Nadia Kahf hakim wanita bertudung pertama New Jersey - Utusan Malaysia

Nadia Kahf hakim wanita bertudung pertama New Jersey

Nadia Kahf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU LALU nama Nadia Kahf menjadi sebutan media antarabangsa dan laman sosial di seluruh dunia berikutan kejayaan beliau dilantik sebagai hakim di Mahkamah Agung New Jersey, Amerika Syarikat (AS).

Istimewanya Nadia, beliau menjadi hakim wanita Islam bertudung pertama di mahkamah tersebut selepas upacara angkat sumpah dan pelantikan rasmi dalam satu majlis di Paterson sehari sebelum Ramadan bermula, 21 Mac lalu.

Nadia yang merupakan lulusan undang-undang mengangkat sumpah jawatannya dengan menggunakan kitab suci al-Quran yang diwarisi daripada neneknya.

Pemimpin masyarakat, termasuk datuk bandar, ahli majlis, ahli lembaga sekolah dan pemimpin Persatuan Peguam Muslim New Jersey, menandatangani surat pada Mei yang menyeru Senator, Kristin Corrado untuk menyokong pencalonannya.

Lebih 700 orang menandatangani petisyen dalam talian untuk menyokong pencalonan Nadia.

Nadia yang berasal dari Syria, berhijrah bersama keluarganya ke AS ketika berusia dua tahun.

Nadia, 50, mula berkhidmat sebagai peguam undang-undang keluarga dan imigresen di Wayne dan dilantik sebagai Presiden Pusat Islam Daerah Passaic, salah satu masjid terbesar di New Jersey.

Beliau juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah Majlis Perhubungan Amerika-Islam di New Jersey yang juga sebuah organisasi pembelaan hak sivil sejak 2003.

Selain itu, Nadia pernah memegang jawatan sebagai penasihat undang-undang kepada Wafa House, sebuah agensi sukarelawan untuk memerangi keganasan rumah tangga dan perkhidmatan sosial yang berpangkalan di Clifton.

Akhbar Insider di New Jersey pada tahun 2020 meletakkan Nadia antara umat Islam terbaik daripada segi pengaruh dalam akademik, perniagaan, kerajaan, undang-undang, politik, agama, keadilan sosial dan lain-lain.

Beliau merupakan wanita Islam ketiga berkhidmat di Mahkamah Agung New Jersey bagi mendengar kes jenayah dan sivil bersama Sharifa Salam dan Kalima Ahmed.

Sharifa dan Kalima masing-masing menyandang jawatan sebagai hakim di Mahkamah Agung di daerah Essex dan Hudson.

Nama Nadia dicalonkan oleh Gabenor New Jersey, Phil Murphy tahun lalu dan beliau melahirkan rasa syukur selepas ditugaskan sebagai hakim Mahkamah Agung di Passaic County.

“Saya berbangga mewakili masyarakat Arab dan umat Islam di New Jersey.

“Saya mahu generasi muda melihat bahawa mereka boleh mengamalkan ajaran agama tanpa rasa takut dan harus berani menjadi diri sendiri.

“Kepelbagaian adalah kekuatan, bukan kelemahan kita,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya