Asam Pedas hidangan kegemaran ramai. Sama ada ikan, daging atau ayam, semuanya pasti ‘laku keras’.Bagi yang kehabisan idea untuk memasak pada hujung minggu ini, anda mungkin boleh mencuba resipi Rusuk Lembu Sos Asam Pedas. Keunikkannya kerana ia direneh bersama Sos Asam Pedas. Terima kasih Cef Badrol Mohd. Noor dari Paya Serai, Hotel Hilton Petaling Jaya.
Selalu sangat masak sup, gulai, masak hitam mahupun barbeku, apa kata kali ini cipta sesuatu kelainan. Selamat mencuba.
Bahan-bahan untuk sos asam pedas
200 gram (g) bawang merah (dikisar).
50 g bawang putih (dikisar).
6 batang serai (dikisar).
40g halia (dikisar).
120g bunga kantan (dikisar).
30g buah keras (dikisar).
30g kunyit hidup (dikisar).
100g cili kering kisar.
50 mililiter (ml) jus asam jawa.
30g daun kesom (dipetik).
50g gula merah.
Garam secukup rasa.
4 liter air.
Sedikit minyak untuk menumis.
Cara penyediaan:
* Salai 2 kilogram rusuk lembu dalam ketuhar selama 20 minit pada suhu 170 darjah selsius.
* Panaskan minyak dan tumis bahan-bahan kisar dengan api perlahan sehingga pecah minyak atau selama 10 minit.
* Masukkan air dan jus asam jawa, masak hingga mendidih.
* Masukkan gula merah dan garam secukup rasa.
* Masukkan rusuk lembu yang disalai ke dalam sos asam pedas dan reneh di atas api yang sangat perlahan selama 4 jam hingga empuk dan lembut.
* Taburkan daun kesom di atas asam pedas rusuk lembu dan dihidangkan bersama nasi panas.