Lautan juga menerima aliran sungai dari daratan yang menerima larian air permukaan, efluen industri, pertanian, dan domestik serta aktiviti perkapalan menyebabkan lautan boleh tercemar dengan bahan kimia seperti racun perosak, nutrien dan hidrokarbon termasuk plastik.

Pencemaran plastik di lautan telah menjadi topik hangat sepanjang tahun yang memberi kesan langsung kepada populasi hidupan marin seperti penyu, ikan paus dan burung laut.

Pencemaran bahan kimia sepanjang pantai juga telah banyak dibincangkan dan diterbitkan dalam jurnal saintifik terkemuka antarabangsa. Pencemaran ini memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada hidupan laut termasuk manusia.

Justeru, sambutan WOD sebagai memperingatkan manusia agar menilai kepentingan lautan dan menjaganya agar ekosistem lautan tidak tercemar.

Pengisytiharaan WOD pada 2008 dan 25 tahun selepas WOD pertama di Rio de Janeiro.

Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 14 dipersetujui dalam Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 5 hingga 9 Jun 2017. Dalam usaha menjayakan matlamat ini semua pihak mesti terlibat.

Kerajaan perlu melihat ekosistem lautan sebagai sumber pendapatan dan keselamatan negara. Kajian ke arah kelestarian sumber perikanan dan ekopelancongan perlu dilakukan. Pendekatan pemuliharaan taman laut misalnya perlu dilihat berbeza dengan sumber perikanan lain.

Kedudukan taman laut mungkin lebih baik bersama taman negara lain di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berbanding dengan Jabatan Perikanan yang mungkin lebih melihat kepada sumber perikanan, teknologi perikanan dan perniagaan berkaitan.

Selain sumber makanan, sumber semula jadi juga menjadi sumber ekopelancongan yang boleh menjana pendapatan negara.

Aliran semasa ekopelancongan berasaskan taman laut, batu karang dan ikan semakin meningkat.

Ekopelancongan boleh menjana pendapatan lebih daripada sumber perikanan.

Ketika ini kira kira RM207.4 bilion setahun dijana melibatkan lebih 120 juta pelancong daripada sumber ekopelancongan marin di seluruh dunia. Di Mexico, ekopelancongan marin menarik 900,000 pelancong setahun ke Teluk California sahaja dan menjana lebih RM3,074 juta.

Industri pelancongan tempatan menyumbang sebanyak 14.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM201.4 bilion pada 2017.

Industri pelancongan bakal menyumbang sebanyak RM100 bilion kepada ekonomi negara menjelang 2020. Taman Laut Pulau Payar, Kedah misalnya menyumbang kepada industri pelancongan dan perikanan sebanyak RM174 juta setahun. Sebanyak 72 peratus pelancong ke Pulau Payar adalah dari luar negara. Nilai estetik Pulau Payar menjadi tarikan pelancong bernilai RM50 juta setahun.

Sambutan WOD sebagai mengingatkan semua orang tentang peranan lautan dalam kehidupan. Lautan bukan sahaja untuk pengangkutan kapal dan sumber perikanan, tetapi yang penting dalam kehidupan manusia termasuk membekalkan oksigen untuk pernafasan.

Sambutan tersebut membawa manusia bersama-sama memahami kesan tindakan mereka ke atas lautan dan membangunkan satu gerakan dalam kalangan masyarakat tempatan untuk kelestarian lautan.

Lautan untuk pernafasan, makanan, perubatan dan kekayaan.

Perang terhadap pencemaran plastik masih berterusan di seluruh dunia. Sekarang dilaporkan 13 juta tan plastik masuk ke laut setahun dan membunuh 100,000 haiwan marin setiap tahun. Plastik dalam alam sekitar mengambil masa beribu tahun untuk reput.

Plastik yang terhakis pecah menjadi plastik mikro lebih berbahaya kepada hidupan laut dan yang bergantung kepada hidupan laut. Apabila plastik mikro berada di lautan, ia akan dimakan oleh plankton, ikan dan hidupan liar lainnya.

Atas kesedaran ini, seluruh dunia memulakan langkah kawalan pencemaran plastik misalnya mengurangkan atau mengharamkan penggunaan penyedut minuman dan beg plastik.

Kira-kira 80 peratus sampah plastik di lautan datangnya dari daratan.

Plastik masuk ke ekosistem lautan melalui tiupan angin, larian air permukaan ke muara sungai dan pantai selain dari pantai dan jalan raya.

Bahan berasaskan plastik terdiri daripada beg plastik, belon, botol, penyedut minuman, pembalut barangan dan lain-lain termasuk peralatan memancing. Kira-kira 100 juta tan plastik dianggarkan berada di lautan. Mengikut jurnal sains dianggarkan antara empat hingga 12 juta tan metrik plastik masuk ke lautan setiap tahun.

Banyak pihak mencadangkan agar kerjasama peringkat tertinggi antara ahli sains marin, pembuat polisi dan masyarakat diadakan bagi memastikan pengurusan lautan secara lestari. Penglibatan ahli sains di peringkat tertinggi sangat diperlukan.

Untuk itu, pengetahuan saintifik tentang lautan mestilah terkini. Maka, penyelidikan tentang lautan mestilah berterusan. Komitmen peringkat tertinggi dunia diperlukan bagi meningkatkan pengetahuan saintifik dan kefahaman masyarakat tentang lautan.

Maka sambutan WOD membawa ahli sains, pembuat polisi dan lapisan masyarakat bersama memberi perhatian kepada lautan hari ini dan kepentingannya kepada manusia kini dan selamanya.

Pada 2019 dengan tema Gender and the Ocean memberikan lebih peluang kepada golongan wanita untuk terlibat dengan lautan. Juga kajian saintifik berkaitan marin, perikanan, pekerjaan berkaitan lautan dan pembuat serta pengurusan dasar. Langkah ini sesuai dengan SDG 5.

Keseimbangan jantina dalam pemuliharaan dan kelestarian ekosistem lautan adalah penting dan mula diiktiraf dunia.

Pendekatan ini sesuai dengan SDG 5 sebagai sumbangan kepada kesamaan jantina (gender equality).

Dalam proses mencapai SDG 5, SDG 4 diperlukan iaitu kualiti pendidikan untuk SDG 14 dicapai meliputi kehidupan akuatik termasuk ekosistem marin.

Pengetahuan masyarakat tentang lautan sangat penting bagi menjayakan SDG 14.

Suhu lautan, kimia, arus dan kehidupan membuatkan sistem dunia ini didiami hidupan termasuk manusia.

Pengurusan alam sekitar sangat penting misalnya bagi mengelak daripada berlaku perubahan cuaca melampau.

Lautan juga menyerap 30 peratus karbon dioksida yang dihasilkan manusia dan didapati keasidan lautan adalah 26 peratus sejak bermulanya revolusi industri.

Pencemaran di laut datangnya dari daratan.

Sebanyak 13,000 kepingan plastik boleh didapati dalam satu kilometer persegi lautan. SDG bertujuan menguruskan, memulihara dan melindungi kelestarian lautan melalui undang-undang antarabangsa.