Bazar Ramadan: Masak ikut resipi, bukan 'asal ada' - Utusan Malaysia

Bazar Ramadan: Masak ikut resipi, bukan ‘asal ada’

BAZAR Ramadan menjadi tumpuan umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Semangat membeli juadah di bazar Ramadan bagaikan terkulai layu apabila peniaga kegemaran saya, Kak Leha mengambil keputusan untuk tidak lagi berniaga di bazar Ramadan tahun ini.

Kata Kak Leha dia berbuat demikian kerana faktor kos yang menyebabkan ‘tidak pulang modal’.

“Akak tak dapat jual pada harga sama macam tahun lepas. Tahun ini semua menu akak terpaksa naikkan RM2. Ada ke pelanggan nak beli nasi ayam pada harga sebekas RM10? Kalau seorang makan mungkin boleh tutup mata lagi. Kalau satu keluarga yang datang? Akak tak sanggup tengoklah.

Itu baru nasi ayam sedangkan akak jual tiga hingga lima jenis nasi. Biarlah orang lain yang berniaga,” kata kak Leha sewaktu terserempak dengannya di Taman Seri Gombak minggu lepas.

Semalam saya ambil peluang ke beberapa bazar Ramadan sekitar Gombak untuk meninjau sendiri situasi dimaksudkan Kak Leha.

Memang betul banyak yang naik harga. Roti john ayam dan daging dijual pada harga RM10 manakala RM15 bagi kambing. Tahun sebelumnya masing-masing pada harga RM8 dan RM10.

Martabak ayam dan daging yang menjadi antara juadah kegemaran saya berbuka puasa bersama anak-anak pula pula naik RM7 berbanding tahun lepas RM5 atau RM6.

Itu belum lagi sajian pemanis mulut. Tepung pelita ada yang naik RM1 bagi setiap bekas yang ada enam ketul iaitu RM6.

Kalau pada harga sedemikian sajiannya besar dan banyak, tidak mengapa tetapi ini semakin kecil, comel dan kurang rasa sedapnya.

Ramai juga yang berniaga dalam kalangan orang muda dan muka baru di situ. Saya teragak-agak juga mahu membeli sebab takut pisang berbuah dua kali.

Sebelum ini saya pernah terbeli sajian yang mentah dan tidak dimasak dengan betul.

Rasa rugi sangat, melayang RM10 beli nasi tomato dengan peniaga baharu yang saya tidak pernah nampak pun sebelum ini.

Isu peniaga tidak masak dengan betul atau dalam bahan bahasa mudah faham, tak tahu memasak ini bukan isu terpencil. Ramai pembeli berkongsi di media sosial mengenai pengalaman membeli juadah yang masak tidak betul, tidak menepati rasa asal sajian atau menipu ramuan.

Ada dalam suatu perkongsian, peniaga di dakwa menjual donut tetapi menggantikan doh dengan roti burger bersalut coklat supaya ia kelihatan ala-ala donut.

Itu belum lagi yang menjual karipap oksigen dan popiah basah penuh sayur kobis.

Penipuan juadah ini harus dihentikan kerana ia hanya akan memburukkan imej bazar Ramadan yang sejak sekian lama terkenal sebagai lokasi kegemaran kita dan tarikan pelancong.

Pihak berkuasa tempatan seharusnya mengambil tindakan pada peniaga yang menipu pengguna secara terang-terangan ini. Tak dapat hasilkan menu sesedap rasa sebab berpuasa bukan alasan masak ala kadar.

Sebelum meniaga tentu dah ada resipinya. Ikut sahajalah, bukannya guna bahan asal ada.

Nor Afzan Mohamad Yusof, Pengarang Rencana Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×