Taman Negara popular dengan keunikan hidupan liar, burung-burung dan tumbuh-tumbuhan. Haiwan seperti gajah, harimau, seladang, tapir, beruang matahari, siamang, ungka, burung kuang dan ikan kelah menarik pelancong untuk melihatnya.

Selain itu, banyak produk pelancongan lain disediakan seperti pemerhatian burung-burung, berjalan malam untuk melihat keunikan tumbuhan dan haiwan yang aktif pada waktu malam.

Keunikan hutan hujan tropika menarik pelancong dunia terutama dari United Kingdom, Belanda dan Jerman selain dari Korea dan Jepun. Sekarang pelancong dari China mula datang ke Taman Negara Pahang.

Kerajaan Pahang terus mempromosi Taman Negara sebagai salah satu destinasi pelancongan penting negara.

Antara tarikan di Taman Negara ialah Gua Telinga, Lata Berkoh, Lubuk Simpon dan Rentis Hutan di samping memerhati burung dan menikmati Sungai Tahan.

Cabang-cabang Sungai Tahan yang mengalir dari Gunung Tahan iaitu gunung yang paling tinggi di Semenanjung, Sungai Terengganu dan Sungai Kenyam yang mengalir ke Sungai Tembeling akhirnya ke Sungai Pahang merupakan sungai-sungai penting menjadi tumpuan pelancong. Ada pelancong menggunakan bot merentasi jeram menikmati keindahan hutan hujan tropika dan air yang sejuk serta jernih.

Kemusnahan hutan, pemburuan haram, pengambilan hasil hutan secara berlebihan dan lebihan pelancong bermusim mengganggu kepelbagaian biologi hutan simpan termasuk Taman Negara. Kajian tentang kepelbagaian biologi perlu dipergiatkan dan lebih ramai saintis muda diperlukan.

Taman Negara sepatutnya mempunyai maklumat yang lengkap tentang kepelbagaian biologi memandangkan ia sudah lama diiktiraf. Semua spesies perlu didokumenkan terutama spesies jarang dijumpai. Mungkin Singapura mempunyai lebih banyak maklumat tentang kepelbagaian biologi negara kita. Singapura mempunyai Raffles Museum of Biodiversity Research dan Raffles Museum yang telah lama ditubuhkan.

The Raffles Museum of Biodiversity Research (RMBR), yang terletak di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) berasal daripada Raffles Museum yang ditubuhkan pada 1849 oleh Sir Stamford Raffles, seorang ahli alam semula jadi dan pengasas Singapura.

RMBR ditubuhkan pada 1 Oktober 1998 mempunyai koleksi fauna Asia Tenggara terbesar di rantau ini. Dengan koleksi 500,000 spesimen fauna dan 25,000 spesimen tumbuhan membuatkan muzium ini terkenal di dunia.

Langkah segera perlu diambil terutama dalam menggalakkan kajian tentang kepelbagaian biologi. Pakar taksonomi flora dan fauna sangat diperlukan. Pihak swasta dan korporat perlu ke hadapan untuk menaja penubuhan muzium alam semula jadi yang diidamkan oleh penyelidik alam semula jadi tempatan. Kedudukan Malaysia sebagai negara ke-17 teratas di dunia yang tinggi kepelbagaian biologi, sudah tentu penubuhan muzium alam semula jadi akan menjadi tumpuan dunia,

Apabila Taman Negara menjadi tumpuan utama ekopelancongan negara, terdapat banyak konflik dalam pengurusannya terutama antara ekopelancongan, pembangunan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi taman negara. Konflik wujud kerana tidak jelas sempadan dan tanggungjawab dalam kalangan jabatan atau bahagian terlibat dalam hal pemuliharaan alam semula jadi.

Misalnya sempadan Taman Negara dan panduan kawasan sungai mesti dihormati, aktiviti pembalakan dikawal, kawalan pembangunan kawasan tebing sungai dan limpahan pelancong.

Semua ini perlu diselaraskan oleh satu agensi pusat yang faham tentang Taman Negara.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang bertanggung jawab tentang taman negara selain Jabatan Parit dan Saliran, Jabatan Perhutanan dan jabatan berkaitan serta pejabat daerah mesti faham betul-betul kriteria Taman Negara dan sama-sama menjaganya bagi mencapai matlamat kerajaan dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi dan sumbangan kepada ekopelancongan negara.

Taman Negara perlu mempunyai unsur-unsur pendidikan dan penyelidikan bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepelbagaian biologi dan kepentingannya kepada manusia di samping menarik minat pelancong. Taman negara juga perlu mempunyai pusat kerjasama penduduk tempatan bagi membantu memperkasakan kawalan taman negara daripada pencerobohan dan salah guna serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelancong.

Pusat penerangan yang boleh memberi maklumat kepada pelancong serta memandu mereka tentang Taman Negara juga perlu diadakan. Kerjasama rapat agensi kerajaan dan swasta sangat penting dalam menjayakan aktiviti pelancongan dan mengurangkan konflik dalam pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Walaupun Taman Negara adalah kawasan yang dilindungi dan diuruskan oleh banyak pihak untuk tujuan rekreasi, banyak perkara telah berlaku yang boleh memberi kesan kepada kebersihan air dan kesejahteraan haiwan liar serta organisma akuatik.

Antaranya air yang semakin cetek akibat aktiviti manusia di hulu sungai, sampah pelawat yang tidak berdisiplin dan kawasan perumahan, kelodak akibat hakisan dan minyak serta asap bot yang menyusuri sungai dan merentasi jeram.

Banyak kajian yang boleh dijadikan panduan asas dalam pengurusan Taman Negara. Jurnal Akademika 1995 melaporkan potensi Taman Negara sebagai salah satu daya tarikan pelancongan yang terpenting berasaskan kepelbagaian fauna dan flora yang terpelihara.

Pemeliharaan dan perlindungan sumber di Taman Negara telah dianggap melenyapkan satu sumber rezeki bagi ramai penduduk yang tinggal bersempadan dengan taman ini. Walau bagaimanapun, pembangunan pelancongan di Taman Negara sebenarnya membuka peluang kepada penduduk tempatan menjalankan aktiviti ekonomi yang menguntungkan, malah mungkin lebih baik daripada bergantung kepada sumber hutan secara tradisi.

Bagi memastikan kelestarian semua aktiviti pelancongan di Taman Negara, semua kawasan semula jadi mestilah tidak diganggu, menghargai alam semula jadi, mempopularkan pemuliharaan, memastikan kesan minimum aktiviti pelancongan ke atas alam semula jadi di Taman Negara, kakitangan yang mahir dan melibatkan komuniti tempatan.

Kajian-kajian seperti yang dilaporkan dalam Journal of Wildlife and Park 2018 dan Journal of Malaysian Forester 2011 dapat membantu pengurusan yang baik berdasarkan pespektif pelawat tempatan, kriteria dan petunjuk untuk kelestaraian Taman Negara.

Menurut International Journal of Trade, Economics and Finance 2010, tiada suatu standard yang baik untuk menilai pengurusan krisis Taman Negara. Masih banyak yang perlu dilihat sama ada dari segi dasar dan pelaksanaan dasar tempatan dan kelakuan pelancong antarabangsa dengan penerimaan penduduk tempatan.

Laporan Canadian Centre of Science and Education 2010, pelancong sanggup membayar yuran untuk rekreasi dan memasuki Taman Negara. Kadar permit masuk Taman Negara sekarang sebanyak RM1 adalah terlampau rendah dan tidak selari dengan perbelanjaan pengurusan yang tinggi. Kadar permit tersebut sudah tentu tidak memadai dan perlu dinaikkan.