Isteri kesal terlanjur dengan suami orang - Utusan Malaysia

Isteri kesal terlanjur dengan suami orang

Kecurangan Murni dihidu Akhmal apabila dia mulai dingin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Andai waktu dapat diputar kembali, Murni, (bukan nama sebenar) antara wanita paling bahagia.

Kerana apa? Kerana banyak kesilapan di masa lalu yang mahu diperbaiki.

Namun ia tidak mungkin sama sekali. Yang ada hanya seribu penyesalan.

Sebagai manusia, kita tidak mampu mengubah takdir dengan kembali ke masa lalu.

Seperti pepatah mengatakan ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Yang boleh kita lakukan saat ini hanyalah menerima kenyataan dengan rasa syukur dan berusaha memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Minggu ini saya kongsikan kisah, Murni yang sehingga hari ini hidup dengan penuh penyesalan selepas curang pada suami.

Walaupun peristiwa itu hampir sedekad berlalu, kesannya amat dirasai sehingga ke hari ini.

Kesetiaan Murni dan suami, Akmal, (bukan nama sebenar) teruji dengan perkahwinan jarak jauh selepas kehadiran orang ketiga yang cuba mengisi kesunyian.

Murni yang saya temui baru-baru ini mengakui, dia benar-benar insaf dan kesal atas perbuatan lampaunya.

Akui wanita berusia 33 tahun itu, bukan niatnya untuk membuka pekung di dada, sebaliknya mahu memberi pengajaran kepada wanita lain untuk tidak bermain api.

Murni berkahwin dengan Akhmal sebaik mereka menamatkan pengajian di universiti tempatan pada 2007.

Bahtera perkahwinan atas dasar cinta itu terlihat saling melengkapi antara satu sama lain.

Mereka dikurniakan dua cahaya mata, lima dan tiga tahun.

Namun tiada siapa menduga, rumahtangga mereka diuji dengan kehadiran orang ketiga menyebabkan ia karam dan musnah pada pertengahan Mac 2013.

Segala-galanya terjadi selepas Murni dan Akhmal terpaksa melalui hubungan jarak jauh.

Akhmal ditugaskan ke selatan tanahair selepas dinaikkan pangkat sebagai pengurus di tempat kerjanya.

Dalam tempoh kurang dua bulan melalui hubungan jarak jauh, Murni didekati seorang lelaki ketika meraikan majlis meraikan perkahwinan rakan sekerjanya.

Lelaki berusia pertengahan 40-an, Mahadi, merupakan kenalan kepada abang keluarga pengantin.

Dari situ mereka mula berkenalan dan bertukar-tukar nombor telefon.

Kali pertama bertemu, Murni sudah dapat merasakan keserasian antara mereka berdua.

Berstatus suami orang tidak membuatkan Murni menjauhkan diri, bahkan ia menjadi tiket kepada mereka untuk lebih rapat dan berkongsi cerita tentang keluarga masing-masing.

Murni mula jatuh hati dengan Mahadi yang sangat manja dan romantik.

Seharian tidak bertemu, Murni rasa sasau, rindu dendam dan mula gila bayang.

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan Murni terus bermain api dengan menjalin hubungan lebih serius dengan Mahadi.

Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Perbuatan curang Murni dihidu Akhmal selepas Murni menunjukkan perubahan sikap yang begitu ketara setiap kali dia pulang bertemu keluarga pada hujung minggu.

Murni tidak mengalu-alukan kepulangan Akhmal.

Sikap acuh tidak acuh dalam memberi layanan terutama ketika di ranjang membuatkan Akhmal terfikir bahawa isteri ada merahsiakan sesuatu daripadanya.

Rahsia besar Murni akhirnya terbongkar selepas Akhmal pulang secara senyap-senyap dan mengintip pergerakan isterinya.

Pun begitu, Murni tetap menafikan sekeras-kerasnya tentang hubungannya dengan Mahadi.

Disebabkan terlalu cintakan Murni, Akmal mempercayai kata-kata isterinya dan mereka meneruskan hubungan jarak jauh seperti biasa.

Sehinggalah pada awal Mei 2012 , Murni disahkan hamil anak ketiga.

Perkhabaran itu amat mengembirakan Akhmal yang sudah sekian lama menantikan saat itu yang boleh dijadikan alasan dia kembali semula di samping keluarga.

Genap sembilan bulan, tiba masanya untuk Murni melahirkan.

Namun entah dimana silapnya, Murni mengalami kesakitan luar biasa seolah-olah ada sesuatu yang menghalang kelahiran bayi.

Hampir satu jam Murni meronta menahan kesakitan sambil merintih memanggil suaminya.

Murni dalam keadaan tidak berupaya merangkul kedua tangan suami dan dengan suara terputus-putus mengakui perbuatan terkutuknya selama ini berzina beberapa kali dengan kekasihnya.

Bayi yang dikandung adalah anak hubungan sulitnya dengan Mahadi.

Mendengar pengakuan isterinya, terasa gelap dunia ini dirasai Akhmal.

Namun Allah menunjukkan kebesaranNya melembutkan hati seorang suami dan memaafkannya.

Sebaik Murni berterus terang tentang bayinya itu, dia sudah bersedia menerima apa juga hukuman dan keputusan suami.

Murni selamat melahirkan anak ketiganya namun meninggal dunia beberapa jam selepas itu.

Bagaimanapun dia diceraikan dengan talak satu oleh suaminya selepas habis pantang.

Murni sedar apa yang berlaku atas kesilapannya sendiri dek kerana terlalu menurut nafsu serakah.

Hubungan dia dan Mahadi juga tidak ke mana selepas lelaki itu memilih untuk terus setia dengan isterinya.

Sesungguhnya isteri yang menyakiti dan mengabaikan suami boleh menyebabkan kesan yang buruk di dunia dan di akhirat kerana kunci untuk masuk ke syurga bagi seorang isteri terletak pada keredaan suaminya.

Sebagaimana sabda Rasullulah SAW yang bermaksud:

Jikalau memerintahkan seseorang itu untuk bersujud, pasti aku akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya. (HR Tirmizi 1159)
Hadis tersebut jelas menyatakan kedudukan suami dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh isteri kepada suaminya.
Ia turut memberi gambaran bahawa seorang isteri wajib taat, patuh dan hormat kepada suami kecuali pada perkara yang mungkar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.