KUALA LUMPUR 17 Jan. - Pengguna yang ingin melayari internet dengan selamat serta dilengkapi ekosistem Islam kini sudah boleh menggunakan platform pelayaran internet SalamWeb.
SalamWeb yang dibangunkan oleh Salam Web Technologies MY Sdn. Bhd., merupakan perkhidmatan internet pertama patuh syariah di dunia serta diiktiraf oleh Lembaga Penyeliaan Syariah Amanie dan Miyar Ekonomi Digital Islam, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Pelbagai rangkaian perkhidmatan internet disediakan kepada pengguna seperti SalamWeb

Browser, Salam News, Salam Chat dan Salam Sadaqah yang dilengkapi persekitaran dalam talian yang bebas dan selamat.
Pengarah Urusan syarikat itu, Hasni Zarina Mohamed Khan berkata, ciri penting yang terdapat pada platform pelayaran internet itu adalah Salam Protect yang menapis kandungan tidak bersesuaian kepada pengguna ketika melayari internet.
“Salam Protect akan mengingatkan pengguna pada kandungan yang tidak sesuai. Ini termasuk kandungan yang berunsurkan pornografi, penipuan atau menyakitkan hati. Menerusi sistem itu juga, pengguna boleh menyuruh Salam Tag ke laman web sesuai, neutral atau tidak sesuai,” katanya di sini hari ini.