Razia, wanita Afghanistan cemerlang akademik di India - Utusan Malaysia

Razia, wanita Afghanistan cemerlang akademik di India

RAZIA Muradi menerima pingat emas dan sijil daripada Gabenor Gujerat, Acharya Devvrat. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Razia Muradi naik ke pentas untuk menerima anugerah bagi prestasi akademik yang cemerlang, dia berasa gembira dan sedih pada masa yang sama.

Razia, 27, asal Afghanistan memilih melanjutkan pelajaran di India selama dua tahun selepas berjaya mendapatkan biasiswa disediakan Majlis Perhubungan Kebudayaan India untuk menyertai kursus sarjana dalam Pentadbiran Awam di Veer Narmad South Gujarat University (VNSGU) di Gujarat.

Beliau baru-baru ini menjadi tajuk utama media apabila berjaya meraih pingat emas kerana mengungguli kursus sarjana dalam pentadbiran awam dengan gred kumulatif tertinggi dalam sejarah di universitinya.

Gembira berbaur sedih

Tetapi hatinya luluh saat menerima pingat emas itu kerana keluarganya tidak dapat bersama meraikan pencapaian terbaiknya selain mengenangkan nasib wanita di Afghanistan yang makin memburuk dan tertindas.

“Ia adalah saat yang pahit. Saya gembira kerana kerja keras saya membuahkan hasil, tetapi saya merindui keluarga saya.

“Saya turut memikirkan tentang gadis dan wanita Afghanistan yang dilucutkan hak mereka untuk belajar dan bekerja,” katanya.

Sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada Ogos 2021, mereka menyekat hak serta kebebasan wanita dengan kejam dan paling teruk apabila pelajar perempuan dihalang daripada menghadiri sekolah menengah dan universiti.

Razia bernasib baik kerana Taliban belum lagi berkuasa dan dia masih dibenarkan belajar ketika terbang ke India pada Februari 2021.

Tetapi persediaan dan fokusnya untuk menghadapi peperiksaan bukan sesuatu yang mudah kerana sering terbayang tentang keselamatan keluarganya dan tertanya-tanya sama ada orang yang disayanginya bakal menjadi mangsa perang.

“Di zon konflik, semua orang berada dalam bahaya. Saya terus mendengar tentang letupan dan serangan. Saya akan cuba menyemak tentang keselamatan keluarga saya pada bila-bila masa, tetapi internet yang lemah di Afghanistan menyukarkan perkara ini.

“Keluarga melakukan begitu banyak pengorbanan untuk saya. Kecemerlangan dalam pelajaran wajib saya lakukan demi untuk melindungi mereka,” katanya.

Enggan pulang

Razia tidak dapat menjenguk keluarganya sejak dua tahun lalu, namun mengakui tidak merancang pulang ke Afghanistan walaupun selepas menamatkan pelajarannya.

“Tiada masa depan yang cerah untuk saya di Afghanistan dan saya mahu bawa keluarga saya keluar.

“Rakyat kehilangan pekerjaan dan pelbagai rancangan berkaitan pembangunan serta pemulihan dihentikan. Daripada kemajuan yang sepatutnya dicapai, sebaliknya negara kami semakin mundur,” katanya.

Razia yang sedang menyambung pelajaran ke peringkat PhD di universiti sama tidak takut berbicara tentang keadaan di negaranya malah merasa bertanggungjawab untuk bercakap benar.

“Jika kita hanya berdiam diri, tidak akan ada peluang untuk mengubah rejim ini. Taliban mahu orang ramai berdiam diri. Tetapi sebagai seorang wanita Afghanistan, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk bercakap tentang kesan rejim itu terhadap masyarakat.

“Saya sangat bersyukur keluarga dan komuniti saya sentiasa menyokong impian saya. Kerana mereka saya dapat menjadi wanita yang aktif dalam masyarakat dan berjanji akan melakukan sesuatu untuk mereka melalui pencapaian saya ini,” katanya kepada BBC. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.