Pembedahan kompleks, rumit ‘mainan’ Sharon Low - Utusan Malaysia

Pembedahan kompleks, rumit ‘mainan’ Sharon Low

SHARON Low satu-satunya pakar bedah saraf pediatrik wanita di Singapura. – AGENSI/CNA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBEDAHAN yang sensitif terhadap masa dan berisiko tinggi menjadi perkara biasa bagi pakar bedah saraf, Dr. Sharon Low.

Sebagai Ketua Perkhidmatan Neurosurgikal di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK di Singapura, beliau melakukan antara satu hingga lima pembedahan sedemikian setiap minggu.

Wanita berusia 46 tahun itu melakukan pembedahan otak dan tulang belakang yang kompleks dan mendesak ke atas kanak-kanak, hingga kadang kala perlu bekerja lebih 15 jam sehari.

“Bidang pembedahan saraf diketahui lebih rumit kerana melibatkan otak dan saraftunjang.

“Pembedahan tumor otak yang kompleks mungkin mengambil masa empat hingga enam jam. Namun saya pernah melakukan pembedahan yang memakan masa lebih 20 jam,” katanya kepada wartawan Channel News Asia.

Low pakar bedah saraf pediatrik tunggal wanita di Singapura. Pesakitnya berumur dari sehari hingga 19 tahun.

Low merawat pelbagai penyakit tumor otak dan tulang belakang, termasuk hidrosefalus, kecederaan kepala, sista otak, jangkitan dan kecacatan kelahiran tertentu.

“Tiada ruang untuk kesilapan dalam pembedahan saraf. Jika anda menyebabkan kecederaan pada mana-mana struktur otak atau tulang belakang, pesakit mungkin akan lumpuh atau mati.

“Itulah sebabnya mengapa premium insurans perubatan untuk pakar bedah saraf adalah salah satu yang tertinggi di antara semua kepakaran.

“Ketika saya memulakan latihan, ramai yang memberitahu bidang yang saya pilih adalah salah satu kepakaran yang paling sukar untuk mendapat peluang pulang ke rumah,” katanya sambil tertawa.

Perkara itu menjadi salah satu sebab pembedahan saraf bukan pilihan popular dalam kalangan pelajar perubatan.

Di Singapura, terdapat hanya lebih 50 pakar bedah saraf.

10 PERATUS WANITA

Daripada jumlah itu, hanya kira-kira 10 peratus sahaja adalah wanita.

Malah, Low adalah pakar bedah saraf wanita kedua di Singapura sementara yang pertama berasal dari United Kingdom.

“Saya memulakan kerjaya pada 2016 dan tiga lagi pakar bedah saraf wanita menyertai kepakaran ini selepas itu.

“Jadi hari ini, terdapat lima pakar bedah saraf wanita terlatih di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, perkara paling sukar dalam menjalankan tugasnya adalah ketika berkongsi berita buruk tentang keadaan kronik kanak-kanak kepada ibu bapa mereka dan membincangkan rawatan yang mampu diberikan.

“Saya pernah merawat seorang kanak-kanak yang menghidap kanser otak dan dijangka mampu bertahan hanya dua tahun lagi. Amat menyedihkan mengetahui ibu bapanya menunggu bertahun lamanya untuk menimang cahaya mata sulung mereka itu.

“Apa yang membuatkan saya gembira ialah dia masih hidup hari ini, enam tahun selepas pembedahan, malah berubah menjadi dewasa berkat kemajuan dalam ubat-ubatan,” kata Low yang sentiasa menjejaki perkembangan pesakitnya.

Low kini aktif menyumbang kepada penyelidikan tentang tumor otak kanak-kanak dan percaya usaha itu boleh membantu menambah baik cara tumor otak dirawat pada masa hadapan.

“Pada masa lalu, pakar bedah saraf lebih memfokuskan cara untuk membuang tumor secara keseluruhan sebanyak mungkin kerana tiada ubat untuk mencairkan tumor.

“Tetapi kini, ada banyak pilihan untuk beberapa tumor otak. Dengan lebih banyak penyelidikan, pembedahan agresif diharap bukan pilihan utama apabila merawat tumor otak pada masa akan datang,” katanya.
– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya