Legoland yang terletak di Iskandar Puteri, Johor merupakan satu kawasan strategik bagi menarik kunjungan pelancong luar negara apatah lagi kemudahan infrastruktur yang selesa dan mudah memasuki kawasan itu.

Dengan daya tarikan sedia ada iaitu Taman Air dan Taman Tema selain hotel yang mempunyai reka bentuk dan warna unik, Legoland mengambil langkah yang tepat apabila mewujudkan Sealife yang boleh dianggap sebagai komitmennya dalam program pemuliharaan haiwan marin.

Sealife yang mula dibuka secara rasmi Julai lalu adalah cerminan kesungguhan Legoland dalam menyokong program pemuliharaan haiwan marin dan pada masa sama membantu usaha mencintai alam sekitar dan khazanah marin.

Pada masa sama, Sealife akan menjadi hab pendidikan dan kesedaran khususnya kepada generasi muda mengenai kepentingan memulihara haiwan marin.

Dibuka secara rasmi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Johot, Liow Cai Tung, Sealife memberi nilai tambah kepada tarikan pelancong selain meletakkan Legoland sebagai destinasi percutian dan pelancongam mesra keluarga.

“Kami gembira Sealife menjadi satu lagi daya tarikan kepada pelancong ke negeri ini

“Daya tarikan yang unik ini akan menyumbang kepada Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2020.

“Dengan itu kita yakin Legoland juga akan memberi sumbangan bermakna kepada sasaran menarik 17.4 juta pelancong (ke Johor) tahun depan.

“Justeru ia akan merangsang visi negeri ini menjadi destinasi pelancongan serantau bernilai tinggi pada 2023,” kata Cai Tung. Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Sealife Malaysia di Iskandar Puteri baru-baru ini. Hadir sama Pengurus Besar Sealife Malaysia , Kristian Griffin; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Ketua Pegawai Komersial (CCO), Philip Whittaker dan Pengurus Besar Legoland, Kurt Stocks.

Dengan jumlah lebih 13,000 haiwan marin daripada 120 spesies dan 11 zon habitat, akuarium raksasa dua tingkat itu menjanjikan keseronokan kepada keluarga

Antara kehidupan marin adalah yang disimpan dalam 25 tanki ialah pari, Zebra Sharks, Black Tip Reef Sharks, kuda laut dan obor-obor.

Sementara itu, Stocks berkata, dengan adanya Taman Tema, Taman Air dan hotel serta Sealife, ia menjadikan pusat percutian tersebut daya tarikan bagi rakyat Malaysia.

“Sealife Malaysia menawarkan kepada pengunjung konsep percutian keluarga dengan pelbagai konsep dan pengalaman menyeronokkan seperti penceritaan menarik paparan interaktif dan zon Rock Pool.

“Sepanjang laluan setiap akuarium, kami mendedahkan mereka kepada pengalaman dan inspirasi untuk mempelajari, menyayangi melindungi dan menjaga laut kita,’’ kata Stocks.

Selain itu, mereka yang mengunjungi Sealife berpeluang menikmati pengalaman menakjubkan termasuk zon habitat khas iaitu hutan hujan, Stingray Bay dan dan Terowong Lautan yang menawarkan pemandangan 160 darjah dunia di bawah air

Satu lagi daya penarik adalah Gua Lautan yang membolehkan pengunjung melihat hidupan marin menerusi kaca.

Mereka boleh membeli pas tahunan Triple-Park pada harga sama tiket harian atau tambah nilai minimum di Legoland

Sealife Malaysia juga menawarkan kolam interaktif membolehkan pengunjung terutama kanan-kanak merasai pengalaman dengan lebih dekat bersama haiwan marin.

“Dengan adanya ikan-ikan ini menandakan satu lagi kejayaan pembinaan Sealife Malaysia sejak pembukaannya pada April lalu.

“Kakitangan kami bekerja bertungkus-lumus bagi memastikan air sentiasa bersih selain kesihatan dan keselamatan haiwan marin memenuhi piawaian.

“Sebaik sahaja kumpulan pertama ikan dilepaskan dalam persekitaran baharu, kami akan membawa masuk ikan terbesar seperti pari dan jerung.

“Menerusi Sealife Malaysia, kanak-kanak berpeluang belajar betapa pentingnya memulihara sumber marin kita menerusi pengalaman interaktif yang diwujudkan dalam akuarium,” ujarnya.

Tambahan pula katanya, Sealife merupakan satu-satunya akuarium di rantau ini yang menggabungkan konsep tersebut dengan keunikan elemen lego.

Bagi meraikan pelancaran Sealife Malaysia, Legoland menawarkan pemegang MyKad menikmati promosi awal dengan pemegang pas tahunan untuk masa-masa tertentu.

Selain di Legoland, Sealife juga dibuka di beberapa bandar di United Kingdom (UK), Jerman, Finland, Perancis, Sepanyol, Denmark, Belanda, Ireland, Belgium, Itali, Australia, Amerika Syarikat, New Zealand, China, Korea Thailand, Jepun dan Turki.

Sealife Junior Rangers duta cilik hidupan marin

Kesungguhan Sealife Malaysia mendidik pengunjung supaya menghayati dan meyedari kepentingan pemuliharaan haiwan marin dibuktikan dengan kewujudan Sealife Junior Rangers sebagai ikon muda bagi membantu usaha tersebut dalam kalangan kanak-kanak.

Tiga daripada 18 Junior Rangers yang ditemui ternyata teruja dengan ‘jawatan baharu’ mereka.

Ketiga-tiga mereka iaitu Zafri Azmi, Arinna Amin Al-Rashid dan Nathaniel Yap berkata, sebagai Junior Rangers mereka terlibat dalam aktiviti pembelajaran, latihan penyelamat jerung, membersihkan pantai, membantu kakitangan Sealife mengisi air ke dalam tangki dan mengalu-alukan kumpulan pertama ikan yang ditempatkan dalam akuarium. Meskipun tidak mengenali kebanyakan jenis ikan atau haiwan marin tersebut, mereka tetap teruja dengan ketibaannya.

Menurut Zafri, adalah penting untuk melindungi haiwan marin memandangkan jumlahnya semakin berkurangan.

“Saya percaya sebagai Junior Rangers ia membantu saya memahami dan lebih mengenali haiwan marin sekali gus dapat membantu melindunginya dengan cara yang betul,’’ ujarnya.

Berkongsi perkara yang sama, Arinna berkata, dia ingin membantu usaha melindungi haiwan marin memandangkan banyak spesies seperti penyu dan anjing laut terjejas dengan aktiviti manusia seperti tumpahan minyak dan pembuangan sampah di pantai.

“(Justeru) saya ingin menjadi Junior Rangers bagi membantu melindungi haiwan ini dan memastikan semuanya selamat dan bebas daripada ancaman toksik dan sampah,” ujarnya.

Bagi Nathaniel, menjadi Junior Rangers membantunya memberi pendidikan kepada orang ramai untuk sedar tentang kepentingan haiwan tersebut.

“Haiwan marin sangat penting, cuba bayangkan kehidapan kita tanpanya. Kalau kita tidak melindunginya, ia akan musnah.

Mereka berharap generasi muda seusia supaya bermula secara perlahan-lahan dengan aktiviti kecil-kecilan seperti membersih pantai. Selepas itu mereka boleh cuba memahami tentang laut dan bagaimana aktiviti pemuliharaan dijalankan.

Program Sealife Junior Rangers diwujudkan secara rasmi pada 30 Ogos tahun lalu. Program tersebut mengumpulkan kanak-kanak dari Malaysia dan Singapura yang berminat untuk mempelajari dan bercerita tentang hidupan laut kepada orang ramai.