Guna plaster siling buat lukisan pisau

Guna plaster siling buat lukisan pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERCAYA atau tidak, bahan-bahan murahan juga boleh digunakan untuk menghasilkan lukisan yang cantik.

Inspirasi itu dimanfaatkan oleh guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Kuala Perlis bagi merealisasikan hobinya dalam seni lukisan pisau.

Jika pelukis lain menggunakan modelling paste, namun lain buat Zurainie Md. Jas, 52, yang memilih
plaster siling sebagai pengganti.

Plaster siling memiliki fungsi yang sama seperti bahan sebenar itu, malah harganya juga jauh lebih
murah.

Anak jati Melaka itu berkata, minat dalam lukisan pisau mula disemai sejak tiga tahun lalu, ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

“Saya ternampak video di YouTube dan timbul minat untuk mempelajari seni itu, tetapi bahan-bahan yang dijual dalam talian agak mahal terutama modelling paste.

“Untuk individu yang baru berjinak-jinak belajar lukisan pisau, bagi saya tidak berbaloi berbelanja besar, maka tercetuslah idea untuk menggunakan plaster siling sebagai pengganti,” katanya kepada Seri baru-baru ini.

Menurut Zurainie, kebetulan plaster siling sudah ada di rumah dan bahan itu amat membantu dalam mengasah bakat terpendamnya.

Daripada sekadar cuba-cuba, akhirnya lukisan pisau menjadi hobi masa lapangnya hingga kini.

Paling istimewa, apabila karya seninya turut mendapat pujian dan dijual kepada kenalan rapat.

Masih asing di Malaysia

Walaupun lukisan pisau sudah popular di barat, namun ia masih kurang dikenali di negara ini dan kawasan serantau.

Jelas ibu kepada dua anak lelaki ini, tidak banyak kandungan mengenai seni itu dikongsikan oleh pelukis atau penggiat tempatan.

“Saya pun tidak pasti mengapa lukisan pisau tidak popular di Malaysia atau Indonesia.

“Kebanyakan maklumat yang saya tonton adalah dari Amerika Syarikat (AS) dan Rusia,” katanya.

Bahan, perkakas

Selain plaster siling, bahan dan perkakas lain yang diperlukan ialah pisau palet di samping kanvas dan cat akrilik.

Penggunaan warna akrilik 3D lebih sesuai bagi lukisan pisau kerana sifatnya yang kalis air, sekali gus membolehkan hasil karya lebih tahan lama di samping bentuknya timbul.

“Pada peringkat awal, saya lukis di atas kertas keras seperti kotak dan selepas ada keyakinan barulah saya buat pada kanvas.

“Sehingga kini saya masih menggunakan plaster siling untuk binaan dan bahan itu boleh didapati pada harga serendah kira-kira RM2 sahaja,” katanya yang memiliki lebih 20 pisau palet pelbagai saiz.

 

Bunga sakura, ros, daisi jadi pilihan

Walaupun seseorang bebas melukis apa sahaja dalam karya lukisan pisau termasuk pemandangan, namun Zurainie cenderung menjadikan bunga-bungaan sebagai subjek utamanya.

Katanya, antara flora yang sering dilukis ialah sakura, ros dan daisi.

“Prinsip saya adalah tidak mahu melukis benda hidup sebab itu saya pilih bunga-bungaan.

“Kebiasaannya, ilham-ilham diinspirasikan daripada gambar-gambar di Pinterest dan kemudian saya olah mengikut kreativiti sendiri,” katanya.

Selain pisau, beliau turut meluaskan bakatnya dengan teknik lukisan sudu untuk membuat kelopak-kelopak bunga.

Pantang-larang

Proses pembuatan lukisan pisau tidak boleh dilakukan di kawasan berangin, bagi mengelakkan kelopak bunga keras hingga sukar untuk diubahsuai.

Di samping itu, kongsi Zurainie, bancuhan warna juga perlu tepat agar tidak terlalu cair bagi memastikan tekstur timbul.

“Saiz pisau turut mempengaruhi hasil lukisan dan jangan terkejut jika kelopak bunga yang dibuat kelihatan berbeza apabila menggunakan pisau yang berbeza.

“Untuk memantapkan lukisan, paling mustahak adalah latihan berterusan,” katanya. 

 

Mencabar, ambil masa lama

Bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu karya seni kerana ada cabaran dan kesukaran yang perlu dilalui.

Bagi lukisan pisau, proses pembuatannya boleh mengambil masa yang lebih panjang berbanding seni-seni lain.

Menurut Zurainie, untuk menghasilkan karya bunga di atas kanvas berukuran 60 sentimeter x 91 sentimeter, tempoh yang diperlukan adalah selama seminggu.

“Makin banyak kelopak bunga yang dihasilkan, maka makin mencabar proses pembuatannya.

“Hal itu kerana lukisan pisau lebih lambat kering berbanding lukisan biasa,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya lagi, lukisan pisau juga tidak mampu menghasilkan bentuk atau garisan yang terperinci seperti berus kerana fungsi perkakas itu yang terhad.

 

Kepuasan berbeza

Walaupun sudah sebati dengan dunia seni kerana mengajar subjek itu di sekolah, namun beliau menemui kepuasan berbeza apabila membuat lukisan pisau.

Tambahan pula, kawan-kawan sering memuji keindahan dan keunikan karya seninya.

“Tempahan mula diterima daripada kenalan rapat apabila saya memuat naik gambar lukisan di laman Facebook.

“Secara tidak langsung ada yang berminat mahu membelinya, di samping itu saya turut menghadiahkannya kepada kawan-kawan yang bersara atau berpindah ke rumah baharu,” katanya.

Setiap lukisan dijual pada harga bermula RM30 untuk saiz A4 manakala 60 sentimeter x 91 sentimeter pula RM500 bergantung kepada tahap kesukaran dan penggunaan bahan.

Sumbang RM1,000 ke pusat tahfiz

Zurainie pernah menyumbangkan separuh daripada hasil jualan lukisan pisau kepada pusat tahfiz sempena Ramadan 2020 lalu.

Katanya, jumlah keseluruhan yang diraih ketika itu adalah sebanyak RM2,000 dalam tempoh sebulan.

“Itu merupakan jualan tertinggi saya dan tidak menyangka dapat menyumbangkan separuh daripadanya iaitu RM1,000 kepada anak-anak tahfiz,” katanya.

Lukis waktu malam

Kekangan tugas sebagai guru tidak menghalang beliau untuk membuat lukisan pisau dan aktiviti itu lazimnya dilakukan pada waktu malam selepas selesai solat Isyak.

Ada ketikanya tempoh melukis itu berlanjutan hingga ke pukul 2 pagi.

“Tetapi melukis ini ikut mood juga, bukan boleh dipaksa-paksa jika ‘ilham’ tidak datang.

“Saya berharap dapat meneruskan lagi hobi ini di masa depan apabila sudah bersara kelak, malah saya bersedia untuk mengajar sesiapa yang berminat untuk mendalami seni lukisan pisau,” katanya.-UTUSAN

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.