Nakal King Oyen pengubat stres

Nakal King Oyen pengubat stres

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCING berbulu oren atau jingga yang manja digelar ‘Oyen’ terkenal dengan kenakalannya berbanding si bulus yang lain.

Walaupun nakal, ginger tabby ini merupakan kucing yang pintar, sangat patuh dan taat. Oyen boleh dilentur untuk mendengar kata dengan kelembutan dan kasih sayang.

Itu yang membuatkan ramai yang terhibur dengan gelagat seekor Oyen popular di media sosial dikenali sebagai King Oyen.

Pada awalnya, pemilik King Oyen, Siti Zalifah Abdul Aziz atau mesra disapa Sofea Salleh, 50, tidak aktif berkongsi di media sosial mengenai kucingnya

Namun, selepas mendapat mesej netizen yang menderita stres dan kemurungan kini semakin sihat, gembira serta hilang segala masalah apabila melihat gelagat King Oyen telah merubah keputusannya.

 

“Saya malu sebenarnya nak berkongsi di media sosial tapi setelah kerap menerima mesej yang minta video King Oyen kerana suka melihat gelagatnya yang suka berborak dengan saya, jadi, saya dan suami. Mohd. Salleh Zakaria buat keputusan untuk kongsikan secara terbuka.

“Mungkin dengan cara itu kami boleh beramal dan berkongsi kebahagiaan untuk menggembirakan semua orang sebagai pengubat segala masalah,” katanya kepada Seri.

King Oyen kini berusia empat tahun mula dikenali pada 2022 ketika menghadiri rumah terbuka kucing anjuran Kementerian Kesihatan.
Kemudian King Oyen popular daripada video-video modelling dan outfit of the day (OOTD) serta aktiviti berbasikal.

“Nama King Oyen semakin naik setelah tular berbasikal bersama selebriti Alif Satar di Bukit Tunku pada Februari 2023. Ketika itu, kami hanya mahu menggembirakan King Oyen yang mahu ikut berjalan dengan berbasikal kalau tidak, dia merajuk.

“Kemudian ramai jadi suka dan gembira melihat kami bawa King Oyen berbasikal terutama rakan-rakan pasukan basikal lipat,“ ujarnya walaupun King Oyen sakan bergaya di luar namun di dalam rumah tidak dikenakan sebarang pakaian atau aksesori.

Ditanya mengapa nama King Oyen dipilih, kongsi Siti Zalifah, nama sebenar yang diberikan adalah Macho Kingsley.

“Disebabkan ia dominan dan nakal di rumah maka seisi keluarga memanggilnya King dan apabila di luar semasa berbasikal orang awam memanggilnya Oyen. Maka tercetuslah nama ‘King Oyen’,” katanya.

KING OYEN HADIAH ISTIMEWA
Siti Zalifah sangat menyayangi semua jenis binatang namun memilih Oyen kerana ia antara kucing yang terkenal dengan kebijaksanaan dan kenakalan serta warnanya yang menarik dan cantik.

Ia adalah pemberian berharga daripada anak lelakinya, Hazzy Alzeeq Mohd. Salleh Zakaria, 23.

“King Oyen yang saya pelihara adalah kucing baka American short hair kacuk dengan persian. King Oyen adalah hadiah daripada anak sulung saya yang dibela sejak ia berumur satu tahun.

“Hadiah itu diberikan tanda kasih memandangkan anak-anak kesemuanya alah kepada haiwan peliharaan berbulu maka saya berkorban untuk tidak memelihara kucing di rumah.

“Saya telah memberi kucing-kucing peliharaan kepada rakan yang juga menyayangi kucing untuk dipelihara dengan baik,” katanya.

Tambah Sofea, walaupun tidak memelihara kucing lagi ketika itu namun dia tetap memberi makanan kepada kucing jalanan sejak lebih 10 tahun dengan memberi nasi bersama ikan atau ayam goreng setiap hari ke pejabat dan kawasan rumah.

Siti Zalifah menambah, purata jangka hayat Oyen antara 16 hingga 18 tahun tetapi bergantung kepada beberapa faktor seperti diet kesihatan dan juga persekitaran.

“Dengan penjagaan yang baik, jangka hayat kucing boleh meningkat ke 23 hingga 25 tahun. Kos memelihara King Oyen kira-kira RM300 hingga 400 sebulan manakala kos bergaya pula RM50 sebulan,” katanya. -UTUSAN

 

KEUNIKAN KING OYEN
-Memakai cermin mata, pakaian dan topi keledar secara serentak lebih lima jam semasa berbasikal sama ada pada waktu malam atau pagi.
-Patuh arahan untuk ke tandas sebelum berbasikal atau keluar rumah.
-Sentiasa ikut arahan semasa berbasikal, duduk elok dan diam dalam bakul.
-Tidak meng­hiraukan bunyi semasa berbasikal walaupun dihon atau mendengar anjing menyalak, hanya fokus pada peng­lihatan.
-Kucing yang penyabar dan sangat penya­yang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya