Ke kedai makan '2 rial' - Utusan Malaysia

Ke kedai makan ‘2 rial’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINUMAN teh o ais, teh o panas, sirap dan minuman ringan perisa oren dan sarsi hanya berharga 50 sen segelas manakala harga makanan yang disajikan antara RM2 hingga RM3 sepinggan!
Paling murah sejak dahulu hingga kini dan mungkin bertahan lama lagi dengan harga itu kerana restoran Zuha Cafe House sudah dikenali ramai sebagai ‘kedai makan dua rial’ dalam kalangan penduduk Kelantan.
Tambah menyelerakan, restoran yang terletak di Kampung Serdang Muda, Melor, dekat Kota Bharu ini berhadapan pula dengan kehijauan sawah padi dan tiupan angin segar Timur Laut yang menyamankan.
Paling menarik – kedai makan bajet ini tidak berkira sangat pasal harga namun menjaga kualiti makanannya dari aspek kualiti dan kuantiti untuk kepuasan pelanggan.
Pemilik restoran ini, Mohd. Aminul Hafidz Sulaiman, 35, berkata, harga murah itu menggamit kunjungan pelanggan dari pelosok daerah sebelum negara menghadapi musibah pandemik Covid-19.
Menurutnya, kini operasi perniagaan bergantung kepada situasi semasa dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan yang melaksanakan langkah memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19, namun Zuha Cafe masih mampu bertahan sekali pun suram tanpa pelanggan yang menikmati sajian di meja.
“Antara menu yang ditawarkan adalah nasi ayam, nasi jagung, nasi ayam masak merah, laksa Pulau Pinang, laksa Kelantan, laksam, mi kari dan bihun, kuey tiaw serta mi sup di samping pelbagai menu pencuci mulut.
“Perniagaan ini diasaskan oleh keluarga yang mana pemasarannya dikendalikan isteri saya, Norzuliana Zakaria manakala tukang masak pula dalam kalangan saudara mara begitu juga pelayan,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di restoran berkenaan baru-baru ini.
Restoran tersebut dibina bersebelahan dengan rumah lengkap dengan sudut buaian, lokasi berswafoto dan kolam mandi kanak-kanak yang sebelum ini menjadi satu lagi daya tarikan pelanggan selain harga makanan paling murah itu.
Mohd. Aminul Hafidz memulakan perniagaan pada penghujung 2019 selepas mengambil keputusan bersara awal sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dia yang berasal dari Segamat, Johor juga berkebolehan memasak dan menyiapkan pelbagai jenis makanan pencuci mulut.
Walaupun murah, katanya, rasa dan kualiti makanan serta minuman yang disajikan kepada pelanggan tetap dijaga.
Menurutnya, dia tidak berkompromi bab kualiti walaupun murah makanan setanding rasa lazatnya dengan restoran lain yang mengenakan harga lebih tinggi.
“Minuman lain seperti ABC (air batu campur) dan cendol bersantan dijual dengan harga paling tinggi RM2 tetap lengkap dengan bahan-bahan utama bagi memastikan rasa enaknya tidak berkurangan,” katanya.
Dalam pada itu, dia mengakui ramai menjangkakan dia berdepan kerugian jika terus berniaga dengan harga murah sebegitu, lebih-lebih lagi harga bahan mentah kini naik di seluruh negara.
“Dapat juga untungnya tapi kecil. Jika ramai pelanggan datang, kami tetap mendapat rezeki tanpa rugi. Dalam kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Zuha Cafe masih meneruskan perniagaan secara pandu lalu dan penghantaran makanan hingga ke tangga rumah.
“Jika langkah ini tidak diambil dan kami berpeluk tubuh kerana kalah dengan kekangan, pasti Zuha Cafe House akan gulung tikar.
“Namun platform media sosial kini menjadi ruang niaga kami untuk memudahkan pelanggan tetap dapat melepaskan kerinduan menikmati masakan kami,” jelasnya.
Oleh itu, hendak cari menu terlajak murah, sedap dan berbaloi boleh datang secara pandu lalu atau buat tempahan awal ke talian 014-9522155 untuk dihantar ke depan rumah.

ZUHA CAFE
Lokasi : Kampung Serdang Muda,
Melor, Kelantan
Laluan masuk: Jalan utama Kedai
Menanti – Selising
Operasi perniagaan: 11 pagi hingga
8 malam (sepanjang PKP)
Cuti: Hari Isnin

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.