PEMERGIAN Lydia de Vega merupakan satu kehilangan besar dalam arena olahraga Filipina dan Asia. Lydia meninggal dunia selepas empat tahun bertarung dengan kanser payu dara.
Bintang pecut Filipina itu yang mesra disapa Diay, menghembuskan nafas terakhir pada usia 57 tahun.
Berita duka mengenai pemergian Lydia dikongsi oleh anak perempuan mendiang, Stephanie ‘Paneng’ Mercado-de Koenigswarter di laman media sosial.
Lydia diiktiraf sebagai wanita terpantas Asia pada tahun 1980-an selepas berjaya menggondol 24 pingat termasuk 15 emas dalam pelbagai kejohanan seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Kejohanan Asia.
Sudah tentu, kehilangan atlet era 80-an itu turut meninggalkan kesan mendalam kepada setiap individu yang terpukau dengan kepantasan lariannya.
Berikut beberapa fakta mengenai bekas ratu pecut Asia itu:
ASAL USUL
Lydia yang lebih dikenali sebagai Diay, dilahirkan pada 12 Disember 1964 di bandar Meycauayan di utara ibu kota Manila.
Beliau melakar nama sebagai atlet hebat di Filipina ketika hanya berusia 18 tahun. Lydia berkahwin dengan Paul Mercado, bekas jurutera di Meralco dan usahawan yang menjalankan perniagaan kolam ikan.
Pasangan itu mempunyai tiga orang anak termasuk Stephanie yang merupakan pemain bola tampar.
Anak lelakinya, John Micheal yang berusia empat tahun meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 2001.
Pada 2003, Lydia bercerai dengan Mercado.
LYDIA TIADA TANDINGAN
Lydia tidak meraih gelaran wanita terpantas Asia dengan mudah.
Sepanjang kariernya, beliau berjaya menggondol 24 pingat merangkumi 15 emas, enam perak dan tiga gangsa dalam pertandingan antarabangsa terdiri daripada Kejohanan Olahraga Asia, Sukan Asia dan Sukan Semenanjung Asia Tenggara.
Lydia pernah mengambil bahagian dalam pelbagai perlumbaan termasuk acara 200 meter (m), 400m dan 4x400m.
Namun, Lydia menyinar dalam larian 100m sekali gus menggungguli acara itu di Sukan Asia tahun 1982 dan 1986 serta Kejohanan Olahraga Asia 1983 dan 1987 untuk merangkul gelaran ratuLydia de Vega dalam kenangan pecut Asia Tenggara.
Rekod negara baharu dicapai Lydia dengan catatan 11.28 saat dalam acara 100m pada Sukan SEA 1987 di Jakarta, kekal lebih tiga dekad sebelum atlet warga Filipina-Amerika, Kristina Knott memecahkannya pada 2020.
Malah, ketika beliau memenangi pingat emas di Sukan Asia Seoul 1986, Lydia mencatatkan rekod terpantas 11.53 saat.
Lydia juga pernah memenangi pingat emas bagi lompat jauh Sukan SEA 1987, sekali gus dengan kejayaan diraih dalam acara 100m dan 200m pada temasya sukan dwitahunan itu.
Bintang olahraga paling cemerlang pada tahun 1980-an itu, pernah mewakili negaranya ke Sukan Olimpik di Los Angeles 1984 dan Seoul 1988.
MASIH HEBAT
Walaupun Lydia berehat daripada dunia atletik antara 1989 hingga 1992, beliau membuktikan masih hebat selepas berjaya meraih dua lagi pingat emas dalam acara 100m dan 200m pada Sukan SEA 1993 sebelum bersara pada tahun berikutnya.
LYDIA DIIKTIRAF
Pencapaian yang tiada tolok bandingannya membolehkan Lydia disenaraikan dalam Hall of Fame Sukan Filipina.
Lydia dilantik pada 2018, tahun yang sama beliau menghidap kanser payudara.
“Bukan mudah menjadi seorang atlet, bahkan tidak mudah seperti disangkakan untuk menang dalam acara.
“Bukan mudah melakukan semua perkara yang menjadi alasan untuk saya menjadi atlet cemerlang yang diberikan penghormatan ini.
“Saya berasa syukur dan gembira dapat menjadi sebahagian Hall of Fame ini,” katanya semasa berucap pada majlis itu.
KELUARGA AKTIF BIDANG SUKAN
Mendiang Lydia mula-mula berlatih di bawah bimbingan bapanya, Francisco ‘Tatang’ de Vega yang juga merupakan jurulatihnya.
Tatang yang merupakan bekas anggota polis dikenali sebagai jurulatih tegas ketika melatih Lydia sehingga membentuknya menjadi juara.
Selepas Tatang meninggal dunia pada 2010, Lydia mengakui bapanya menjadi antara punca beliau memilih acara trek dan padang.
Malah, Lydia memuji Tatang atas kejayaan dan pencapaian sepanjang kerjayanya.
“Tanpa Tatang, sudah tentu tiada Lydia de Vega. Ayah saya merupakan jurulatih acara trek terbaik yang pernah dimiliki negara,” katanya dalam satu temubual.
Hampir semua ahli keluarga De Vegas meminati dan aktif dalam bidang sukan.
Ia terbukti apabila seorang daripada tiga anak Lydia menerusi hasil perkahwinan dengan suaminya, Paul Mercado iaitu Stephanie Mercado-de Koenigswarter menjadi pemain bola tampar.
Seperti ibunya, Stephanie cemerlang dalam sukan bola tampar apabila memenangi tiga kejuaraan UAAP bersama La Salle Lady Spikers.
Stephanie yang dikenali sebagai ‘Paneng’ juga bermain secara profesional dengan Cignal HD Spikers dan Petro Gazz Angels.
USAHA LAIN
Lydia terlibat pelbagai usaha lain di luar sukan termasuk menceburi dalam bidang media dan politik.
Pada tahun 1982, Lydia pernah berlakon dalam filem Medalyang Ginto.
Filem itu mengisahkan mengenai kehidupannya yang penuh dengan kontroversi, pengorbanannya, kejayaan melawan rintangan serta kebangkitannya menjadi juara antarabangsa.
Selain itu, pada awal tahun 2000an, Lydia pernah menjadi pengacara bersama program sukan mingguan, Double Team yang disiarkan di saluran IBC 13.
Mendiang juga berkhidmat sebagai ahli majlis di bandar Meycauayan di Bulacan.
CEBURI KERJAYA JURULATIH
Lydia bersara pada 2014 dan bekerja dengan Suruhanjaya Sukan Filipina untuk sementara waktu, sebelum menjadi jurulatih olahraga Singapura selama 10 tahun.
Mendiang memilih untuk kekal merendah diri dengan membuat penampilan terakhir di khalayak ramai pada Sukan SEA 2019.
Ketika itu, Lydia diberi tanggungjawab membawa bendera Persekutuan Sukan SEA pada majlis perasmian di Arena Filipina.
Lydia menyertai rakan lagenda Filipina Akiko Thomson, Eric Buhain, Alvin Patrimonio, Bong Coo, Efren ‘Bata’ Reyes, Mansueto ‘Onyok’ Velasco dan Rafael ‘Paeng’ Nepomuceno yang turut dipilih sebagai pembawa bendera.
HIDAP KANSER
Lydia menghidap kanser payudara tahap empat pada 2018.
Mendiang menjalani beberapa rawatan termasuk pembedahan otak sepanjang berjuang melawan barah dihidapinya sejak empat tahun lalu.
Pada 10 Ogos lalu, Lydia meninggal dunia di Pusat Perubatan Makati.
Atlet sepanjang zaman negara itu menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 57 tahun.










