Endometriosis punca susah hamil - Utusan Malaysia

Endometriosis punca susah hamil

Endometriosis menyebabkan inflamasi di dalam badan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Senggugut yang teruk selalunya dikaitkan dengan Endometriosis yang menyebabkan tuib fallopian tersumbat yang boleh menyukarkan wanita untuk hamil.

Wanita yang sukar hamil dan sering mengalami senggugut perlu menjalani pemeriksaan di hospital bagi memastikan sama ada mereka mengalami endometriosis atau tidak.

Ketua Jabatan Obstetriks dan Ginekologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Prof. Dr. Nur Azurah Abdul Ghani berkata, dianggarkan 30 peratus wanita yang hadir ke klinik untuk rawatan fertiliti atau kesuburan mengalami masalah endometriosis.

“Endometriosis menyebabkan pengumpulan darah di kilang telur. Ini boleh menyebabkan sista kilang telur berlaku. Kehadiran endometriosis di kilang telur juga boleh merosakkan tisu kilang telur serta kualiti telur, menyebabkan wanita terbabit sukar hamil.

“Endometriosis juga boleh menyebabkan kesakitan ketika bersama pasangan. Ini boleh mengurangkan kekerapan pasangan melakukan hubungan kelamin. Seterusnya ia mengurangkan peluang untuk hamil,” katanya.

Peluang hamil wanita mengalami endometriosis ada, tetapi mungkin tidak semudah wanita normal.

Adakalanya pesakit perlu bantuan menggunakan teknik IVF untuk hamil.

Tisu tertanam di luar
Endometriosis adalah keadaan di mana tisu atau sel berasal dari selaput dalam rahim iaitu ‘endometrium’, tertanam di luar rahim.

Ia juga boleh tertanam atas permukaan rahim, kilang telur, pundi kencing, usus serta permukaan dalam abdomen.

“Setiap bulan, di bawah pengaruh hormon, sel-sel di dalam rahim akan menebal serta menipis. Begitu juga sel-sel yang terdapat di luar rahim ini. Ia juga mengalami proses yang sama walaupun berada di luar rahim.

“Lazimnya wanita berasa sakit sehari dua sahaja ketika didatangi haid. Berbeza dengan sakit disebabkan endometriosis, akan menyebabkan wanita berasa sakit sepanjang haid iaitu tujuh hingga sembilan hari yang boleh mengganggu fungsi harian wanita tersebut,” katanya.

Punca tidak diketahui
Punca sebenar endometriosis masih tidak diketahui malah dunia perubatan masih tercari-cari apa yang menyebabkan ia berlaku.

Dr. Azurah berkata, ada anggapan endometriosis berlaku disebabkan tumpahan haid ke belakang, di mana sebahagian darah haid akan keluar melalui tuib fallopian.

“Darah haid akan menitis ke atas permukaan rahim, kilang telur, pundi kencing, usus serta abdomen. Spekulasi lain dikatakan berlakunya proses metaplasia secara transcoelomic, di mana sel dalam abdomen mengalami perubahan menjadi sel rahim.

“Selain itu, sel-sel rahim dikatakan boleh memasuki salur darah serta salur limfa dan akan tertanam jauh dari rahim,” katanya.

Tiada rawatan
Individu didatangi haid pada peringkat umur awal, mempunyai kitaran haid yang pendek, didatangi haid yang banyak serta mempunyai indeks jisim tubuh (BMI) rendah, dikatakan lebih cenderung mengalami endometriosis.

“Remaja mengalami struktur trek reproduktif tidak normal di mana haid tidak dapat keluar dengan sempurna juga dikatakan berisiko mengalami endometriosis,” katanya.
Sehingga kini, tiada ubatan mampu menyembuhkan wanita itu dari masalah endometriosis.

Ubat hormon hanya mampu mengawal agar keadaan tidak menjadi lebih serius.

Manakala ubat tahan sakit diberikan untuk mengawal senggugut.

“Ubat hormon bertujuan memberhentikan haid. Sekiranya tiada haid, endometriosis berada dalam keaadan dorman, yang mana wanita tidak akan mengalami kesakitan. Situasi ini sama ketika wanita itu hamil atau menyusukan anak, di mana wanita tidak didatangi haid,” katanya.

Bagi mereka yang mempunya sista di kilang telur (endometrioma), pembedahan perlu dilakukan untuk mengeluarkan sista tersebut yang boleh boleh dilakukan menerusi laparoskopi.

Wanita yang berumur lebih 45 tahun serta sudah mempunyai anak, adakalanya pembedahan histerektomi (buang rahim serta kilang telur) dilakukan sekiranya rawatan ubatan tidak berkesan.

Diet melegakan endometriosis
Endometriosis lazimnya menyebabkan inflamasi di dalam badan.

Pengambilan makanan seimbang mampu menguatkan imuniti badan.

Pengambilan suplemen seperti anti-oksida serta probiotik mampu mengurangkan inflamasi yang berlaku di dalam badan.

Secara tidak langsung, ia mampu mengurangkan kesakitan dialami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya