Gadis miskin bergelar ikon fesyen dunia

Gadis miskin bergelar ikon fesyen dunia

COCO CHANEL semasa melakukan lawatan kerja di Los Angeles, 1931. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARIMAU mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Begitulah perumpamaan buat pereka fesyen terkenal dari Perancis ini.

Walaupun sudah meninggal dunia lebih lima dekad lalu, jenamanya masih kekal utuh di persada dunia.

Pemilik nama lengkap Gabriella Bonheur Chanel ini sangat berpengaruh semasa hayatnya sehingga sentuhannya bertahan sepanjang 60 tahun menceburi bidang seni.

Pada awal abad ke-20, Chanel berjaya mencipta pakaian yang elegan dan selesa sehingga mendorong golongan wanita meninggalkan fesyen yang rumit ketika zaman itu.

Antara koleksi terkenalnya adalah seperti sut Chanel, tas tangan, barang kemas dan minyak wangi Chanel No.5.

GADIS MISKIN

Siapa sangka wanita ini asalnya adalah seorang gadis miskin daripada keluarga penjual sayur di sebuah pasar kecil di Perancis. Ibunya pula bekerja sebagai tukang cuci pakaian di sebuah hospital.

Ketika kanak-kanak sebaya dapat bermanja dengan ibu dan bapa, Chanel diuji dengan pemergian ibu tercinta ketika dirinya baru menginjak usia 11 tahun.

Dilahirkan di Saumur, Perancis pada 19 Ogos 1883, Chanel kemudian dihantar ke rumah anak yatim di Aubazine. Ketika itulah, beliau belajar menjahit dan meminati seni fesyen.

Ketika musim panas, wanita ini melakukan aktiviti dengan menjahit sendiri baju-baju yang akan dipakai.

Lama kelamaan, Chanel turut menghasilkan topi wanita, baju wanita dan banyak produk lain untuk dijual.

Dalam setiap rekaannya, Chanel selalu mengutamakan kebebasan dan aspek praktikal dalam kehidupan harian golongan wanita sehingga membuatkan hasil rekaannya disukai ramai wanita ketika itu.

Ketika berusia 18 tahun, Chanel berpindah ke Moulins dan pernah menjadi penyanyi di kelab malam.

Chanel adalah seorang wanita yang suka bersosial dan pernah menjalinkan hubungan dengan ramai lelaki kaya antaranya termasuk seorang pemain sukan polo, Arthur Edward Capel.

Dengan bantuan lelaki itu, beliau membuka butik Chanel Modes, sebuah kedai topi di Rue Cambon, Paris, pada 1910. Topi itu sesuai dipakai di kawasan terbuka dan menjadi trend fesyen di seluruh dunia.

Dua tahun kemudian, beliau membuka sebuah butik di Deauville, Perancis yang menjual pakaian sukan seperti baju sejuk dan jersi.

Pada masa itu, jersi adalah kain murah yang biasa digunakan bagi pakaian dalam lelaki.

Namun, Chanel mengubah material itu menjadi reka bentuk pakaian wanita yang praktikal dan elegan. Disebabkan itu, banyak koleksi pakaian yang dihasilkan mendapat inspirasi daripada pakaian lelaki.

JENAMA MINYAK WANGI

Wanita ini membuka dua butik rasmi Chanel pada tahun 1914. Chanel terkenal dengan rekaan ‘little black dress’ (LBD) pada 1926, sehingga pakaian ringkas itu menjadi revolusi dalam dunia fesyen.

Mengambil pendekatan fesyen dengan cara yang tidak dilakukan oleh pereka ketika zamannya, membuatkan wanita ini menjadi seorang individu yang sangat berpengaruh.

Beliau cuba lari daripada kelaziman sehingga membuatkan rekaannya menjadi trend, cantik dan selesa.

Warna hitam yang sinonim dengan lambang kesedihan, berjaya diubah menjadi rekaan yang anggun dan versatil.

Walaupun sumber kekayaannya diraih sebagai seorang pereka fesyen, namun, empayar wanita ini bertambah kukuh dengan pengenalan minyak wangi Chanel No.5.

Produk yang diperkenalkan pada 1921, mendapat bantuan daripada seorang pencipta pewangi di Perancis, Ernest Beaux.

Daripada bungkusan botol biasa, beliau kemudian menggantikan dengan botol yang lebih ringkas dan kelihatan elegan yang menyumbang kejayaan jenama itu.

Minyak wangi tersebut merupakan produk pertama daripada jenama pereka fesyen.

Sehingga hari ini, ramai pereka lain yang mengikuti jejak langkah wanita ini dengan mengeluarkan jenama minyak wangi menggunakan jenama rekaan fesyen sendiri.

UBAH STATUS HIDUP

Wanita ini tidak pernah berkahwin sepanjang hidupnya.

Impiannya tercapai hasil kerja keras, dedikasi dan tekad untuk menjadikan seorang wanita tampil bergaya melalui pakaiannya.

Coco Chanel meninggal dunia ketika berusia 87 tahun akibat sakit jantung pada 10 Januari 1971, di Hotel Ritz, Paris.

Di akhir hayatnya, empayar perniagaan jenama Chanel yang dibangunkan dengan titik peluh sendiri pernah menjana pendapatan lebih AS$160 juta (RM754 juta) setahun.

Hasil rekaan yang menjadi pujaan golongan wanita seluruh dunia berjaya mengubah status gadis miskin ini bergelar socialite (golongan kelas atasan). – BRITANNICA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×