Fasa dua melibatkan Wilayah Persekutuan (Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara), Terengganu, Sabah, dan Sarawak serta Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara, Kedah.

Penganjuran fasa satu mendapat sambutan meriah dengan jumlah keseluruhan pengunjung yang dicatat di empat buah negeri adalah 201,311 orang.

MSN penting sebagai pemacu kepada usaha menyuburkan bidang sains di negara ini

Ini kerana pembangunan negara memerlukan kepada penggunaan sains dan teknologi. Justeru, adalah sangat penting untuk menyepadukan ilmu sains dan teknologi dengan sains sosial dalam membincangkan isu berkaitan teknologi dan kesannya terhadap kelestarian persekitaran dan masyarakat.

Apatah lagi semua sudah memperkatakan Revolusi Industri 4.0 yang menuntut pembaharuan atau penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, kepintaran buatan (AI), virtual reality, augmented reality dan sebagainya lantas mengekalkan kelangsungan hidup dan menyemarakkan keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang merasmikan MSN pada 2 April lalu di Pusat Sains Negara berkata, program tersebut diadakan sebagai salah satu usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan dunia sains.

“Dari sini ia diharap akan dapat meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan dan sumbangan yang mampu diperoleh daripada sains,’’ ujarnya.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) yang menyelaras MSN di seluruh negara setiap tahun menyataan bahawa ia penting sebagai salah satu inisiatif sains kebangsaan. MSN diadakan berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 13 Disember 2017.

Pelbagai program dirancang serta akan dilaksanakan dalam fasa dua dan tumpuan utama atau signature program bagi setiap negeri adalah kempen kesedaran berkaitan hindari plastik sekali guna dan kempen kesedaran berkaitan penjagaan alam sekitar.

Ini kerana bencana pencemaran kimia yang dilaporkan baru-baru ini memberi cerminan jelas bahawa tahap kesedaran masyarakat di pelbagai peringkat masih berada pada tahap yang sangat rendah dan membimbangkan.

Di samping signature program itu, setiap negeri juga akan melaksanakan pelbagai signature event yang kebanyakannya adalah hasil kerjasama jalinan strategik antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, MSN merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi meningkatkan minat dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan sains, teknologi dan inovasi (STI) yang bersifat dinamik, seiring dengan perubahan masa.

“Menyedari bahawa STI merupakan asas penggerak untuk mencorakkan landskap sosioekonomi negara, maka adalah penting STI diperkukuh dan diarusperdanakan ke semua sektor dan peringkat dalam agenda pembangunan negara,” ujar beliau.

Katanya. tema Sains Untuk Kesejahteraan dipilih bagi menunjukkan betapa sains dan teknologi memberi kesan yang besar terhadap kelestarian alam sekitar dan masyarakat.

Pembangunan negara yang mapan memerlukan sains dan teknologi, justeru adalah sangat penting untuk sains dan teknologi disepadukan dengan sains sosial dalam membincangkan isu berkaitan teknologi dan kesannya terhadap kelestarian persekitaran dan masyarakat.

“MSN adalah bukti kerajaan komited menjadikannya sebagai salah satu platform menyediakan masyarakat untuk menghadapi cabaran IR 4.0,” ujar beliau lagi

Kementerian berkenaan menyasarkan penglibatan dan penyertaan kira-kira satu juta penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat terutama pelajar, pendidik dan saintis, belia, NGO serta sektor awam dan swasta.

Antara sebab MESTECC menyasarkan pelajar adalah kerana cabaran IR 4.0 menuntut pembaharuan atau penemuan pelbagai teknologi dalam bidang seperti robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, kepintaran buatan (AI), realiti maya (virtual reality), augmented reality dan sebagainya.

Justeru MSN penting sebagai satu platform bagi MESTECC mendukung usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai saintis dan penyelidik pada masa hadapan.

MSN fasa dua dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan Warisan Kangar, Perlis malam ini.

MESTECC anjur pertandingan video

Dalam pada itu, sejajar dengan aspirasi MSN 2019 iaitu bagi meningkatkan penglibatan rakyat khususnya pelajar sekolah dalam program dan aktiviti berteraskan STI, MESTECC mengadakan Pertandingan Video Pendek dan Laporan Aktiviti Minggu Sains Negara Peringkat Sekolah dengan tema Sains Untuk Kesejahteraan.

Syarat pertandingan dan format pelaporan program atau aktiviti boleh dimuat turun menerui laman sesawang kementerian berkenaan.

Format pelaporan program atau aktiviti perlu diisi oleh sekolah dan dihantar kepada urus setia MSN 2019 melalui e-mel [email protected] sebelum atau pada 31 Ogos ini.

Sebarang pertanyaan sila hubungi Muhammad Fauzi Samsubaha melalui talian 03-8885 8148 atau e-mel [email protected]