Pertama, penganjuran pada 2019 agak signifikan kerana ini merupakan kali ke- 10 atau sedekad ia diadakan di tempat yang sama iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Faktor kedua adalah IGEM kali ini dijangka menerima kunjungan istimewa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bagi merasmikan persidangan tersebut.

IGEM seperti sering disebut sebagai program dagangan bagi teknologi hijau dan penyelesaian eko terbesar di Asia Tenggara merupakan platform ideal bagi penyediaan penyelesaian tenaga hijau bagi pasaran rantau ASEAN.

IGEM adalah platform pameran inovasi hijau terkini kepada pembuat dasar, pertubuhan kerajaan dan pelabur.

Dalam tempoh sedekad, IGEM berjaya menjana perniagaan utama mencecah RM 23 bilion dan sehingga hari ini menarik kehadiran 420,000 pelawat termasuk delegasi dan syarikat dari 50 buah negara,

IGEM yang beberapa tahun lepas dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan selepas penstrukturan semula beberapa kementerian tahun lepas, kini diambil alih oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menerusi Malaysian Green Technology Corporation (Greentech Malaysia).

Kejayaan penganjuran IGEM sebenarnya boleh dianggap sebagai pencapaian Greentech Malaysia kerana agensi inilah selama ini menjadi teraju penganjuran pameran tersebut.

Antara kejayaannya adalah sebagai platform perniagaan dan platform inovasi teknologi hijau yang terbesar di rantau ini bagi menarik peserta industri utama dari seluruh dunia untuk mempamerkan penemuan terkini dalam teknologi hijau.

Didorong oleh pertumbuhan pesat industri hijau ASEAN, IGEM berada pada kedudukan yang baik bagi membolehkan perniagaan memanfaatkan potensi yang besar dan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat teknologi hijau dan menjana pelaburan dalam sektor hijau.

Objektif utama IGEM adalah untuk menjadi hab teknologi hijau yang berkembang pesat di ASEAN.

Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis pada majlis prapelancaran IGEM 2019 baru-baru ini, pameran dan persidagan tersebut merupakan platfom ideal untuk penyelesaian perniagaan hijau.

“Objektif utama IGEM menjadi pintu masuk ke pasaran serantau mengenai produk hijau dan menggerakkkan pertubuhan bandar raya hijau,’’ ujarnya.

ISNARAISSAH MUNIRAH MAJILIS menurunkan tandatangannya pada skrin sebagai gimik prapelancaran Pameran
ISNARAISSAH MUNIRAH MAJILIS menurunkan tandatangannya pada skrin sebagai gimik prapelancaran Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eco Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2019 di ibu negara baru-baru ini. 

Kejayaan Greentech Malaysia

Seperti dinyatakan, kejayaan IGEM juga sebenarnya boleh dianggap sebagai pencapaian Greentech Malaysia.

Sebagai contoh pada IGEM tahun lalu, Greentech Malaysia turut berpeluang melebarkan lagi sayapnya dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah agensi pembangunan Jerman Deutsche Gesellschaft für Internationale Zusammenarbeit (GIZ) untuk melaksanakan amalan terbaik dalam sektor pengangkutan dan pembangunan perindustrian.

Menerusi perkongsian dengan GIZ itu, Greentech Malaysia diberi kuasa untuk menjalankan kursus latihan GIZ mengenai pengukuran, pelaporan dan pengesahan untuk Pengangkutan Lestari di negara ini.

Kursus berkenaan difokuskan terhadap Kementerian Pengangkutan, MESTECC dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, serta akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta bertujuan melatih pegawai kerajaan dan pakar pengangkutan untuk mengambil kira isu perubahan iklim dalam polisi pengangkutan pada masa depan.

Latihan tersebut akan membina kepakaran untuk menilai kesan tindakan mitigasi dan membolehkan pegawai pengangkutan membuat pilihan dasar yang mapan.

Greentech Malaysia juga menandatangani MoU dengan Iskandar Halal Park bagi membolehkan agensi tersebut memberi sokongan teknikal bagi melaksanakan inisiatif hijau ke dalam pembangunan keseluruhan projek.

Kerjasama ini juga akan menjadikan Greentech Malaysia sebagai kolaborator dalam melaksanakan inisiatif hijau ke dalam projek-projek pembangunan yang akan datang.

Dengan itu, ciri reka bentuk mesra alam dan mapan dalam pembangunan dapat ditingkatkan dan membawa integrasi serta gaya hidup saling menguntungkan dalam aktiviti pembangunan negara.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Menterinya, Yeo Bee Yin .

Untuk maklumat lanjut mengenai IGEM 2019 layari www.igem.my atau hubungi [email protected]