JIKA anda pernah melihat gimnas Simone Biles turun ke lantai membuat persembahan, pasti ramai yang terpukau dengan gerak geri bersahajanya.
Gimnas berusia 24 tahun itu pernah mencipta sejarah sebagai wanita pertama dalam tempoh 42 tahun yang berjaya memenangi gelaran kejuaraan dalam Kejuaran Gimnastik Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) selama empat tahun berturut-turut.
Biles turut tersenarai sebagai pemenang pingat emas kejohanan gimnastik antarabangsa terbanyak dalam sejarah AS.
Biles dilahirkan di Columbus, Ohio dengan kedua-dua ibu bapanya bergelut dengan masalah ketagihan dadah dan alkohol.
Bapa kandungnya meninggalkannya ketika dia masih kecil dan ibunya tidak mampu menggalas tanggungjawab membesarkan Biles dan dua lagi adik beradiknya menyebabkan mereka terpaksa tinggal bersama datuknya.
BERJINAK-JINAK DENGAN GIMNASTIK
Biles berjinak-jinak dalam sukan gimnastik secara tidak sengaja ketika mengikuti lawatan sekolahnya ke sebuah pusat latihan sukan berhampiran tempat tinggalnya.
Seorang jurulatih yang berada di pusat itu menyedari bakat luar biasa Biles apabila dia berjaya meniru salah satu rutin dengan baik walaupun baru berusia enam tahun ketika itu.
Jurulatih berkenaan menulis surat kepada datuk Biles menyarankan supaya kanak-kanak itu dibawa untuk menghadiri kelas latihan gimnastik secara serius.
Dia kemudian diberi kebenaran memulakan program latihan di Bannon’s Gymnastix di Houston bersama Jurulatih Aimee Boorman dan menempuh pelbagai cabaran untuk bergelar juara.
Keceriaan dan tenaga yang seakan tiada hadnya itu menjadikan Biles seorang murid yang paling cemerlang di Bannon’s Gymnastix namun Biles memberikan cabaran berbeza kepada guru-guru dan rakan sekelasnya.
Pada usia awal, dia menerima diagnosis gangguan kekurangan perhatian atau hiperaktif (ADHD) dan terpaksa diberikan ubat perangsang Ritalin.
Biles perlu bergantung kepada ubat itu bagi membantunya memberi tumpuan dan lebih fokus untuk tempoh yang lebih lama ketika menjalankan tugasan akademik atau gimnastik.
Neneknya, Nellie banyak membantu Biles dan sering duduk bersamanya pada awal setiap tahun untuk menulis senarai matlamat sepanjang 12 bulan akan datang dan merekodkan kemajuannya sepanjang tahun.
PENAMPILAN PERTAMA
Biles membuat penampilan pertamanya dalam pertandingan kebangsaan remaja American Classic 2011 di Houston dengan menduduki tempat ketiga keseluruhan dan pertama bagi acara Vault wanita.
Komitmen tinggi untuk gimnastik dan saingan yang semakin kompetitif memerlukan Biles membuat satu pengorbanan besar dalam hidupnya.
Pada usia 14 tahun, Biles meninggalkan sekolah awamnya untuk belajar di rumah dan sejak itu, dia terpaksa meninggalkan aktiviti sosial remajanya untuk berlatih selama enam hingga lapan jam sehari.
Pada American Classic 2012, dia menduduki tempat ketiga dalam acara batang titian, terikat di tempat kedua dalam latihan lantai dan mendapat tempat pertama dalam acara vault sehingga melayakkannya memenangi juara keseluruhan.
Pada kejuaraan US Classic 2012 Biles sekali lagi menunjukkan taringnya sehingga namanya tersenarai dalam Pasukan Kebangsaan Remaja AS.
Pada usia 15 tahun, dia hanya beberapa bulan terlalu muda untuk bersaing merebut tempat dalam pasukan Olimpik 2012.
KEKECEWAAN BERBALAS
Namun kekecewaannya berbalas apabila dia membuat penampilan sulung antarabangsa seniornya di Piala Amerika 2013 dan berjaya merebut pingat emas ketika itu.
Bagaimanapun Biles diuji apabila dia hilang kawalan ketika melakukan rutin titian batang dan terjatuh ketika aksi senaman lantai di Kejohanan US Classic 2013 menyebabkan Biles terpaksa menarik diri dari acara itu.
Kejadian itu menyebabkan dia sedikit terganggu namun Biles segera bangkit dari kekecewaannya dan belajar untuk menikmati dan enjoy dengan persembahannya tanpa terlalu memikirkan tentang pandangan orang lain terhadapnya.
Hanya tiga minggu selepas kegagalan di US Classic 2013, dia berjaya memenangi Kejohanan Kebangsaan Gimnastik AS sebelum meraih pingat emas di Kejohanan Gimnastik Dunia di Antwerp, Belgium.
Biles terus mengorak langkah menempa nama sebagai antara gimnas terbaik di dunia dengan meraih pelbagai anugerah termasuk sebagai penerima termuda Pingat Kebebasan Presiden Julai lalu.
Biles pernah memperkenalkan kemahiran baharu pada Kejohanan Dunia 2013 yang kini disenaraikan dalam rutin sukan itu sebagai gerakan Biles seperti namanya. – AGENSI









