WARNA kuning terang dengan saiz yang comel, sekali imbas tidak ubah seperti krep durian. Tetapi jangan terkejut kerana itu bukan juadah pemanis mulut, sebaliknya merupakan haiwan eksotik, katak jenis albino pacman.
Menurut Ahmad Syamir Azman, 23, gelaran krep durian sudah sinonim dengan katak miliknya, Bobby yang kini berusia lebih setahun.
Katanya, Bobby yang dibeli pada harga RM60 merupakan katak pertama peliharaannya daripada keseluruhan lapan yang ada ketika ini.
“Pada mulanya saya sekadar berseloroh Bobby mirip krep durian dalam satu video di TikTok dan tidak sangka ramai bersetuju dan siap bertanya bagaimanakah rasanya.
“Paling lucu, ada juga yang trauma mahu makan krep durian kerana terbayangkan Bobby,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Selain spesis itu, Ahmad Syamir turut memelihara katak jenis African bull, green pacman, budgett’s, dumpy tree dan super pikachu pacman.
Pemegang Diploma Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau itu berkata, lebih RM10,000 dibelanjakan untuk membeli kesemua reptilia itu dan segala kelengkapan tempat tinggal katak sejak 2021 hingga kini.
Hodoh dan menggelikan
Sebelum ini katak sering dianggap hodoh dan menggelikan tetapi persepsi itu berubah selepas melihat spesis katak eksotik.
Kata Ahmad Syamir, kebanyakan katak eksotik berwarna-warni di samping mempunyai pelbagai rupa bentuk termasuk bersaiz gergasi.
Keunikan tersebut secara tidak langsung menambahkan kecomelan reptilia itu hingga menjadi kegilaan ramai.
“Haiwan ini saya tempatkan di ruang tamu dan apabila kawan-kawan datang ke rumah, mereka teruja tengok kecomelan haiwan itu dan mahu pegang,” katanya.
Ganas, kanibal
Di sebalik fizikal yang licin dan lembik hakikatnya katak mampu menggigit serta mencederakan pemiliknya jika tidak dikendalikan dengan baik.
Malah, Ahmad Syamir berkata, katak juga merupakan haiwan kanibal dan boleh makan sesama sendiri.
Begitupun, sifat ganas dan agresif itulah yang membuatnya mahu membela haiwan eksotik tersebut.
“Paling saya tertarik apabila melihatnya makan kerana katak akan terus melompat ke arah makanan dan menelan dengan pantas.
“Kebiasaannya saya menggunakan sudu atau penyepit untuk mengelak daripada digigit ketika proses memberi makan,” katanya.
Telan tanpa henti
Menurut Ahmad Syamir, antara diet kegemaran kataknya ialah cengkerik, cacing dan lipas dubia di samping tikus sejuk beku dengan kos keseluruhan kurang daripada RM50 sebulan.
Kongsinya lagi, jadual pemakanan haiwan itu sama seperti ular iaitu antara satu ke dua kali dalam seminggu bergantung kepada usia.
Bagaimanapun, katanya, kawalan pemakanan terpaksa dibuat bagi mengelak berat badan berlebihan berikutan sifat lazim katak yang menelan tanpa henti jika berterusan diberi makan.
“Kebanyakan pemilik gemar katak eksotik membesar hingga obes kerana nampak bertambah comel tetapi ada keburukannya kepada tahap kesihatan dan jangka hayat haiwan itu.
“Apabila terlalu gemuk, katak jadi kurang aktif dan sukar bergerak. Berdasarkan video yang saya tengok di YouTube, pemilik perlu menyuapkan makanan secara dekat dan katak hanya membuka mulut umpama batu belah, batu bertangkup,” selorohnya.
Minat terhadap animasi Jepun mendorong Ahmad Syamir memilih nama-nama pahlawan katak dalam kartun Naruto untuk haiwan peliharaannya.
Katanya, antara nama itu ialah Gamabunta, Gamakichi, Gamaken, Gamagoro dan Gamatatsu.










