Tidak mahu mendengar atau OKU pendengaran? - Utusan Malaysia

Tidak mahu mendengar atau OKU pendengaran?

PERKEMBANGAN bahasa-pertuturan terhad, berpunca daripada sel-sel saraf pendengaran di bahagian otak tidak dapat berhubung dengan baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dua hingga tiga orang bayi dalam setiap 1,000 kelahiran berisiko dilahirkan dengan masalah pendengaran dan kebanyakan bayi yang bermasalah pendengaran dilahirkan dari keluarga yang tidak mempunyai sejarah keturunan pekak.

Menurut Pegawai Audiologi, Hospital Pakar KPJ Bandar Maharani, Khadijah Azura Salim, ibu bapa perlu mengambil perhatian berkaitan simptom awal masalah pendengaran dalam kalangan bayi dan kanak-kanak bagi membolehkan tindakan awal dibuat.

“Pendengaran merupakan deria utama yang penting untuk perkembangan komunikasi seorang bayi dan ia mula terbentuk sejak dalam kandungan. Pendengaran membolehkan mereka memperolehi sumber rangsangan untuk membina kemahiran bertutur-bahasa, bersosial dan seterusnya membentuk pemahaman di dalam otak yang penting dalam proses pembelajaran kelak.

“Kanak-kanak turut mempunyai tempoh usia emas iaitu sejak lahir hingga tiga tahun bagi menguasai kesemua keupayaan awal komunikasi di peringkat awal kehidupan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kajian mendapati seorang bayi normal akan mengambil masa lebih kurang 10 hingga 14 bulan untuk menyebut perkataan pertama yang bermakna.

RANGSANG DERIA
Rangsangan deria pendengaran yang optimum di awal usia amat diperlukan bagi memastikan seorang bayi dan kanak-kanak dapat membina asas komunikasi yang kukuh.

Namun, sekiranya berlaku masalah pendengaran, laluan ke bahagian otak pendengaran akan terhalang.

Khadijah berkata, bunyi tidak berupaya sampai ke bahagian otak dengan kualiti mencukupi.

“Sel-sel saraf pendengaran di bahagian otak tidak dapat berhubung dengan baik dan menghadkan perkembangan bahasa-pertuturan,” jelasnya.

Sekiranya terdapat kebimbangan mengenai pendengaran atau perkembangan pertuturan kanak-kanak, ia juga boleh menjadi salah satu penyebab untuk memulakan tindakan pemeriksaan pendengaran.

Sekiranya diperlukan menjalani rawatan perubatan yang sementara atau berkekalan, adalah lebih baik untuk memulakan langkah pengesanan awal secepatnya mungkin.

“Sesetengah masalah pendengaran boleh dipulihkan dengan rawatan perubatan atau pembedahan, namun ada juga yang memerlukan penggunaan alat pendengaran.

“Selain mengikuti sesi pemulihan pendengaran bersama pakar audiologi, bayi dan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran ini turut perlu mengikuti sesi terapi pertuturan sebagai pengukuhan kepada penguasaan kemahiran komunikasi mereka,” kata Khadijah.

Keseluruhan proses ini memakan masa, namun ia memerlukan kerjasama dan pemahaman jangkaan yang realistik dari ibu bapa dan keluarga.

“Bayi dan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran amat memerlukan sokongan berterusan kerana persekitaran yang konsisten dengan rangsangan bunyi terutamanya di rumah akan membina peluang pemulihan yang lebih efektif,” katanya.

SIMPTOM:
* Tidak boleh bertutur pada usia 18 bulan atau lambat bertutur berbanding dengan kanak-kanak sebaya yang lain.

* Tidak terkejut atau terbangun (dari tidur) pada bunyi yang kuat.

* Tidak reaksi kosisten terhadap bunyi. Contohnya tiada sebarang tindakbalas apabila mendengar bunyi dentuman pintu yang berulangan.

* Tidak mempedulikan panggilan apabila dipanggil sehingga memperlihatkan keraguan atau tidak memberi pehatian.

* Sentiasa meninggikan bunyi televisyen atau gajet yang digunakan.

* Sering salah faham dan kerap memerlukan pengulangan dalam perbualan atau arahan.

* Pertuturan pelat atau sebutan bunyi-bunyi pertuturan salah dan sangat ketara.

* Suka bercakap dengan kuat.

* Menunjukkan prestasi akademik yang lemah.

* Menunjukkan masalah kelakuan luar kawalan (tantrum) apabila hasrat mereka tidak difahami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya