Bahan utama yang digunakan adalah tepung dan air. Roti canai diuli berulang kali sehingga tepung menjadi likat dan menyukarkan pengusaha untuk mengulinya lagi. Adunan tepung roti canai akan menjadi berat dan memerlukan tenaga yang banyak untuk mengulinya sehingga sempurna.

Oleh itu, Zull Design Autotronic (ZDA) mengeluarkan mesin menguli roti canai untuk kapasiti yang besar bagi membantu pengusaha roti canai tempatan dengan mudah dan cepat sehingga sempurna adunannya.

Kebanyakan peniaga roti canai mengaku bahawa mereka hanya mampu menguli sebanyak 10 kilogram setiap hari kerana tidak mampu untuk mengulinya dalam jumlah yang banyak.

Namun, untuk menguli 10 kilogram tepung juga terpaksa dibahagikan kepada dua atau tiga bahagian bagi mengurangkan beban yang ditanggung semasa menguli adunan tersebut.

Mereka juga menghadapi masalah apabila pekerja mengambil cuti yang memaksa pengusaha kedai menutup kedai hari itu. Walaupun sehari, kerugian yang besar terpaksa ditanggung kerana roti canai merupakan menu utama sarapan.

Oleh itu, mesin menguli tepung roti canai sangat membantu pengusaha kedai makan. Pengusaha juga boleh mengulinya sendiri menggunakan mesin.

Mesin menguli roti canai keluaran ZDA mempunyai saiz yang mampu memuatkan sehingga 30 kilogram adunan untuk sekali gaul.

Masa menggaul pula bergantung pada kelajuan bilah berpusing yang digunakan oleh pengusaha.

Kadar kelajuan boleh ditetapkan sama ada perlahan, sederhana atau laju.

Bilah yang digunakan pada mesin ialah jenis teflon supaya adunan roti canai yang agak melekit itu tidak melekat pada permukaan bilah yang terletak dalam kotak mesin ini semasa ia digaul.

Walaupun tepung digaul dalam kapasiti yang besar, bilah akan sentiasa berpusing agar adunan yang dihasilkan mempunyai tekstur yang sekata, licin dan tidak berketul.

Ia juga boleh berpusing secara dua hala yang bermaksud ke hadapan dan ke belakang. Oleh itu ia menghasilkan putaran yang sama dan tidak ada bahagian tepung yang tidak digaul.

Mesin tersebut juga direka khas bagi memudahkan proses mencucinya . Ada beberapa bahagian mesin seperti bilah boleh dibuka untuk dibasuh dan dipasangkan semula selepas kering.

Untuk bahagian dalam mesin pula boleh dibasuh menggunakan air dan sabun.

Pengusaha tidak perlu khuatir jika mesin berkarat kerana bahan keluli yang digunakan adalah bersifat tahan karat, tahan lasak dan mempunyai gred makanan.

Selain itu, mesin boleh digunakan secara berterusan sekiranya pengusaha ingin menguli adunan yang lebih besar kapasitinya.

Pengusaha tidak perlu bimbang sama ada mesin akan cepat panas dan rosak kerana ia direka khas untuk penggunaan yang lama.

Pengusaha lain yang memerlukan mesin yang lebih besar daripada mesin ini juga boleh meminta ZDA untuk menyediakan penggaul yang lebih besar yang besesuaian dengan kapasiti dan modal setiap pengusaha.