Perkara yang selalu dibincangkan berkaitan kesejahteraan hidup ialah pengurusan sisa pepejal, penyakit berjangkit, haiwan pembawa kuman penyakit seperti nyamuk, air bersih, udara bersih, pengurusan sisa plastik, perubahan iklim, banjir kilat, tanah runtuh, konflik hidupan liar, tenaga solar, kesan rumah hijau dan gas rumah hijau, bunyi bising dan kesesakan lalu lintas. Perkara yang disebutkan tadi mengganggu kesejahteraan hidup manusia di habitat mereka.

Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang diadakan pada Februari lalu di Kuala Lumpur telah banyak membincangkan tentang perumahan atau tempat tinggal yang sempurna.

Kawasan bandar yang semakin meluas dan bersempadan dengan kepulauan hutan memberikan tekanan kepada keselesaan hidup manusia.

Dalam memastikan pembangunan lestari, pengetahuan asas sains dan pemikiran secara saintifik penduduk bandar sangat penting. Seiring dengan Matlamat Pembangunan Lestari 2030 (SDG 2030), forum yang bertemakan Melaksanakan Agenda Perbandaran Baharu itu sangat mencabar sebuah negara yang cepat membangun seperti Malaysia.

Agenda baharu bandar yang dibincangkan pada awal tahun itu telah diterima dalam Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar Lestari-(Habitat III) di Quito, Ecuador pada 20 Oktober 2016.

Adalah diharapkan WUF9 yang dianjurkan di negara ini dapat memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia seluruhnya dan merancang kepada keperluan sebenar penduduk Malaysia dari segi tempat tinggal yang menjadi asas kehidupan.

Pada tahun lalu, tema WHD ialah Polisi Perumahan Rumah Mampu Milik. Selalunya isu yang dibincangkan berfokus kepada status tempat tinggal manusia dan hak manusia kepada tempat tinggal. Tempat tinggal adalah keperluan asas sesuai dengan keadaan.

Aktiviti ini juga mengingatkan manusia tentang keperluan habitat untuk generasi akan datang dan keadaan bandar masa hadapan.

Sepanjang tahun ini, semua isu berkaitan alam sekitar berfokuskan kepada pencemaran plastik.

Pencemaran plastik sudah menjadi kritikal dan menarik perhatian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengajak semua negara di seluruh dunia mengawal pencemaran plastik.

Sambutan WHD 2018 juga memberikan penekanan kepada perkara berkaitan iaitu pengurusan sisa pepejal perbandaran termasuk plastik.

Pencemaran plastik sekarang adalah isu global sama ada melalui pembakaran di tapak pelupusan menghasilkan gas beracun atau pencemaran plastik di lautan yang mengganggu hidupan laut.

Tumpuan global sambutan WHD tahun ini ialah di Kenya. Pengurusan sisa pepejal perbandaran menjadi isu global yang memberikan kesan kepada semua. Pertambahan penghasilan sisa pepejal bertambah setiap hari dan meningkatkan kos pihak berkuasa tempatan menguruskan sisa pepejal.

Pengurusan sisa pepejal yang tidak cekap boleh menyebabkan masalah kesihatan daripada tapak pelupusan sampah yang tidak terkawal, pembakaran terbuka, pencemaran udara dan air, serta membawa sisa pepejal terutama plastik ke lautan.

Kesan pencemaran plastik kepada hidupan laut seperti ikan paus, penyu, burung laut dan ikan sudah pun banyak diterangkan dalam media elektronik dan media cetak.

Maka, sepatutnyalah masyarakat dunia sudah mendapat pesanan tentang pengurusan dan pengawalan pencemaran plastik menerusi Internet, telefon pintar dan televisyen.

Oleh kerana sisa pepejal bermula daripada manusia, maka perubahan sikap dan habit manusia sangat penting dalam mengurangkan sisa pepejal.

Penggunaan teknologi tinggi seperti mekanikal, biologi dan teknologi (MBT) boleh membantu menambah baik pengurusan sisa pepejal menjadi murah dan selamat daripada pencemaran.

Tema-tema lain yang pernah diketengahkan sempena WHD ialah perumahan inklusif dan perkhidmatan masyarakat, persekitaran yang sihat dan selamat terutama kanak-kanak, remaja, wanita, orang tua dan orang kurang upaya.

Tema lain seperti pengangkutan dan tenaga yang mampu dan lestari, air minuman yang bersih, kualiti udara sihat, penambahbaikan kawasan setinggan, pengurusan sisa yang lebih baik juga telah diperkenal.

Tema-tema ini semuanya untuk kesejahteraan dan keharmonian kehidupan manusia dalam habitat mereka.

Seluruh dunia berkongsi pengalaman dalam menguruskan perbandaran mengikut SDG 2030 dan Perjanjian Paris. Program pembangunan kapasiti sumber manusia dan pertukaran amalan baik dalam pengurusan sisa pepejal mesti dibangun dan dilaksanakan secara beterusan.

Teknologi memainkan peranan penting dalam mereka bentuk habitat dan menguruskannya.

Pelan pembangunan dan strategi untuk perbandaran selalunya mengambil masa yang panjang dan konsisten.

Pengurusan perbandaran bolehlah mereka bentuk insentif kewangan dan lain-lain bagi mempromosikan kitaran ekonomi, mengamalkan kitar semula yang berkesan dan mengamalkan 3R (reduce, recycle and reuse).

Semua agensi kerajaan agensi, pihak industri dan sektor swasta mesti terus berdialog tentang sisa pepejal, walaupun selepas WHD, PBB mengharapkan lebih banyak inovasi bagi mencapai matlamat Waste-Wise Cities.

Peranan pendidikan dan kesedaran

PROGRAM pendidikan dan kesedaran masyarakat memainkan peranan penting memastikan aktiviti pengurusan sisa pepejal berjalan dengan baik. Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh bekerjasama dengan masyarakat meningkatkan kesedaran awam bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan pelajar sekolah dan masyarakat umumnya.

Pengalaman PBT dapat membantu usaha pendidikan dan kesedaran tentang kesihatan dalam kalangan kanak-kanak dan ibu bapa telah berjaya. Pendekatan yang sama boleh digunakan bagi menjayakan program pengurusan sisa pepejal.

Insentif seperti ganjaran bagi aktiviti pengumpulan botol plastik, tidak menggunakan beg plastik pakai buang dan mengamalkan kitar semula boleh diperkenal.

Sudah ada mesin yang memberikan ganjaran kepada kitar semula plastik atau tin aluminium dicipta. Pembuat barangan plastik juga boleh membantu dalam mereka bentuk bahan daripada plastik seperti botol, pembungkus makanan dan beg untuk ke pasar agar dapat mengurangkan sisa dan mudah dikitar semula.

Misalnya, sudah ada penutup botol kenapa perlu mempunyai plastik membungkus penutup botol lagi. Reka bentuk yang baik, pengurusan sisa yang cekap dan tabiat manusia yang baik dapat mengurangkan kos operasi pengurusan sisa pepejal dan mengurangkan kesan kepada alam sekitar dan kesihatan.

Semua negara perlu bertukar pengetahuan, teknologi dan kepakaran bagi mengurangkan masalah alam sekitar.

Hari Habitat Sedunia (WHD) tahun ini mempopularkan tentang pengurusan sisa pepejal di bandar. Sisa pepejal yang terdiri daripada sisa makanan, plastik, pakaian lama dan sisa-sisa lain perlu dipisahkan pada peringkat sumber atau menggunakan teknologi yang boleh memproses sisa pepejal dengan baik termasuk mengeringkan, mengasingkan, mengurai dan memproses menjadi tenaga dan bahan kitar semula.

Aktiviti memberikan pendidikan dan kesedaran awam tentang pengurusan sisa pepejal mesti dilakukan secara berterusan. Teknologi terkini yang cekap juga mesti diperkenal segera di negara ini.