TAHUN lalu, suri rumah berusia 31 tahun dari Gopeng, Perak ini ‘menduduki’ peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bagi Kertas 2, Pendidikan Seni Visual (PSV).
Walaupun setiap calon diwajibkan memilih satu soalan sahaja, tetapi lain buat Sharifah Nusaibah Syed Ishak yang menjawab empat daripada keseluruhan enam soalan diberikan.
Empat soalan itu ialah lorong bangunan bersejarah ketika hujan di waktu malam, pinggan mangkuk belum dibasuh di dalam sinki, telefon bimbit berebut hidangan di atas meja dan dua ekor anak kucing di atas pokok.
Namun, rezeki tidak berpihak kepada ibu dua anak ini untuk mendapat keputusan cemerlang.
Sebaliknya, skor A bagi peperiksaan itu menjadi milik pengikut-pengikut setianya di TikTok.
Jangan salah sangka, Sharifah Nusaibah bukanlah calon ulangan subjek PSV, tetapi beliau hanya membantu membuat tutorial lukisan untuk dijadikan rujukan dan inspirasi pelajar.
Inisiatif itu dilakukan selepas menerima banyak permintaan daripada pengikut.
“Saya berjaya siapkan empat lukisan dalam tempoh seminggu sebelum peperiksaan berlangsung, seolah-olah saya juga calon SPM.
“Paling seronok apabila calon-calon datang kembali di TikTok saya dan memberitahu mereka mendapat A dalam Kertas 2 PSV berdasarkan contoh-contoh lukisan serta tips yang diberikan,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Maklum balas positif itu sekali gus menyuntik semangatnya untuk terus aktif membuat tutorial melukis di platform media sosial.
Hingga kini, beliau memiliki sejumlah 201,900 pengikut di samping 2.8 juta tanda suka di TikTok miliknya, Sharifah.N.
Malah, video tutorial melukis buah strawberi menggunakan pensel warna turut mencatatkan tontonan tertinggi melebihi tiga juta orang.
Daripada sekadar suka-suka, hobi itu memberikan kepuasan kerana dapat melakukan kebaikan dan menyebarkan ilmu kepada masyarakat.
Pengikutnya bukan sahaja dalam kalangan pelajar sekolah, bahkan meliputi ibu bapa.
“Video-video saya bukan sahaja ditonton golongan pencinta seni tetapi turut menarik mereka yang tiada minat dalam bidang ini untuk turut sama belajar melukis.
“Ia mungkin juga disebabkan tidak ramai orang Melayu yang membuat tutorial melukis dalam bahasa Melayu,” katanya.

Lukis untuk me time
Mengimbau penglibatan awalnya, bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ini mengakui minat melukis sejak kecil lagi, bahkan, turut mengambil subjek tambahan, PSV ketika SPM.
Tetapi, hasrat untuk mendalami bidang itu tidak kesampaian apabila ditawarkan kursus Diploma Sains Komputer (Multimedia) dan bukan seni halus seperti yang diimpikan.
Selepas berkahwin dan memiliki cahaya mata, Sharifah Nusaibah makin melupakan hobinya itu disebabkan faktor masa.
Bermula 2021, beliau kembali melukis sebagai ruang untuk menenangkan diri atau me time.
“Bergelar suri rumah, kita tidak terlepas daripada stres dalam menguruskan keluarga dan anak-anak.
“Dengan melukis, sekurang-kurangnya saya dapat cari keseronokan walaupun sekejap dan tidak sangka hasil lakaran dapat pujian selepas dimuat naik di media sosial,” katanya.
Bertitik-tolak daripada situ, pengikut memintanya membuat video tutorial pula bagi mengetahui teori asas melukis.
Permintaan itu disahut oleh Sharifah Nusaibah kerana dapat memberi nilai tambah kepada video-video hobinya.
Antara video tutorial yang dihasilkan ialah tips mahir melukis, lukis guna teknik grid, koleksi soalan PSV di samping melukis buah-buahan, taman, kartun dan seni mudah.
“Pernah beberapa kali diajukan soalan yang saya tidak mahir tetapi itu bukan alasan untuk menolak permintaan adik-adik.
“Saya cuba cari maklumat di Internet dan tonton video-video di YouTube dan Instagram, secara tidak langsung dapat menambah ilmu saya juga,” katanya

Rutin Harian
Sebelum melukis, wanita ini akan memilih terlebih dahulu objek yang ingin dilukis di samping membuat sari kata di sebelah malam.
Proses lakaran pula dibuat selepas Subuh manakala mewarna dan merekod dilakukan setelah menghantar anak ke sekolah dengan lazimnya siap sebelum pukul 12 tengah hari.
“Selepas anak balik sekolah, saya mula mengedit video berdurasi empat minit dan disusuli dengan memasukkan audio pada pukul 4 petang.
“Proses audio dibuat di kawasan ampaian di belakang rumah bagi mengelak suara anak-anak tetapi kadang kala ada cabaran lain seperti bunyi helikopter, kapal terbang atau mesin rumput.
“Video biasanya dimuat naik ke TikTok tepat pukul 7 malam kerana jumlah pengunjung yang tinggi pada waktu itu,” katanya.
Kata Sharifah Nusaibah, kesemua proses itu dilakukan dengan menggunakan telefon pintar sahaja kerana ketiadaan gajet lain.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menjual beberapa peralatan seni dalam akaun media sosial itu, selain membuat reviu produk dan kerjasama strategik dengan beberapa jenama.
Inisiatif itu membolehkannya meraih pendapatan sampingan kira-kira RM1,000 sebulan hanya berdasarkan hobi melukis.
Apabila ditanya perancangan masa depan, wanita ini berhasrat membuka kelas seni secara fizikal kerana menerima banyak permintaan daripada ibu bapa.
Kerap berlatih lembutkan tangan
Menurut Sharifah Nusaibah, selain bakat, aktiviti melukis sebenarnya boleh dikuasai semua golongan.
“Jika dilakukan berulang kali, saya jamin lukisan ke-10 yang dihasilkan jauh lebih baik berbanding yang pertama.
“Apabila sentiasa melukis, otot-otot pada tangan akan menjadi lembut sekali gus memudahkan proses melakar dan mewarna,” katanya.
Dalam pada itu, bagi menghasilkan lukisan realistik, timbul dan menyerlah, setiap objek perlu diwarnakan mengikut tona warna.
Paling penting, kenal pasti arah cahaya pada objek tersebut.
“Terdapat tiga jenis tona warna iaitu cerah yang banyak mendapat cahaya diikuti pertengahan dan gelap.
“Contohnya untuk mewarna buah ceri, warna yang terlibat ialah putih (untuk bahagian cerah) manakala merah (pertengahan) dan maroon (gelap),” kongsinya lagi.










