SEKALI pandang nampak macam klasik. Tetapi jika diamati, terdapat sedikit sentuhan moden pada beberapa bahagian kediaman ini.
Ini yang menjadi keistimewaan kediaman milik Haneem Ismail yang menggabungkan dekorasi klasik dan moden dalam satu ruang.
Bagi wanita berusia 37 tahun itu, kombinasi berkenaan sesuai dengan citarasanya yang menggemari elemen klasik tetapi pada masa yang sama masih mahu mengekalkan konsep minimimalis.
“Saya memilih konsep ini kerana berminat dengan reka bentuk kerusi kayu lama dan warna-warna kayu.
“Pada masa yang sama saya ingin rumah saya kelihatan lebih minimal tanpa perlu meletakkan perabot yang keterlaluan untuk memberi sedikit ruang di bahagian ruang tamu saya,” katanya kepada Seri.

Jika dilihat pada bahagian ruang tamu, pemain utama di situ adalah set kerusi kayu yang tampak klasik.
Malah, aksesori seperti gantungan seakan beg rotan pada dinding dan bilah kipas daripada rona senada turut membangkitkan lagi suasana
klasik.
Ditambah pula dengan pemilihan lantai seakan lantai kayu memberi lebih kesan klasik namun sedikit kontemporari memandangkan ia menjadi pilihan penggemar dekorasi masa kini.

Haneem turut bijak bermain dengan saiz barangan yang digunakan agar bersesuaian dengan saiz ruang tamu kediaman jenis teres setingkat
itu.
“Kelebihan memilih konsep moden klasik minimalis ini tentulah dekorasi tidak lekang dek zaman. Seperti yang kita semua tahu, konsep minimal adalah salah satu konsep yang sangat disenangi bagi tujuan pembersihan rumah.
“Tempoh masa untuk melengkapkan dekorasi juga tidak terlalu lama kerana konsep rumah saya tidak memerlukan barangan atau perabot banyak,” katanya yang mendekorasi rumah sejak 2021 dan konsepnya berterusan sehingga kini.










