Aplikasi tersebut dilancarkan untuk kegunaan orang awam di seluruh negara sejak Januari lalu.

Aplikasi ini sudah boleh dimuat turun melalui AppStore dan Playstore.

Projek unik ini dibangunkan oleh syarikat tempatan beribu pejabat di Sungai Besi, Kuala Lumpur di bawah syarikat Miracle Generations Sdn. Bhd.

Idea unik ini dicetuskan oleh pengasasnya, Irwan Hisham yang juga komposer lagu dan pemandu sambilan Grabcar dan kemudiannya bergabung dengan dua orang lagi pengasas bersama iaitu Ir. Kho Lip Khiong dan Ir. Lim Sin Poh.

Menurut Irwan, kerja-kerja membangunkan aplikasi tersebut bermula sejak Ogos tahun lalu dan akhirnya berjaya dilancarkan selepas lima bulan bertungkus-lumus menyiapkan projek yang diyakini dapat memberi manfaat kepada orang ramai dan dunia.

OhFreeFood

Projek ini juga diyakini dapat mengurangkan jumlah pembaziran dengan sangat efisien dengan adanya sistem perkongsian mudah menerusi aplikasi tersebut.

“Pengguna lebih mudah untuk berkongsi makanan yang tidak habis dimakan (dalam keadaan elok), makanan terlebih masak dan makanan baharu dengan hanya memuat naik maklumat makanan di dalam aplikasi tersebut.

“Orang ramai boleh mendapat notifikasi dan selanjutnya boleh terus membuat permintaan ke atas makanan tersebut,” ujarnya.

Penerima makanan yang dipilih oleh mereka yang ingin berkongsi makanan boleh terus mengambilnya di tempat yang ditetapkan.

Pihak yang ingin berkongsi makanan itu mungkin boleh menawarkan kepada mereka yang inginkan makanan tersebut supaya datang sendiri di rumah.

Mereka juga boleh berjumpa di kawasan awam seperti di pusat beli-belah, stesen minyak atau mana-mana tempat yang senang untuk kedua belah pihak berjumpa.

“Harapan kami agar aplikasi OhFreeFood dapat mencetuskan budaya berkongsi makanan sesama jiran tetangga yang kini seperti dilupakan terutama di bandar besar dan sebagai satu sistem mudah yang boleh digunakan segenap masyarakat,” ujarnya.

OhFreeFood

Menurut Irwan, setakat ini kira-kira 18,000 orang telah memuat turun aplikasi berkenaan.

Dalam masa sama , lebih 1,500 orang telah menikmati makanan percuma daripada hasil aplikasi berkenaan.

Justeru, beliau berharap supaya program tersebut dapat terus diguna pakai bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia kerana telah mendapat permintaan dari Singapura dan Indonesia.

“Walaupun program ini sedang berlangsung di Malaysia, kita dapat menyaksikan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun sudah mula memuat turun aplikasi ini .

“Kami juga mendapat tawaran kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelabur, tetapi masih belum rasmi kerana kami masih membuat penilaian,” ujarnya.

Beliau turut mengalu-alukan sokongan Timbalan Menteri Tenaga, Sains , Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majlis yang menyaksikan sendiri perkembangan aplikasi berkenaan menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di Technology Park Malaysia (TPM) baru-baru ini.

Katanya, Isnaraissah Munirah menyambut baik program OhFreeFood kerana bukan sahaja boleh membantu mengurangkan pembaziran, malah boleh menjadi medium mudah bagi semua orang untuk menderma segala jenis makanan.

Ini kerana program OhFreeFood begitu telus iaitu mereka yang berkongsi makanan boleh menetapkan lokasi makanan perlu diambil dan mereka yang ingin mendapatkan makanan tersebut dari awal lagi bersetuju untuk mengambilnya.

“Semuanya terletak pada mereka dan faktor mudah ini membuatkan lebih 700 orang sudah menderma makanan,” ujarnya.