Penganjuran program tersebut adalah bagi mengiktiraf KSNP sebagai kawasan tanah lembap yang perlu dipulihara sebagai habitat penting burung-burung air dan sebagai tempat singgah burung-burung hijrah di KSNP dalam penerbangan mereka ke Selatan.

Pada musim sejuk di Hemisfera Utara dunia, burung-burung berhijrah ke selatan pada bulan Oktober dan pulang semula ke tempat pembiakan mereka di Hemisfera Utara pada bulan Mac setiap tahun.

Sepanjang musim penghijrahan mereka, MNS bersama peminat burung hijrah lain akan menjalankan pemantauan dan pengiraan burung yang melalui laluan Timur dan Tengah Asia atau dikenali sebagai East Asian-Australasian Flyway (EAAF) dan Central Asian Flyway (CSA).

Dalam program FOW juga, masyarakat tempatan, pelajar sekolah dan universiti serta masyarakat amnya dijemput bersama meraikan pesta tersebut supaya mereka mendapat maklumat dan memahami tentang burung hijrah dan KSNP sebagai tempat singgahnya dalam penerbangannya yang jauh ke selatan dunia.

Pesta Sayap pada tahun ini diadakan bermula esok dan lusa.

Selain amalan biasa bersama komuniti setempat, pelajar sekolah dan universiti, Pesta Sayap tahun ini mengadakan seminar berkaitan kajian-kajian tentang burung hijrah dan pemuliharaannya.

Di samping Kuala Selangor, MNS juga memberi perhatian di seluruh kawasan Pantai Barat Semenanjung terutama kawasan seperti Empangan Timah Tasoh di Perlis, Teluk Air Tawar (Pulau Pinang), Kuala Gula (Perak), sepanjang pantai Sekinchan (Tanjung Karang) dan Kuala Selangor - hingga di sepanjang Pantai Barat Johor, Pulau Kukup dan Tanjung Piai yang merupakan tanah paling selatan di benua Asia.

Kawasan Pulau Kukup, Tanjung Piai dan Sungai Pulai sudah pun diiktiraf sebagai Tapak Ramsar. Kawasan pantai pasang surut berlumpur yang luas di kawasan tanah paling selatan di Asia itu sesuai untuk burung hijrah singgah dalam penerbangan mereka ke selatan dan utara. MNS sedang berusaha untuk menjadikan Pantai Teluk Air Tawar, Kuala Gula dan Kuala Selangor sebagai Tapak Ramsar yang baharu dan penting di negara ini.

Teluk Air Tawar adalah antara kawasan awal dikenal pasti sebagai salah satu daripada 55 kawasan penting burung dan kepelbagaian biologi (IBA) di Malaysia. Kawasan pantai bakau yang sempit dengan pantai berlumpur yang produktif di bahagian utara Seberang Perai sangat sesuai untuk kawasan burung hijrah.

Tekanan terhadap ekosistem pantai akibat daripada aktiviti pembangunan yang aktif di kawasan pantai di Pulau Pinang memberi kesan kepada pantai yang diiktiraf oleh BirdLife International pada tahun 2007 sebagai IBA. Kawasan ini sepatutnya dilindungi dan dipulihara sebagai tapak IBA penting di utara Semenanjung.

Sekiranya kawasan ini diiktiraf sebagai Tapak Ramsar, ia akan menjadi kawasan utama persinggahan burung hijrah dan memberikan manfaat kepada penduduk tempatan, nelayan persisiran dan berkepentingan dalam ekopelancongan, pendidikan dan penyelidikan.

Berpuluh-puluh ribu burung hijrah dapat dilihat setiap musim di pantai Teluk Air Tawar. Kawasan seluas 200 hektar (ha) ini dapat memberi perkhidmatan ekosistem kepada masyarakat tempatan dan menjana pendapatan mereka.

Kajian oleh MNS seperti yang dilaporkan di dalam MNS Conservation Publicaton No. 16 (2016) menerangkan secara terperinci tentang kepentingan pantai Teluk Air Tawar sebagai IBA dan patut diwartakan sebagai kawasan perlindungan yang boleh memberi kesan baik kepada ekosistem seluruhnya, burung berhijrah dan penduduk tempatan khususnya.

Kuala Gula di Perak memang sudah lama dipopularkan sebagai santuari burung laut yang menjadi tempat persinggahan utama burung hijrah. Pejabat Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli juga ditempatkan di situ dengan kemudahan untuk pendidikan alam semula jadi berfokuskan burung air dan burung hijrah.

Pusat tersebut selalu dilawati pelancong termasuklah antaranya pelajar sekolah dan universiti.

Perkhidmatan yang diberikan dapat mempromosi pengetahuan tentang burung hijrah, habitat mereka dan pemuliharaan.

Program pemantauan dan pengumpulan data burung hijrah juga dijalankan oleh Perhilitan di kawasan Kuala Gula sejak lama dahulu.

Kehadiran burung hijrah di Kuala Gula juga menarik minat peminat dan penyelidik burung tempatan dan antarabangsa.

MNS pantau burung hijrah

Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menerusi Majlis Pemuliharaan Burung (BCC) sentiasa memantau dan melaporkan bilangan burung hijrah singgah di Kuala Gula dan sekitarnya.

Oleh kerana Kuala Gula diiktiraf sebagai santuari burung laut dan merupakan habitat asal burung botak upeh (Mycteria cinerea), maka ia dipilih untuk program pelepasan burung botak upeh sebagai langkah pemuliharaan setelah ia tidak lagi kelihatan di Kuala Gula ini.

Burung botak upeh yang dibiakkan di Zoo Negara dibawa ke Kuala Gula bagi menjalankan penyesuaian sebelum di lepas di habitat liar sekitar Kuala Gula.

Sekarang burung-burung ini berjaya meneruskan kehidupan mereka dan ada yang sudah membiak. Oleh kerana kawasan Kuala Gula ini penting sebagai tempat singgah burung hijrah, maka kawasan ini sangat perlu diberikan perhatian agar hasrat kerajaan diselaraskan dengan semua agensi dan memastikan tiada konflik dalam program pemuliharaan, pembangunan serta peningkatan ekonomi rakyat tempatan.

KSNP serta kawasan penting sekitar kawasan Kepulauan Klang dan Kapar merupakan kawasan tarikan pemerhati burung hijrah sejak lama dahulu terutama pada bulan Oktober dan November semasa MNS menanjurkan FOW.

Malah kawasan sekitar Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz menjadi tumpuan beribu-ribu burung hijrah semasa air pasang.

Semasa air surut kawasan pasang surut berlumpur menjadi kawasan burung mencari makan, Kawasan hutan bakau berdekatan menjadi tempat mereka berehat.

Secara amnya sepanjang Pantai Barat Semenanjung merupakan kawasan persinggahan burung hijrah semasa terbang ke selatan dan kembali ke utara tempat pembiakan mereka semasa musim panas antara bulan Mei hingga Oktober setiap tahun.

Pemantauan sepanjang masa perlu dilakukan. Kawasan IBA terutama mesti diberikan perhatian untuk pemuliharaan habitat.

Malaysia menandatangani perkongsian laluan East Asian-Australian Flyway (EAAF) pada tahun 2012 untuk kepentingan burung hijrah dan kawasan pantai bagi nelayan tempatan.

Pada bulan November 2012, Malaysia menjadi ahli rakan kerjasama EAAF. Ada dua laluan di Malaysia iaitu kawasan pantai barat Sarawak dan Pantai Barat Semenanjung.

Setiap tahun antara 30,000 hingga 50,000 burung melalui laluan Asia Timur ke Australia dan New Zealand. Laluan EAAF ini merupakan laluan penting burung hijrah dan Pantai Barat Semenanjung Tanah Melayu adalah antara laluan utama.

Dengan komitmen kerajaan pada peringkat antarabangsa tentang EAAF, maka semestinya aktiviti pemantauan dan perlindungan habitat burung hijrah dikuatkuasakan.

Sokongan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BCC-MNS bolehlah diiktiraf sebagai agen kerajaan memantau penghijrahan burung-burung.

Pihak swasta bolehlah menyumbang kepada pihak MNS sebagai sokongan kepada kerajaan memantau dan melindungi burung hijrah dan habitat mereka.