Rasulullah SAW makan berlauk cuka? - Utusan Malaysia

Rasulullah SAW makan berlauk cuka?

UMAT Islam disaran bersederhana dalam semua hal termasuk bab memilih makanan supaya tidak berlaku pembaziran. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seorang sahabat yang bernama Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan, bahawa Rasulullah SAW bertanya kepada keluarganya apakah lauk yang boleh dimakan bersama roti. Mereka memberitahu tiada sebarang lauk melainkan cuka.

Maka Rasulullah meminta agar dihidangkannya kepadanya lalu Baginda memakan roti dengannya lalu bersabda: “Sebaik-baik lauk adalah cuka”.

Bukanlah artikel ini bertujuan menjelaskan tentang khasiat cuka dan manfaatnya kepada kesihatan tubuh badan. Namun ia membicarakan tentang situasi ekonomi dalam rumah tangga Baginda SAW.

Salah satu permasalahan besar dalam rumah tangga adalah kekangan ekonomi. Sehinggakan ramai pasangan suami-isteri yang bekerja mencari rezeki demi menyara hidup keluarga.

Lebih-lebih lagi bagi masyarakat yang tinggal di bandar yang mana kos sara hidup yang cukup tinggi. Dan tidak sedikit juga pergolakan rumah tangga yang berlaku yang boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga disebabkan kesempitan sumber mata pencarian.

Tidak terlepas daripada masalah di atas ialah rumah tangga Rasulullah SAW sendiri agar menjadi tauladan bagi umatnya.

Rumah baginda tidak berbumbung keseluruhannya, sehingga cahaya matahari memanasi ruangan itu. Bilik tidurnya juga menjadi tempat ibadahnya, bumbung rumahnya dapat disentuh dengan huluran tangan ke atas.

Alas tidurnya diperbuat daripada potongan-potongan kulit pohon kurma jika baring di atasnya akan meninggalkan garisan-garisan yang melekat pada tubuh badannya.

Mangkuknya digunakan untuk pelbagai fungsi. Adakala untuk diletakkan makanan, kadangkala diletak minuman, pakaian yang dipakai apabila pudar warnanya maka dicelupkan dengan pewarna baru tanpa menukar pakaian baru.

Setelah kewafatan Baginda hanya ada beberapa cupak gandum di rumahnya dan baju besi baginda digadaikan kepada seorang Yahudi demi memenuhi keperluan nafkah keluarganya.

Namun begitu, Baginda menikmati kehidupan bersama ahli keluarganya meski cabarannya sangat besar. Berdasarkan kisah Saidina Jabir r.a di atas, ia memberikan beberapa pengajaran:

Pertama, sifat qana’ah, iaitu sifat reda menerima keadaan dan menjauhkan dari sifat tidak puas atau kurang senang.

Sifat qana’ah akan mendidik diri kita untuk memahami bahawa Allah dengan hikmah-Nya berhak untuk mengagihkan rezeki-Nya mengikut ketetapan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Adakalanya Allah tidak memberi apa yang diminta oleh seorang hamba kerana khuatir kalau diberi, maka hamba tadi akan semakin jauh dari Allah. Oleh sebab itu, terkadang tidak diberi itu adalah satu pemberian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-Nya. (al-Isra’: 30)

Rezeki tidak hanya dibatasi dengan harta benda. Bahkan kesihatan, makan, minum, tempat berteduh, keluarga, teman, tidur juga rezeki. Mungkin juga rezeki itu apabila dijauhkan bala daripada menimpa dirinya.

Kedua, memberi motivasi kepada keluarga ketika di dalam kesusahan. Dengan cara menghiburkan dengan kata-kata semangat dan tidak merumitkan keadaan atau membuat mereka putus asa.

Apabila seseorang itu ditimpa musibah dengan berlakunya kematian, disunahkan bertakziah iaitu memberi kata-kata yang menghibur keluarga yang ditimpa musibah, baik berupa doa atau pujian untuk si mati ataupun kata-kata semangat kepada ahli keluarga yang dalam kesedihan.

Demikian kata-kata Rasulullah SAW yang menghiburkan keluarganya yang berada dalam kesusahan “sebaik-baik lauk ialah cuka” dan Baginda makan di hadapan isterinya.

Ketiga, memberi perhatian kepada rezeki yang ada dan tidak melihat rezeki orang lain dengan pandangan cemburu. Sentiasalah melihat kepada mereka yang lebih susah serta tidak melihat kepada yang lebih senang dengan cemburu.

Keempat, berpegang dengan ketakwaan dalam mencari rezeki dan menghindari perkara yang haram untuk mendapatkannya. Ini kerana sesungguhnya Allah menjanjikan bagi orang yang bertakwa rezeki dari sumber yang tak disangka. dalam firman-Nya: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya”.( at-Talaq: 2-3)

Allah juga menjanjikan kemudahan dalam segala urusan bagi orang yang bertakwa, dalam firmanNya yang bermaksud: Dan (ingatlah), sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memudahkan baginya segala urusannya. (at-Talaq: 4)

Kelima, bersedekah dalam keadaan senang dan susah mengikut kemampuan, kerana Allah menjanjikan rezeki baginya.

Ini sebagaimana, firman Allah yang bermaksud: Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan. (at-Talaq: 7)

Sebagai seorang yang beriman, kita hendaklah melihat dan memahami bahawa kebahagiaan dalam hidup di dunia bukan terletak pada kesempurnaan luaran sahaja.

Sebaliknya, kebahagiaan itu ada di dalam diri kita sendiri dengan Iman dan amal soleh. Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesiapa yang beramal soleh, dari kalangan lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik. (an-Nahl: 97).

Allah menjadikan manusia dengan hikmah dan kebijaksanaan. Dalam keragaman dan kepelbagaian manusia, mereka saling memerlukan. Dalam hidup bersosial, sangat digalakkan agar saling menghulurkan bantuan sebagai sikap solidariti antara sesama insan.

Ia bagi menjadi keluarga di atas muka bumi untuk saling berganding bahu, saling membantu dan menghulurkan tangan meringankan beban mereka yang dalam kesusahan.

HABIB ALI ZAENAL ABIDIN AL HAMID ialah Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN