ELISABETH Anderson-Sierra merupakan ibu kepada tiga anak yang sudah menyusukan beribu-ribu kanak-kanak malah membantu menyelamatkan nyawa bayi pramatang.
Wanita kelahiran Aloha, Oregon, Amerika Syarikat (AS) itu memegang rekod dunia Guinness sebagai penyumbang terbesar susu ibu oleh seorang individu.
Elisabeth mencipta rekod tersebut selepas mendermakan 1,599.68 liter kepada bank susu antara 20 Februari 2015 dan 20 Jun 2018.
Sepanjang sembilan tahun lalu, Elisabeth banyak mendermakan susu ibu kepada wanita yang sukar untuk menyusukan anak mereka.
“Peluang membantu dalam pelbagai situasi menjadi perkara yang paling bermakna kepada saya dan menjadi sebab utama mengapa saya terus melakukannya,” katanya.
Elisabeth berkata, pengalaman melihat bayi pramatang yang kelaparan, enam tahun lalu menjadi sumber inspirasi untuknya meneruskan usaha mendermakan susu ibu kepada golongan memerlukan.
Menceritakan pengalaman itu, wanita itu berkata, dia terbang ke Puerto Rico bersama suaminya selepas Taufan Maria melanda pada September 2017.
Ketika berada di sana, Elisabeth bertemu Joaquin, bayi pramatang berusia tiga bulan yang kehilangan ibunya akibat komplikasi ketika bersalin.
Joaquin tidak menyukai susu formula dan bapanya terpaksa memesan stok susu ibu dari bank susu di AS untuk dihantarnya ke Puerto Rico dengan kos mencecah AS$200 (RM908) bagi bekalan untuk sehari.
“Sudah tentu, saya mengepam semasa saya berada di sana. Kami berada di sana selama lebih seminggu dan seperti yang anda boleh bayangkan, saya mengumpul banyak susu ibu.
“Saya terus memberikan bekalan yang saya ada kepada Joaquin dan sejak itu saya mendermakan susu ibu ke Puerto Rico untuknya kerana saya tahu bapanya pasti berdepan masalah kewangan yang teruk jika berterusan membeli susu untuk anak kesayangannya itu,” katanya.
HIDAP SINDROM HIPERLAKTASI
Elisabeth mempunyai sindrom hiperlaktasi, keadaan di mana limpahan susu ibu berlaku kerana pengeluaran susu yang meningkat secara berterusan.
“Badan saya mencipta banyak hormon yang dipanggil prolaktin dan itulah yang mendorong pengeluaran susu.
“Walaupun keletihan kerana perlu mengepam secara kerap, saya berbangga dengan apa yang mampu saya lakukan ini,” katanya.
Pemilihan peralatan berkualiti untuk mengepam susu juga amat penting untuk memudahkan usaha tersebut.
Malah, Elisabeth turut bekerjasama dengan syarikat pam susu memajukan teknologi bagi menghasilkan lebih banyak peralatan selesa dan mudah digunakan bagi membantu perjalanan penyusuan ibu menyusu.










