Melabur atau menyimpan? Dua persoalan ini sering timbul kerana masih ada di antara kita yang buntu bagaimana untuk menguruskan kewangan masing-masing. Pujukan rakan-rakan juga kadangkala menyebabkan kita berada dalam dilema.
Mahu melabur, wang tidak mencukupi. Simpanan pula makin lama makin menyusut jumlahnya gara-gara kos sara hidup yang meningkat. Tetapi setiap satu dikatakan menjanjikan keuntungan.
Mereda kegusaran itu, Seri bertanya kepada penulis kewangan, Mohd. Zulkifli Shafie yang berkongsi pandangannya mengenai perkara ini. Panduan bermanfaat ini membantu anda dalam memilih kaedah terbaik pengurusan kewangan.
Patutkah individu melaburkan wang mereka atau memulakan simpanan untuk memperoleh manfaat keuntungan?
Keutamaan individu ialah untuk menyimpan. Ini kerana apa jua bentuk pelaburan mengundang risiko sedangkan untung belum tentu. Lebih-lebih kepada anak muda yang masih tercari-cari kaedah melipatgandakan simpanan.
Berapakah jumlah yang perlu untuk membuat simpanan?
* Sebanyak 10 peratus daripada gaji perlulah diperuntukkan kepada simpanan. Hingga kini menyimpan di platform Tabung Haji atau Amanah Saham Bumiputera (ASB) adalah yang paling stabil dan kurang risiko.
* ‘Lokasi’ ini lebih sesuai kerana ia tidak memiliki kemudahan mesin pengeluaran wang (ATM) dan perbankan internet yang mana ia ‘menyukarkan’ kita membuat pengeluaran. Kesukaran itu bertujuan menghalang kita daripada mudah mengeluarkan wang.
Simpanan emas sesuai atau ia adalah aliran semasa?
* Bagi yang masih mempunyai masalah untuk menyimpan setiap bulan secara berdisiplin atau wang simpanan sentiasa bocor, boleh pertimbangkan untuk memulakan simpanan emas.
* Hari ini sudah ada kemudahan untuk menyimpan emas dengan bajet serendah RM100.
* Tapi emas hanya sesuai untuk simpanan jangka panjang, sekurang-kurangnya dua tahun ke atas.
Apakah syarat utama untuk membuat pelaburan?
* ILMU: Baca sekurang-kurangnya 10 buku atau hadir kelas dan seminar. Langkah ini membantu mengurangkan risiko kerana tanpa ilmu pelaburan akan menjadi perjudian.
* LEBIHAN: Memiliki duit lebihan sekurang-kurangnya enam bulan pendapatan.
Pelaburan hartanah
* Beli rumah untuk disewakan.* Beli rumah yang mudah disewakan dengan sewaan berbaloi.
* Jenis rumah yang mempunyai permintaan tinggi selalunya berharga di bawah RM500,000
* Pastikan baca sekurang-kurangnya 10 buah buku tentang pelaburan hartanah sebelum membeli rumah pelaburan untuk elakkan membuat kesilapan.
* Kesilapan membeli rumah yang salah boleh menjerat kewangan individu untuk jangka waktu panjang.










