wanita perintis sektor penjagaan kesihatan

Lima wanita perintis revolusi sektor penjagaan kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WANITA memainkan peranan penting dalam sektor penjagaan kesihatan sejak berabad-abad lamanya.

Malah, peranan wanita menjadi lebih penting dalam pelbagai bidang berbanding suatu ketika dahulu yang didominasi oleh kaum lelaki.

Namun, golongan ini disifatkan sebagai hero yang tidak didendang kerana memberi sumbangan besar sehingga hari ini.

Berikut senarai lima wanita yang mengubah pandangan dunia dalam sektor itu.

Dr. Elizabeth Blackwell

Elizabeth Blackwell merupakan wanita pertama di Amerika Syarikat (AS) yang memperoleh ijazah perubatan.

Malah, pencapaian beliau membuka laluan untuk dijadikan ikutan oleh ramai wanita lain.

Blackwell berdepan diskriminasi selama bertahun-tahun sebelum menamatkan pengajian kelas pertama dari Geneva Medical College di New York pada tahun 1849.

Selepas berpindah ke New York untuk meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan, Blackwell terus berdepan kesukaran ketika mencari pekerjaan.

Pada 1857, Blackwell membuka hospital untuk wanita dan kanak-kanak di New York dengan misi menawarkan pekerjaan bagi doktor wanita.

Beliau menjadi perintis untuk golongan wanita dalam bidang perubatan.

Blackwell juga membuka kolej perubatan untuk wanita di New York bagi membolehkan lebih ramai wanita muda mengikut jejaknya.

Florence Nightingale

Florence Nightingale dianggap sebagai ibu kejururawatan moden.

Nightingale turut dikenali ‘The Lady with the lamp’ kerana pada era perang Crimean, beliau sering membawa pelita ketika melawat pesakitnya pada waktu malam untuk memantau mereka yang memerlukan bantuan.

Kerjayanya sebagai jururawat mengubah standard hospital dan pusat jagaan selama-lamanya.

Sepanjang berkhidmat di hospital tentera, Nightingale melakukan revolusi dalam rawatan dan penjagaan pesakit dengan menekankan soal kebersihan.

Atas usaha itu, kadar kematian di hospital berjaya menurun daripada 40 peratus kepada dua peratus.

Beliau ketika hayatnya meneruskan usaha dan mencetuskan standard baharu dan amalan kejururawatan selamat yang masih berterusan.

Dr. Rebecca Lee Crumpler

Rebecca Lee Crumpler merupakan wanita kulit hitam pertama di AS yang memperoleh ijazah perubatan.

Beliau mencabar stereotaip yang menghalang ramai warga kulit hitam AS daripada meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan.

Crumpler menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan Wanita New England pada tahun 1864.

Fokus utama Crumpler adalah membantu individu lain sama ada dari segi perubatan atau sebaliknya.

Malah, beliau mengabdikan diri untuk membantu golongan yang amat memerlukan dan kurang bernasib baik.

Kekuatan, ketabahan dan keberanian Crumpler membawa titik perubahan dalam peranan wanita dalam sektor penjagaan kesihatan.

Dr. Mary Edwards Walker

Dr. Mary Edwards Walker merupakan wanita pertama dianugerahkan Pingat Kehormatan Presiden.

Malah, beliau juga merupakan pakar bedah wanita yang pertama dalam tentera AS.

Selain menjadi pejuang hak asasi wanita, Walker juga merupakan seorang yang lantang mengkritik kepincangan terdapat dalam institusi.

Beliau juga dilihat sebagai perintis untuk golongan wanita dalam sektor penjagaan kesihatan.

Walker menerima Pingat Kehormatan Presiden daripada Presiden AS, Andrew Johnson ketika itu, atas sumbangannya sebagai pakar bedah semasa Perang Saudara.

Walker tidak serik merawat golongan memerlukan meskipun terpaksa menempuh cabaran sukar di medan perang.

Semangat dan dedikasi Walker terus diraikan sehingga legasinya dihargai hari ini.

Dr. Jane Cooke Wright

Jane Cooke Wright merupakan wanita pertama dilantik sebagai Presiden Persatuan Kanser New York.

Sepanjang kerjayanya, Dr. Wright melakukan penyelidikan berkaitan rawatan kanser.

Malah, Presiden AS, Lyndon B Johnson ketika itu melantik Wright ke Suruhanjaya Presiden Penyakit Jantung, Kanser dan Strok.

Selain itu, beliau juga pernah bekerja sebagai dekan di Kolej Perubatan New York.

Dr. Wright merupakan wanita kulit hitam AS memegang pangkat tinggi di institusi perubatan yang diiktiraf seluruh negara.

Penyelidikan Wright menjadi perintis teknik rawatan baharu kanser yang memberi impak kepada rawatan sedia ada hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya