SOALAN
Saya seorang pelajar dan susah nak menyesuaikan diri bila berada dalam kelas. Banyak masa saya bersendirian dan tidak ada ramai kawan. Saya tidak selesa dengan sikap ini. Normalkah begini?
Mohd, Selangor.
JAWAPAN
Gugup, risau dan khuatir apabila perlu berinteraksi dengan orang tertentu, perkara normal namun ia hanya dianggap normal sekiranya sikap itu dirasai pada waktu tertentu sahaja.
Ia jadi tidak normal apabila anda bersikap sebegini pada setiap masa.
Anda mungkin seorang pengidap social anxiety atau gangguan kecemasan sosial.
Perasaan ini boleh menjadi ketakutan mendalam kepada mereka yang mengidap penyakit ini sehingga menjejaskan aktiviti harian.
Penting bagi saudara untuk mengenalpasti diri sendiri atau orang di sekitar yang mungkin pengidap social anxiety. Antara cirinya:
Ciri Emosi:
Takut berinteraksi dengan orang lain.
Banyak menghabiskan masa menilai kekurangan diri setiap kali menghadapi situasi tertentu.
Menghindarikan diri daripada berkumpul.
Takut orang mengetahui kekurangan diri.
Risau tersalah cakap apabila berhadapan dengan orang lain.
Takut dinilai dan dikritik orang lain.
Ciri Fizikal:
Nafas pendek dan tersekat-sekat.
Berpeluh-peluh.
Sakit dada yang mencucuk-cucuk.
Urat dan otot mulai rasa ketegangan.
Gementar dan suara bergetar.
Sekiranya ciri-ciri ini pada anda, boleh buat seperti berikut:
*Teknik pernafasan relaksasi – Pelajari teknik pernafasan dengan kiraaa 4-6-4. Kaedah ini boleh dilakukan di mana sahaja untuk memberi rasa lebih selesa, mengurangkan tekanan semasa dalam keadaan tidak selesa.
*Ubah cara berfikir – Setiap kali berada dalam keadaan cemas, yakinkan pemikiran anda bahawa apa yang difikirkan belum lagi berlaku. Fokus pada keadaan anda sekarang dan lakukan aktiviti yang membantu anda melupakan pemikiran yang sedang mengganggu.
*Lawan perasaan takut – Cabar diri dengan berusaha untuk bertemu orang dengan lebih kerap. Walaupun agak sukar, namun jika dilakukan secara berterusan, dapat membantu anda mengatasi ketakutan bila berhadapan dengan orang.
*Terapi perilaku kognitif – Terapi ini dapat membantu mengenalpasti punca ketakutan dan membantu mengubah diri menjadi lebih positif dan berkeyakinan. Kaedah ini boleh dilakukan dengan bimbingan dan bantuan daripada kaunselor berdaftar.
*Rujuk klinik berdekatan –Bertemu pakar psikiatri untuk mengenalpasti dan pengesahan terhadap isu anda hadapi. Pengambilan ubat-ubatan perlu mengikut nasihat daripada pakar, sekiranya perlu.










