‘I-Sayang, kalau cukup kuota, darablah empat - Utusan Malaysia

‘I-Sayang, kalau cukup kuota, darablah empat

Kemudahan i-Sayang bertujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang rakan sekerja saya berbangsa Cina, Siew Mei pernah memberitahu saya lama dulu, kasih sayang antara suami isteri tidak mungkin sama sepanjang waktu, ada pasang surutnya.

Kalau jari Tuhan ciptakan panjang pendek, apa lagi soal hati. Katanya memberikan perumpamaan yang membawa saya berfikir.

Apa yang kita belajar daripada buku sekolah, sekitar tahun 90-an waktu itu ialah ‘Bagai isi dengan kuku’ atau ‘Kalau jari sejengkal usah memancing di tengah laut’ sahaja.

Siew Mei jugalah yang selalu bercerita kepada saya mengenai perhubungannya dengan suami yang pada hemahnya, lebih banyak kusut daripada aman, lantaran skandal.

Pada usia belasan tahun dan tanpa pengalaman, saya tadah telinga sahaja lah. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Perhubungan itu, kisah sulit lagi peribadi.

Namun, hari ini cerita perhubungan termasuk putus kasih atau tambah cawangan, bukan lagi cerita yang malu untuk dihebohkan. Di Selangor sahaja ada 856 kes diterima permohonannya oleh Mahkamah Syariah untuk berpoligami berbanding 1,617 kes mohon pengesahan pendaftaran poligami. Di negeri lain bagaimana?.

Pengarah Kanan (Kehakiman), Mohamad Zakian Dio berkata, suami tidak sanggup menghadap isteri di mahkamah menyebabkan mereka mengambil jalan mudah dengan bernikah di tempat negara lain.

Prosedur (poligami) tidak susah. Kalau pergi ke Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) nyatakan hasrat, isi borang tertentu dan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu diikuti. Itupun ramai yang tidak ikut.

Di mata wanita, letakkan apa pun syaratnya, suami yang tidak mahu mendapatkan kebenaran, bukan takut dengan reaksi isteri tetapi nak kerja senang dan mudah. Kalau kena denda, bayar. Tak tahan dengan mulut isteri, keluar rumah.

Bagi yang ‘bijak’ dia hanya kunci mulut hinggalah ke hembusan nafas terakhir. Bukan satu dua kes begitu. Tetapi bab rumahtangga ini, tiada yang suka bising-bising, paling kuatpun berserah kepada takdir.

Hanya wanita kuat semangat yang sanggup turun naik mahkamah. Selebihnya bertahan kerana ‘tak kuasa’ nak melalui pelbagai proses dan undang-undang yang ada.

Persoalannya sampai bila? Usaha perlu dilakukan untuk memperbaiki sistem perundangan dan prosidur penggendalian kes keluarga melibatkan mahkamah sivil dan syariah.

Kajian dan ambil pendekatan lebih efisien, efektif dan melindungi psikososial dan mental wanita dan anak-anak.

Segerakan kewujudan mahkamah mesra keluarga dalam mengendalikan kes melibatkan isu kekeluargaan dan penceraian.

Inisiatif i-Sayang, yang membolehkan suami memindahkan dua peratus caruman KWSP syer pekerja ke akaun isteri, patut diwajibkan, bukan sukarela.

Tak kisahlah isteri itu bekerja ataupun tidak. Kalau cukup kuota, darabkan empat. Kan lebih mudah?

Nor Afzan Pengarang Rencana, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya