Khayal tengok lenggok Cik Delima - Utusan Malaysia

Khayal tengok lenggok Cik Delima

Akuarium paling besar dimiliki bersaiz lapan kaki, ditempatkan di ruang tamu rumahnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTUK badan yang cantik dan gaya renangan mempesona membuatkan seorang usahawan dari Bandar Country Homes di Rawang, Selangor khayal setiap kali memandang ‘Cik Delima’.

Tetapi jangan salah sangka, Cik Delima yang dimaksudkan bukanlah seorang wanita, sebaliknya merupakan ikan arowana jenis Super Red Indonesian Kapuas.

Mohamad Al-Hafizi Nasaruddin, 35, berkata, Cik Delima yang berwarna merah menyala itu mula dipelihara sejak tiga tahun lalu dan merupakan ikan paling disayangi antara kesemua 50 ekor dalam koleksinya.

Malah, katanya, ikan hiasan eksotik itu merupakan yang termahal pernah dibeli dengan harga mencecah RM20,000 seekor.

“Cik Delima cukup istimewa berbanding yang lain kerana gaya dan lagaknya di samping sisik berkilat seperti buah delima.

“Ketika dibeli panjangnya hanya kira-kira 35 sentimeter tetapi kini sudah mencapai 63.5 sentimeter.

“Untuk mengelak pergaduhan ia ditempatkan secara bersendirian di dalam akuarium tanpa bercampur dengan ikan-ikan lain,” katanya kepada Seri.

Cik Delima dibeli pada harga RM20,000.

Menurut Mohamad Al-Hafizi, memelihara ikan merupakan satu terapi kerana segala stres kerja akan hilang setiap kali memandang hidupan air itu berenang hingga tidak sedar berjam-jam masa berlalu.

Katanya, daripada 50 ikan hiasan yang dipelihara itu sembilan merupakan arowana iaitu Malaysian Golden Blue Base, Malaysia Golden, Super Highback, Highback, Super Red Malaysia, Silver Albino dan Silver.

Ikan-ikan lain ialah siakap air tawar, kaloi, pari Black Diamond, Indonesian Tiger, Oscar dan Parrot.

Ujarnya, kesemua haiwan peliharaan itu ditempatkan di dalam tujuh akuarium khas iaitu tiga di ruang tamu manakala dua di bilik stor dan bakinya di bilik tidur dengan kos keseluruhan yang dibelanjakan hampir RM100,000 termasuk ikan.

Menceritakan detik awal penglibatannya, Mohamad Al-Hafizi bermula dengan memelihara ikan sungai seperti kelah dan sebarau, sebelum bertukar kepada arowana kira-kira 10 tahun lalu kerana terpesona dengan kecantikan haiwan itu.

Jelasnya, daripada akuarium berukuran tiga kaki kemudian ditambah baik kepada enam kaki dan akhirnya ke saiz lapan kaki.

Sembilan ‘naga’ dalam akuarium

Arowana yang juga dikenali sebagai kelisa atau naga, terkenal dengan sifat garang dan tidak gemar berkawan, namun Mohamad Al-Hafizi mengambil langkah berani dengan cuba meletakkan kesemua sembilan ikan hiasan itu di dalam satu akuarium.

Katanya, sepanjang lima tahun melakukan eksperimen itu, tiada ikan yang mati akibat pergaduhan.

“Cara ini sangat mencabar kerana ikan berisiko digigit oleh yang paling nakal hingga cedera, jadi pemerhatian rapi perlu dibuat bagi memantau keadaan di dalam akuarium.

“Salah satu teknik yang saya pelajari daripada kawan-kawan ialah arus dalam akuarium perlu kuat bagi mengelak arowana bergaduh dan hanya fokus kepada berenang. Di samping itu, saya akan mengeluarkan dahulu kesemua ikan sebelum memasukkan ikan baharu,” katanya.

Menurut Mohamad Al-Hafizi, kos bagi makanan dianggarkan RM300 seminggu dan setakat ini tiada sebarang pulangan diraih kerana matlamat utama hobi itu bukan untuk menjana pendapatan sampingan sebaliknya kerana minat semata-mata.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.