Kencing tikus atau dikenali sebagai Leptospirosis merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada bakteria Spirochaete dalam genus Leptospira yang amat berbahaya kepada manusia.

Kira-kira 13 spesies bakteria Leptospira patogenik berbeza terdapat di sekitaran yang dikenal pasti boleh menjangkiti manusia.

Penyakit tersebut disebarkan menerusi haiwan liar atau haiwan ternakan. Spesies Rodensia terutama daripada keluarga tikus merupakan haiwan yang merekodkan penyebaran bakteria yang tertinggi di Malaysia.

Penyebarannya melalui permukaan air yang tercemar kepada manusia.

Jangkitan boleh berlaku apabila bakteria Leptospira menyentuh bahagian kulit yang terbuka seperti calar dan luka selain melalui bukaan hidung, mata serta mulut manusia.

Seorang pelajar doktor falsafah (PhD) Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang juga merupakan penyelidik, Dzulaikha Khairuddin memberitahu, hasil kajian di negara ini menunjukkan terdapat 263 kes Leptospirosis dicatatkan pada 2004 dan terus meningkat kepada 1,263 kes (2008), 3,665 kes (2012) dan 7,806 kes pada 2014.

“Walaupun mengalami penurunan pada 2015, namun kes yang dilaporkan masih tinggi iaitu 5,370 kes,” katanya. 

Beberapa kes juga mencatatkan rekod kematian. 

Kes yang dilaporkan termasuk ketika banjir, melawat kawasan rekreasi air dan sebagainya.

Faktor utama wabak di kawasan tersebut apabila terdapat jangkitan atau hadirnya bakteria Leptospira, tetapi tidak disedari oleh orang ramai atau pihak berwajib.

Tambah Dzulaikha, kebiasaannya bakteria di sesuatu kawasan hanya dikenal pasti apabila berlakunya jangkitan pada pesakit dan dilaporkan ke hospital atau sekiranya berlaku kematian mengejut yang selalunya berlaku dalam tempoh tujuh hingga 14 hari.

“Hanya apabila hospital berjaya mengenal pasti jangkitan dan sejarah lawatan ke kawasan rekreasi terbabit, barulah langkah kuarantin atau penutupan kawasan tersebut akan dilakukan.

“Walaupun dikuarantin, namun kawasan tersebut telah terjejas, terdedah dan berisiko tinggi untuk jangkitan Leptospirosis kepada orang ramai yang masih mengunjunginya dalam tempoh yang sama,” jelasnya.

Ini kerana tiada kaedah pengesanan cepat dan berkesan yang sesuai untuk kawasan rekreasi.

Kebanyakan kit pengesanan yang dicipta dan dibangunkan pada masa ini sesuai untuk kegunaan klinikal yang mengesan jangkitan Leptospira melalui pensampelan darah dan serum mangsa yang dijangkiti.

“Sehingga kini masih tiada peralatan sesuai dihasilkan untuk pemantauan bakteria Leptospira di lapangan terutama di kawasan rekreasi air,” ujarnya.

Difahamkan tempoh selama 14 hari untuk mengesan kewujudan bakteria Leptospira amat lama dan boleh menyebabkan kematian ketika proses mengenal pasti punca atau masalah di lapangan.