AR-RAUDHAH
Siti Fatimah r.a adalah puteri Rasulullah SAW yang keempat. Jumlah putera dan puteri Rasulullah ada tujuh iaitu Qasim, Abdullah, Ibrahim, Zainab, Ummu Kaltsum, Ruqayyah dan Fatimah.
Kesemua putera dan puteri Nabi SAW adalah hasil perkahwinan baginda dengan Siti Khadijah kecuali Ibrahim. Beliau adalah anak dari Mariyah Al-Qibthiyyah.
Semua putera dan puteri Nabi SAW wafat sebelum wafatnya baginda, kecuali Fatimah yang wafat setelah kewafatan baginda. Siti Fatimah memiliki kemuliaan yang sangat tinggi. Beliau diberi gelaran Sayyidatun nisa’ al- ‘aalamin (penghulu wanita di seluruh alam) dan sayyidatun nisa’ ahlil jannah (penghulu kaum wanita di syurga) sebagaimana sabda Rasulullah SAW.
Ketika berusia lima tahun, Fatimah menanggung beban yang berat kerana menyaksikan keperitan yang dialami oleh ayahandanya dalam berdakwah sehingga kewafatan baginda. Masa yang cukup lama, namun beliau setia menemani Rasulullah sebelum menjadi nabi sahingga terputusnya kenabian dengan kewafatan baginda Rasulullah SAW. Namun, perkara yang lebih berat dari semua penderitaan itu ialah apabila berlaku perpisahan dengan Rasulullah SAW.
Dalam Sahih al-Bukhari, Siti Aisyah r.a meriwayatkan: Suatu ketika kami para isteri Nabi SAW sedang berkumpul dan berada di sisi baginda, dan tidak ada seorang pun yang tidak hadir saat itu. Lalu datanglah Fatimah ‘alaiha salam dengan berjalan kaki. Demi Allah, cara berjalannya persis dengan cara jalannya Rasulullah SAW. Ketika melihatnya, beliau menyambutnya dengan mengucapkan: “Selamat datang wahai puteriku!” Setelah itu beliau mempersilahkannya untuk duduk di sebelah kanan atau di sebelah kiri beliau. Lalu beliau bisikkan sesuatu kepadanya hingga ia (Fatimah) menangis tersedu-sedu.
Ketika melihat kesedihan Fatimah, beliau sekali lagi membisikkan sesuatu kepadanya hingga ia tersenyum gembira. Lalu saya (Aisyah) berkata kepadanya (Fatimah) aku adalah isteri dari sekalian isteri-isteri beliau, tetapi sesungguhnya Rasulullah SAW telah memberikan keistimewaan kepadamu dengan membisikkan suatu rahsia di hadapan para isteri beliau hingga kamu menangis sedih.
Setelah Rasulullah berdiri dan berlalu dari tempat itu-, saya pun bertanya kepada Fatimah ‘Sebenarnya apa yang dibisikkan Rasulullah kepadamu? ‘ Fatimah menjawab; ‘Sungguh saya tidak ingin menyebarkan rahsia yang telah dibisikkan Rasulullah kepada saya.
Setelah Rasulullah SAW wafat, saya bertanya kepadanya; ‘Saya hanya ingin menanyakan kepadamu tentang apa yang telah dibisikkan Rasulullah kepadamu yang dulu kamu tidak mahu menjelaskannya kepadaku.’ Fatimah menjawab; ‘Sekarang, saya akan memberitahu-mu.
Lalu Fatimah memberitahu kepadaku, katanya; ‘Dahulu, ketika Rasulullah SAW membisikkan sesuatu kepadaku, untuk yang pertama kali, beliau memberitahu bahawa Jibril biasanya bertadarus al-Quran sekali dalam setahun dan kini beliau bertadarus kepadanya sebanyak dua kali dalam setahun, maka aku tahu bahawa ajalku telah dekat. Oleh kerana itu, bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Sesungguhnya sebaik-baik pendahulumu adalah aku (engkau orang pertama yang akan datang padaku).
Fatimah berkata; ‘Mendengar bisikan itu, maka saya pun menangis, seperti yang kamu lihat dulu. Ketika beliau melihat kesedihanku, maka beliau pun membisikkan yang kedua kalinya kepadaku, sabdanya: ‘Hai Fatimah, tidak mahukah kamu menjadi penghulu kaum wanita dari para isteri orang-orang mukmin dan menjadi sebaik-baik wanita umat ini? Maka aku tertawa seperti yang kamu lihat.
Seperti yang diberitahu oleh Nabi SAW bahawa Siti Fatimah orang pertama dari keluarganya yang akan menyusul baginda. Maka tidak sampai enam bulan kemudian, beliau pun wafat pada 3 Ramadan. Sebelum kewafatannya, Siti Fatimah melihat jenazah di atas keranda lalu ternampak bentuk jasad yang dibungkus dengan kain kafan.
Maka beliau berkata kepada Asma’: “Wahai Asma’! sesungguhnya aku malu kalau orang lelaki akan nampak bentuk tubuhku di atas keranda”. Lalu Siti Asma’ berkata: “Wahai Fatimah! Mahukah kamu aku buat sesuatu yang aku lihat di negeri Habsyah? Iaitu mereka meletakkan penutup di atas keranda jenazah dari ranting pokok lalu ditutup dengan kain sehingga tak nampak jenazah yang ada dalam keranda”.
Siti Fatimah berkata: “Wahai Asma’! Semoga Allah menjagamu sepertimana engkau menjaga jasadku daripada dilihat orang”. Dengan itu, Siti Fatimah adalah orang pertama yang membuat keranda dan wanita pertama jasadnya dibawa dengan keranda tertutup diikuti oleh Siti Zainab binti Jahsy, isteri baginda nabi.
Sungguh menakjubkan akan sifat malu yang dimiliki oleh Siti Fatimah. Bukan hanya tidak mahu dilihat tubuhnya bahkan bentuk tubuh pun tidak mahu dilihat, bukan hanya tidak mahu dilihat bentuk tubuhnya di masa hidupnya bahkan setelah wafatnya juga.
Sifat malu sebahagian daripada cabang iman dan Allah SWT suka kepada orang yang mempunyai sifat malu. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Apabila kamu tidak mempunyai sifat malu buatlah apa saja yang kamu suka.
Sifat malu inilah yang diwarisi oleh Siti Fatimah daripada ayahandanya, Rasulullah SAW. Baginda digambarkan seorang yang sangat pemalu, lebih malu daripada seorang anak dara yang berada di biliknya. Sifat malu ini penting bagi lelaki namun bagi wanita lebih penting.
Al-Quran mendidik wanita untuk lebih menunjukkan sifat malu, firman-Nya yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). (Al-Ahzab: 59).
Apabila seseorang wanita itu menghormati dirinya sendiri dengan sifat malu pada pakaiannya, tutur katanya, suaranya, gerakan dan sikapnya, maka dia akan lebih disegani dan dihormati oleh lelaki dan akan menjadi penghalang daripada godaan mereka.

- Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah










