PEPATAH ada menyebut, isteri merupakan tulang belakang suami. Tidak kira apa jua yang berlaku, sebagai isteri seharusnya sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk kebaikan suaminya.
Kejayaan pasukan bola sepak Argentina merangkul Piala Dunia 2022 baru-baru ini adalah hasil titik peluh dan usaha keras para pemainnya dalam menampilkan aksi perlawanan yang hebat.
Namun, di sebalik kejayaan dikecapi, terdapat insan-insan penting yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan menjadi pembakar semangat mereka.
Antara yang menjadi tumpuan adalah isteri kepada bintang bola sepak Lionel Messi, iaitu Antonela Roccuzzo.
Mengenakan jersi pasukan Argentina bernombor 10, iaitu nombor yang mewakili Messi sambil ditemani tiga anak mereka, Roccuzzo bersorak dengan penuh semangat ketika menyaksikan suaminya dan pemain lain beraksi menentang Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia Qatar, baru-baru ini.
Walaupun tampil dengan imej yang bersahaja, figura itu masih mendapat liputan media antarabangsa, terutamanya ketika Messi menjulang trofi Piala Dunia.
HUBUNGAN JARAK JAUH
Roccuzzo dan Messi menjalin hubungan jarak jauh sejak dari zaman bercinta sehinggalah kini.
Hal ini kerana Messi terikat dengan jadual latihan yang ketat dan Rocuzzo sendiri mempunyai perniagaan yang perlu diuruskannya.
Namun, hubungan jarak jauh itu tidak sedikit pun memudarkan kasih sayang antara mereka, malah hubungan Messi dengan tiga anaknya tetap terjalin akrab.
Messi sebelum ini pernah memuji isterinya dengan menyifatkan wanita itu sebagai ‘individu yang penuh dengan kualiti hebat’.
“Saya amat mengagumi isteri saya, terutamanya bagaimana dia menghadapi pelbagai situasi hari demi hari.
“Dia sentiasa dalam mood yang baik dan cara dia menyelesaikan setiap masalah adalah paling hebat.
“Tidak mungkin saya boleh berjumpa dengan wanita lain seperti dia,” kata Messi.
TIDAK JEMU
Roccuzzo yang merupakan seorang model tidak pernah jemu memberikan sokongan dan menyaksikan perlawanan melibatkan suaminya.
Padanya, setiap perlawanan yang menampilkan Messi sama seperti menampilkan dirinya.
Oleh hal yang demikian, dia mahu sentiasa bersama suaminya, tidak kira dalam apa jua keadaan.
KENAL MESSI KETIKA KECIL
Pasangan itu mula berkenalan ketika mereka masih kecil di kampung halaman mereka iaitu di Rosario, Argentina.
Kedua-duanya saling berkawan baik sehingga zaman remaja dan bibit cinta mula berputik antara mereka.
Namun, hubungan cinta itu terputus buat sementara waktu apabila Messi berpindah ke Sepanyol bagi meneruskan cita-citanya untuk bergelar pemain bola sepak profesional.
BERSATU SEMULA
Pada 2005, rakan baik Roccuzzo, Ursula Notz maut dalam kemalangan jalan raya dan selepas Messi mendapat tahu berita tersebut, dia terus terbang ke Argentina untuk memberi sokongan moral kepada wanita yang disayanginya.
Pada 2019, Roccuzzo memberikan penghormatan kepada Notz menerusi beberapa hantaran dalam Instagram dan menyatakan dia akan terus menyayangi rakannya itu biarpun jasadnya sudah tiada.
Selain itu, Roccuzzo turut berkempen mengenai kesedaran umum tentang kemalangan trafik di Rosario.
LANJUT PENGAJIAN KE UNIVERSITI
Menurut laporan dalam majalah Vanity Fair Espana, Roccuzzo melanjutkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Rosario dalam bidang kemanusiaan dan sains sosial.
Kemudian, wanita itu melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian sebelum berhenti bagi memberi tumpuan kepada hubungannya dengan Messi.
KAHWIN DENGAN MESSI
Messi dan Roccuzzo melangsungkan perkahwinan mereka secara meriah pada 30 Jun 2017 di Rosario.
Majlis perkahwinan itu dihadiri semua pemain bola sepak Argentina, termasuk rakan artis, penyanyi Shakira dan suaminya ketika itu, pemain bola sepak Gerard Pique.
MODEL, AHLI PERNIAGAAN
Pada November 2016, Roccuzzo menandatangani kontrak model dengan pereka fesyen Ricky Sarkany.
Pada 2017 pula, Roccuzzo dan rakannya, Sofia Balbi yang merupakan isteri kepada bintang bola sepak Luis Suarez membuka sebuah butik pakaian yang menjual kasut jenama Sarkany di Barcelona.
Selain itu, Roccuzzo juga dilantik menjadi duta beberapa produk sukan jenama antarabangsa seperti Adidas dan Stella McCartney.
TIGA ANAK DENGAN MESSI
Messi dan Roccuzzo dikurnikan tiga anak lelaki iaitu Thiago, Mateo dan Ciro.
Messi sebelum ini pernah menzahirkan rasa bangga bergelar bapa kepada anak-anak yang dilahirkan oleh wanita dicintainya.
“Menjadi seorang bapa memberikan anda pelbagai pengalaman baharu setiap hari.
“Pengalaman itu mengajar saya dan isteri menjalani kehidupan yang lebih baik dan pada masa yang sama, membuatkan kita lebih gembira.
“Biarpun saya sering berjauhan dengan isteri dan anak-anak, itu tidak bermakna saya tidak pernah lupakan mereka, malah mereka sentiasa ada dalam hati,” ujarnya. – AGENSI










