya memperoleh kesahihan untuk lakaran saya. Ini kerana masih ramai berfikir usaha itu tidak mungkin berkesan sedangkan ia sangat membantu menangkap penjenayah dan saya mampu membuktikan perkara itu,” tambahnya. – AGENSI










