Walaupun jaraknya cuma 18 kilometer namun empat hari terpaksa diperuntukkan untuk syarikat pengangkut produk itu, Aman Logistic Sdn. Bhd. membawa tangki itu ke pelabuhan untuk dihantar ke Jurong, Singapura.

Tangki ‘C3 Splitter Column’ itu mempunyai kelebaran kira-kira 4.7 meter, tinggi tangki 5 meter manakala tinggi keseluruhan termasuk kenderaan pembawa adalah 7.5 meter mula dibawa dari kilang KNM Process Systems Sdn. Bhd. sejak semalam sejauh 2 kilometer sebelum berhenti di Tanjung Minyak.

Menurut Pengurus Operasi syarikat pengangkutan Amal Logistic, A. Muthu, bermula pukul 9.30 pagi ini tangki berkenaan dibawa ke Penjara Sungai Udang sebelum berhenti di sana untuk disambung semula ke Pantai Kundor awal pagi esok.

“Sebanyak 20 pekerja Amal Logistic Sdn. Bhd. terlibat mengendalikan proses mengangkut tangki ini dan kami turut dibantu masing-masing enam anggota polis trafik dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta 10 petugas pengurusan trafik.

“Antara cabaran yang paling besar adalah kami perlu melalui pekan Sungai Udang esok dan disebabkan hujung minggu banyak aktiviti pelancongan di sana, pihak berkuasa membenarkan proses pengangkutan bermula pukul 4 pagi,” katanya ketika ditemui di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) di sini sebentar tadi.

Kemunculan tangki gas tanpa pemandu itu yang merupakan terpanjang setakat ini turut tular dalam laman sosial berikutan pengguna kenderaan perlu mematuhi arahan trafik bagi melicinkan proses membawa kenderaan berat itu.

Proses pengangkutan itu tidak menggunakan pemandu sebaliknya ia dikawal oleh pengangkut hidraulik. - UTUSAN ONLINE