Akshata Murty, wanita sederhana, punya aset luar biasa - Utusan Malaysia

Akshata Murty, wanita sederhana, punya aset luar biasa

AKSHATA Murty dan Rishi Sunak dikurniakan dua anak perempuan, Krishna (dua dari kiri) dan Anoushka. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI pastinya sudah mengetahui tentang Perdana Menteri baharu Britain, Rishi Sunak yang mencetus fenomena sebagai perdana menteri termuda dan pemimpin berbangsa india pertama dilantik mengetuai negara itu baru-baru ini.

Tetapi masih ramai yang mungkin ingin mengenali lebih rapat, Wanita Pertama Britain, Akshata Murty yang berada di sebalik kejayaan Sunak kerana kekayaan luar biasa dimilikinya.

Akshata mula mendapat perhatian selepas beliau menghidangkan teh dan biskut kepada wartawan yang menunggu di luar rumahnya selepas Sunak meletak jawatan sebagai Canselor beberapa bulan lalu.

Menurut Sunday Times Rich List 2021 yang dikeluarkan awal tahun ini, isteri Sunak itu dilaporkan lebih kaya daripada Ratu Elizabeth II berikutan jumlah kekayaan peribadinya yang dianggarkan bernilai hampir 350 juta pound (RM1.8 bilion).

Status kekayaan tersebut dilihat hampir menggagalkan usaha Sunak untuk mendapatkan mandat sebagai Perdana Menteri Britain.

Beliau juga menyandang jawatan pengarah kepada sekurang-kurangnya tiga syarikat besar iaitu Catamaran Ventures, Digme Fitness dan New & Lingwood.

Berdasarkan Billionaires Bloomberg Index, Akshata, 42, yang merupakan warganegara India itu mempunyai nilai kekayaan besar kerana pegangannya dalam syarikat teknologi multinasional India, Infosys Ltd. yang diasaskan bapanya, Narayana Murty.

Sebahagian besar kekayaan Akshata datang daripada 0.9 peratus kepentingannya dalam syarikat tersebut.

DIBESARKAN DATUK & NENEK

Dilahirkan pada April 1980 di India, Akshata dan adik lelakinya Rohan dibesarkan oleh datuk dan nenek sebelah bapa mereka, ketika ibunya, Sudha dan bapanya meneruskan kerjaya dalam bidang kejuruteraan dan sains.

Keputusan sukar itu membuahkan hasil, apabila Narayana berjaya mengasaskan syarikat perkhidmatan internet manakala Sudha menjadi jurutera wanita pertama India yang bekerja untuk pengeluar kereta terbesar, TATA Engineering and Locomotive Company (TELCO).

Walaupun dibesarkan dalam kalangan keluarga kaya dan berpendidikan tinggi di Britain, Akshata masih diajar untuk tidak melupakan negara asalnya dan sentiasa bersederhana dalam apa jua keputusan yang dibuat.

Beliau tidak mampu mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya yang berjaya dalam bidang sains sebalik memilih bidang fesyen dan mempunyai diploma dalam bidang pembuatan pakaian dari Institut Reka Bentuk & Perdagangan Fesyen dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Stanford.

Dalam temu bual dengan sebuah media di Britain, Akshata memberitahu kecintaannya terhadap fesyen membingungkan ibunya malah ibunya sering menegurnya kerana menghabiskan terlalu banyak masa mencipta gaya yang berbeza daripada koleksi busana di dalam almari pakaiannya.

Akshata berkahwin dengan Sunak pada tahun 2009 di Bangalore, India dan mereka dikurniakan dua puteri yang diberi nama Krishna dan Anoushka.

Akshata memperkenalkan jenama pakaian wanita Akshata Designs yang mendapat liputan majalah Vogue India dan menyifatkan koleksi rekaannya yang mempunyai sentuhan tempatan India dengan gabungan kontemporari barat.

MERAIKAN FESYEN

Sunak menulis di laman Twitter miliknya, beliau dan Akshata bertemu di California ketika mereka berdua melanjutkan pelajaran di Universiti Stanford dan memberitahu, isterinya itu sangat menggemari pakaian dan berseloroh kepada wartawan bahawa mereka boleh melihat kasut dan baju di merata tempat di dalam rumahnya.

Sunak mengakui sikap isterinya berbeza dengan dirinya yang sangat pengemas tetapi perbezaan itu yang menguatkan hubungan mereka.

Walaupun memiliki kekayaan yang luar biasa, Akshata juga dilihat gemar meraikan fesyen daripada pelbagai jenama dan memilih gaya yang ringkas dalam pelbagai acara.

Ketika hari pertama berpindah ke Downing Street, beliau dilihat mengenakan jaket daripada butik H&M yang hanya berharga 50 pound (RM268).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN