Sebagai portal gaya hidup yang pertama dilancarkan oleh SalamWeb, ia boleh diakses di mana jua.

SalamToday menepati cita rasa masyarakat Islam global, menampilkan campuran kandungan sidang pengarang bertenaga, diterajui oleh pasukan penulis yang berpengalaman. Gerbang maklumat yang menyasarkan masyarakat Islam Malaysia ini menerbitkan kandungan berbahasa Melayu manakala bahagian antarabangsanya pula memuatkan rencana dalam bahasa Inggeris.

Edisi digital julung kali SalamToday menampilkan pelakon dan penyanyi terkemuka tanah air, Ziana Zain sebagai inspirasi laman utamanya. Artis tersebut gigih memupuk kerjaya sehingga menjadi penggiat seni yang sentiasa tampil dengan gaya yang ikonik dan bersesuaian dalam segala aktiviti. Oleh itu, Ziana terpilih menjadi sumber inspirasi dan contoh menyerlah bagaimana seorang wanita Islam moden tabah meng–harungi kehidupan dalam mengejar kejayaan.

Pengurus Kanan Produk, SalamWeb, Shah Shamshiri berkata, pada pelancaran tersebut pihaknya menggandakan usaha positif yang dimulakan oleh portal berkenaan dan membina pengalaman dalam talian yang lebih baik untuk pengguna.

“Kami menampilkan gabungan maklumat terkini dengan aliran semasa sosial serba produktif berpandukan imbangan tuntutan rohani dengan kepentingan komuniti.

“ Pengguna kami dibekalkan dengan maklumat gaya hidup yang boleh diyakini, serba arif dengan pengetahuan mengenai hal ehwal semasa, berita serta perkembangan terkini.

“Kami juga berharap dapat memperluaskan kandungan menggunakan bahasa tempatan kepada negara-negara majoriti Islam seperti Indonesia,’’ ujarnya.

Pengarah Urusan SalamToday Hasni Zarina Khan berkata, pihaknya berharap dapat memaklumkan, mencetus inspirasi serta memperkasa komuniti pengguna dengan gaya hidup yang lebih positif dengan membawa perkembangan berita dan hal-ehwal semasa yang bersesuaian dengan mereka.

SalamToday memperkasa usaha untuk membina ummah digital, menyediakan teknologi digital yang mendahulukan nilai komuniti pengguna, membantu mereka menapis unsur-unsur negatif dan menumpukan perhatian terhadap perkara paling penting kepada mereka.

Ini membebaskan umat Islam untuk memilih kehidupan digital yang konsisten dengan nilai dan kepercayaan Islam yang serba positif.

Majlis pelancaran SalamToday dimeriahkan dengan kehadiran selebriti tanah air termasuk Ziana sendiri dan pengacara sensasi, Alif Satar.

Dilancarkan di Malaysia, SalamToday boleh diakses dari mana jua, terbuka kepada pengguna pelbagai komuniti melalui semua platform digital dan turut tersedia dalam pelayar sesawang SalamWeb. Muat turun hari ini dari www.salamweb.com.