AFFIZAM AMDAN (kanan) menjelaskan tabung sumbangan kebajikan atlet paralimpik negeri Perlis bertujuan membantu anggota PESRON, selain digunakan untuk menyertai kejohanan tertentu.

Setiausaha persatuan itu merangkap jurulatih olahraga atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) Perlis, Affizam Amdan berkata, sumbangan yang diterima bukan untuk kegunaan peribadi atau kepentingan segelintir pihak dalam PESRON.

"Saya ingin menjelaskan mengenai penularan tabung ini di media sosial selepas seorang atlet OKU Perlis, Mira Nirwani Mohamad melancarkannya Mac lepas dan membuat kutipan di pasar malam dan bank-bank sekitar Kangar yang telah menimbulkan tanda tanya pihak tertentu.

"Tabung ini diwujudkan untuk membantu kebajikan anggota kita seperti membeli keperluan atlet, kerusi roda dan tongkat. Kutipan dibuat selama tiga bulan bermula Mac lepas selepas mendapat kelulusan polis," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Perkara berkenaan mendapat maklum balas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menerusi ruangan Twitternya memaklumkan kementerian bersedia membantu PESRON.

Mengulas lanjut, Affizam berkata, sumbangan yang diterima juga akan digunakan untuk menyertai Grand Prix Atlet Para 2019 - Kejohanan Atlet Terbuka China ke-7 pada 9 hingga 12 Jun ini.

Jelasnya, kejohanan itu bagi memilih empat atlet yang dikendalikannya membuat klasifikasi sukan untuk melayakkan mereka bertanding pada Kejohanan Paralimpik Tokyo 2020.

Mereka ialah Muhammad Alif Malek (pemegang pingat gangsa Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017) yang menyertai acara trek kategori T35 (100 dan 200 meter); Mahfuz Mahzan bagi acara trek kategori T36 (400 dan 800 meter), Mira Nirwani (T38 - acara padang - lempar cakera, lontar peluru dan merejam lembing) dan Mohd Erwan Mohd Hasnoor (T38 - lompat jauh). - BERNAMA