TIDAK dapat dinafikan penglibatan wanita dalam bidang sukan di India begitu menyerlah apabila meraih pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa terutamanya Sukan Olimpik sejak lebih dua dekad lalu.
Malah, kejayaan atlet wanita itu dilihat sebagai satu pencapaian amat membanggakan buat negara republik itu.
Bekas pemain nombor satu dunia, Saina Nehwal mencipta sejarah dengan memenangi pingat Olimpik pertama India dalam sukan badminton di London pada 2012.
Pada Sukan Olimpik Musim Panas 2012 pula, legenda petinju, Mary Kom menggondol pingat gangsa dalam edisi pertama tinju wanita di temasya tersebut.
Empat tahun kemudian, pemain badminton, PV Sindhu dan ahli gusti, Sakshi Malik masing-masing berjaya meraih pingat perak dan gangsa di Sukan Olimpik Rio 2016.
Pingat tersebut dikatakan merupakan satu-satunya dirangkul oleh kontinjen India pada Sukan Olimpik Rio sekaligus meningkatkan lagi taraf atlet wanita di negara itu.
Sudah tentu semua kejayaan itu tidak mungkin diperoleh tanpa inspirasi, keyakinan dan semangat ditunjukkan atlet angkat berat wanita, Karnam Malleswari pada Sukan Olimpik Sydney 2000.
Dalam temasya tersebut, Malleswari berjaya memperoleh pingat gangsa sekali gus menjadikannya sebagai atlet wanita India yang pertama memenangi pingat Olimpik.
Sejarah tak mungkin tercipta jika bukan kerana keazaman tinggi dan komitmen berterusan Malleswari.
LATAR BELAKANG
Malleswari dilahirkan pada 1 Jun 1975 di Voosavanipeta berhampiran Amadalavalasa di Andhra Pradesh.
Memulakan kariernya dalam sukan angkat berat pada usia muda, adalah hasil dorongan ibu bapanya yang memberi sokongan padu.
Malleswari berasal dari keluarga yang aktif dalam bidang sukan.
Bapanya, Karnam Manohar merupakan pemain bola sepak peringkat kolej manakala tiga adik perempuannya Narsamma, Madhavi, Krishna Kumari menceburi sukan angkat berat bersama Malleswari.
Ibunya, Shamala yang paling banyak memberi dorongan kepada Malleswari untuk mengejar impiannya.
Malleswari memulakan kerjayanya ketika berusia 12 tahun dan dilatih di bawah bimbingan jurulatih, Neelamshetty Appanna.
Bagaimanapun, kehadiran Malleswari di latihan peringkat kebangsaan menjelang Sukan Asia 1990, menjadi titik tolak ke arah perubahan hidupnya.
Ketika itu, Malleswari secara kebetulan mengikut adiknya, Krishna Kumari yang dipilih ke latihan berkenaan.
Bakatnya disedari oleh juara dunia, Leonid Taranenko yang melatih pasukan atlet angkat berat India sehingga dia diserap masuk ke Institut Sukan Bangalore.
Pada kejohanan angkat berat junior peringkat kebangsaan 1990, Malleswari berjaya memecahkan sembilan rekod kebangsaan dalam kategori 52 kilogram (kg).
Pada 1991, dia memenangi pingat perak dalam kejohanan angkat berat senior peringkat kebangsaan.
JUARA DUNIA
Malleswari mencuri perhatian ramai apabila memenangi pingat gangsa di kejohanan angka berat dunia 1993 dalam kategori 54kg.
Bagaimanapun, setahun kemudian, dia mencipta sejarah apabila muncul sebagai wanita India pertama yang merangkul pingat emas pada acara sama.
Malleswari tidak hanya berhenti di situ, sebaliknya mengulangi pencapaian itu dengan meraih emas pada kejohanan angkat berat dunia 1995, diikuti pingat gangsa pada 1996.
Dia juga memenangi pingat perak di Sukan Asia 1994 dan 1998 masing-masing dalam kategori 54kg dan 63kg.
Ketika membuat persiapannya sebelum menyertai Sukan Olimpik Sydney, Malleswari memperoleh 29 pingat antarabangsa termasuk 11 pingat emas.
PEMENANG PINGAT OLIMPIK
Pada Sukan Olimpik Sydney 2000, Malleswari menjadi wanita India pertama yang meraih pingat dalam temasya sukan berprestij itu.
Dia memenangi pingat gangsa kategori 69 kg dengan melakukan angkatan seberat 110 kg untuk acara snatch dan 130 kg bagi clean and jerk yang keseluruhannya mencatatkan 240kg.
Acara angkat berat wanita julung kali diperkenalkan pada Sukan Olimpik tahun itu dan Malleswari membawa pulang gangsa dalam percubaan pertamanya.
Pencapaian bersejarah itu menjadikannya sebagai atlet wanita terkenal sehingga melayakkan figura itu digelar ‘wanita besi’.
Malleswari sentiasa diingati sebagai antara atlet angkat berat wanita di India yang memenangi pingat Olimpik.
PERKAHWINAN
Malleswari berkahwin dengan atlet angkat berat Rajesh Tyagi pada tahun 1997.
Pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Sharad Chander Tyagi pada 2001, setahun selepas memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik.
Dia berhasrat kembali bertanding di Sukan Komanwel 2002 namun terpaksa menarik diri disebabkan kematian bapanya.
BERSARA
Malleswari mengumumkan persaraan daripada angkat berat selepas mengalami kecederaan belakang semasa Sukan Olimpik Athens 2004, namun legasi ditinggalkan adalah luar biasa.
Sebelum meraih gangsa di Sukan Olimpik Sydney, ramai tidak percaya wanita India mampu memenangi pingat dalam temasya berprestij dunia itu.
Tetapi kemenangan Malleswari memberi harapan, keberanian dan motivasi kepada atlet wanita untuk berusaha mencapai kejayaan besar dalam bidang sukan masing-masing.










