Mengharap bahagia di penghujung usia - Utusan Malaysia

Mengharap bahagia di penghujung usia

Selepas dua perkahwinannya sebelum ini berdepan kegagalan , dia serik dan takut untuk dicintai apalagi mencintai seorang lelaki.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jodoh adalah urusan takdir yang ditentukan oleh Allah Taala. Lambat atau cepat, panjang atau pendek jodoh seseorang tiada siapa yang dapat mengetahuinya.

Namun sebagai seorang hamba, seseorang itu perlu berusaha dan berikhtiar serta terus berdoa agar dikurniakan jodoh yang baik dan kekal hingga ke akhir hayat.

Pernah melalui detik getir perpisahan dan kesedihan dalam rumah tangga sedikit sebanyak mempengaruhi Liza, (bukan nama sebenar) untuk melangsungkan perkahwinan sekali lagi dan tidak berusaha mencari jodoh.

Bagaimanapun sesekali dia terasa juga ingin disayangi dan memiliki keluarga sendirian.

Dia yang saya temui baru-baru ini mengakui kini dalam dilema sama ada menolak atau menerima lamaran seorang lelaki yang dikenali sejak enam bulan lalu.

Sudah lama diintai, memikat sahaja belum.

Kehadiran Mustakim (bukan nama sebenar), tidak pernah diduga.

Sayangnya, lelaki itu berstatus suami orang.

Namun ada sesuatu yang menarik perhatiannya terhadap lelaki itu.

Bagaimanapun, kepahitan semalam mendera perasaan.

Dia benar-benar tidak berani mencintai, jauh sekali membiarkan diri dicintai.

Ingin menjauh tetapi makin dekat pula jadinya.

Dalam diam, sedetik rasa cinta mula bertunas dalam jiwanya.

Selepas dua perkahwinannya sebelum ini berdepan kegagalan , dia serik dan takut untuk dicintai apalagi mencintai seorang lelaki.

Akui Liza sepanjang tempoh itu dia bahagia dan tenang tanpa terikat dengan mana-mana hubungan cinta lelaki.

Dia mampu mengatur hidup dan kerjayanya lebih baik.

“Saya sudah malas memulakan hubungan baharu. Usia saya juga bukan muda lagi. Saya tidak mahu membuang masa jika bertemu jodoh dengan lelaki serasi, jumpa ibu bapa dan terus kahwin,” ujarnya yang bakal memasuki usia 45 tahun pada 2 Mac depan.

Berkongsi pengalaman, Liza berkata perkahwinan pertamanya dengan, Zaidan (bukan nama sebenar) atas aturan keluarga.

Mereka ditemukan dan selepas itu Zaidan menyatakan persetujuan untuk berkahwin.

Liza dan Zaidan bertunang lebih kurang tiga bulan. Mereka disatukan dalam majlis sederhana. Lima hari selepas itu dia mengikut suami pulang ke Kuala Lumpur.

Perasaan gembiranya sebagai seorang isteri berubah sekelip mata apabila tiba-tiba dia dilayan seperti orang asing oleh suami.

Selama tiga bulan tinggal sebumbung, suami dan dia tidak tidur bersama sehingga terdetik di hati bahawa keluarganya sudah tersalah pilih suami.

Apalah guna bergelar suami isteri, tinggal serumah tetapi tidak pernah disentuh.

Enam bulan berlalu. Mereka tetap bersama.

Selepas melalui betapa getirnya hubungan tanpa siapapun tahu dengan pelbagai usaha untuk mempertahankan hubungan, akhirnya Liza minta untuk dilepaskan.

Mengganggap setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Tidak lama selepas berpisah, dia menyambung pengajiannya dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak selama dua tahun.

Dia memulakan kerjaya sebagai guru di sebuah tadika di utara tanahair.

Mengharap bahagia pada perkahwinan kedua, sayangnya harapan tinggal harapan apabila dia digantung tidak bertali.

Lelaki yang dinikahi, Farid (bukan nama sebenar), berubah sikap sekelip mata selepas kekasih lamanya, Miera (bukan nama sebenar) muncul kembali.

Farid yang dulunya baik dan penyayang mula menjadi panas baran dan kaki pukul.

Keadaan diburukkan lagi dengan campur tangan keluarga mentua dan ipar duai.

Mereka merancang untuk menjodohkan Farid dengan Miera dengan alasan dia tidak mampu memberi zuriat untuk suami.

Enggan terus didera mental dan fizikal, Liza mohon undur diri.

Penderitaannya tidak tamat di situ sahaja.

Dia terpaksa melalui tempoh panjang sehingga hampir tiga tahun untuk menunggu proses tuntutan cerai di mahkamah berikutan bekas suami berdolak-dalik untuk melepaskannya.

Berpindah tempat kerja di Sabah, Liza merancang sesuatu untuk terus melupakan kesakitan lalu.

Di kelilingi teman-teman yang saling menyokong, Liza semakin bahagia dan bertambah gembira dengan kerjayanya sebagai guru.

Akui Liza, sebagai manusia normal, dia juga ingin mengecap bahagia sebagai seorang isteri.

Setelah bersendirian hampir sedekad, Mustakim satu-satunya lelaki yang berjaya mengetuk dan membuka pintu hatinya untuk kembali bercinta.

Pun begitu dia tahu bukan mudah berkongsi kasih dengan wanita lain.

Dia perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal yang lebih berbanding berkahwin dengan lelaki yang bukan milik mana-mana wanita.

Dalam tempoh terdekat ini juga dia akan melakukan solat istikharah bagi memohon petunjuk daripada Allah SWT dalam menentukan pilihan dan apa yang terbaik tentang jodohnya.

Sesungguhnya rezeki, jodoh, ajal maut telah ditetapkan Allah SWT sejak di Luh Mahfuz.

Setiap sesuatu yang ditakdirkan sebagai hamba menjadi rahsiaNya kerana tiada siapa yang mengetahui apa yang bakal berlaku dalam perjalanan hidup masing-masing.

Meskipun segala-galanya telah tertulis, Allah SWT tidak pernah menghalang manusia daripada berikhtiar untuk mendapatkan yang terbaik dalam kehidupan mereka.

Solat sunat Istikharah merupakan salah satu solat sunat yang dilakukan untuk memohon petunjuk daripada Allah SWT.

Ia dilakukan apabila seseorang ragu-ragu dalam membuat pilihan atau keliru dalam menentukan sesuatu yang terbaik.

Perkara ini dinyatakan di dalam hadis Jabir bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhamad SAW bermaksud:
Rasullulah SAW mengajar kami tentang memohon pilihan (terbaik) dalam setiap urusan (Istikharah) sebagaimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran .
Baginda bersabda: Jika seseorang daripada kami menghadapi masalah maka solatlah dua rakat yang bukan solat wajib… (Riwayat al-Tirmizi (480).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya