Sambutan tersebut pada setiap tahun sejak 2008 mestilah menunjukkan peningkatan dari segi pengetahuan, kesedaran awam dan pemuliharannya dalam kalangan masyarakat.

Sambutan WTD bukanlah sekadar upacara atau mengikut apa orang lain lakukan. Pada sam­butan tahun lepas, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) mencadangkan kepada 500 Sekolah Kelab Pencinta Alam (KPA) di seluruh negara memperkenalkan tapir malaya kepada semua pelajar.

Sekiranya satu sekolah mempunyai 1,000 pelajar mengikuti program kempen kenali tapir, mungkin setengah juta pelajar sudah tahu tentang tapir malaya dan sekiranya mesej ini sampai kepada ibu-bapa mereka, maka 1.5 juta rakyat Malaysia mendapat maklumat tentang haiwan berkenaan.

Populasi tapir malaya menjadi semakin terancam kerana kekurangan maklumat tentang biologi dan ekologinya, pemencilan habitat, kemalangan jalan raya, pemburuan haram, kurang kesedaran rakyat terhadap pemuliharaan tapir dan strategi yang kurang mantap dalam memulihara tapir. Kempen kesedaran dan strategi pihak berkuasa penting dalam memastikan kejayaan pemuliharaan tapir malaya.

Tapir melintas

Tapir malaya hanya terdapat di kawasan Semenanjung dan Sumatera. Keunikan haiwan ini membuatkan ia sangat penting untuk dilindungi dan dipulihara. Sempena sambutan WTD setiap tahun sepatutnya semua pihak mengambil kesempatan mempromosikan selamatkan tapir dan lindungi habitatnya secara besar-besaran bagi meningkatkan pengetahuan, kesedaran awam dan pemuliharaan.

Seiring dengan usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MNS memberikan pengetahuan tentang tapir, kesedaran awam dan kempen selamatkan haiwan berkenaan, kerajaan juga mestilah mempunyai strategi yang mantap ke arah pemuliharaannya. Kerajaan menerusi Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil perhatian serius tentang ancaman yang dihadapi tapir malaya. Langkah ini selari dengan perhatian serius tentang pemuliharaan haiwan berkenaan yang telah dibincangkan dalam Simposium Tapir Antarabangsa Pertama di Costa Rica pada November 2001.

Spesies ini sedang menghadapi risiko kepupusan di habitat liar. Pada 2003, bengkel pemuliharaan tapir malaya diadakan bagi membincangkan dan menggalakkan perlindungan dan pemuliharaan serta habitatnya.

Ini termasuk mengenal pasti habitat utama tapir dan mengurangkan ancaman terhadapnya. Keuta­maan program pemuli­haraan menumpukan kepada meningkatkan kempen kese­daran awam tentang tapir, mengem­bangkan pengetahuan dan maklumat hasil kajian tentang demografi, kepelbagaian genetik tapir dan kegunaan tanah.

Jabatan Perhilitan sudah berada di peringkat akhir penyediaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Tapir Malaya.

Pada 13 hingga 15 Februari lalu, Perhilitan bersama MNS menganjurkan bengkel khas di Taman Alam Kuala Selangor untuk mendapat pandangan dan perkongsian dalam kalangan penyelidik dan pemegang taruh dalam pengurusan tapir bagi menambah baik pelan strategik yang telah dibangunkan.

Malaysia mempunyai banyak pelan tindakan tentang pemuliharaan hidupan liar.

Misalnya Pelan Tindakan Pemuliharaan Badak 1993 yang memberi penekanan kepada pemuliharaan in situ dan ex situ. Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (2008-2020) diwujudkan bagi memastikan pengurusan populasi harimau yang lebih baik dan Central Forest Spine (CFS) bagi memberikan ruang legar selesa harimau serta mengurangkan konflik.

Perancangan semasa itu menyasarkan 1,000 ekor harimau di habitat liar dalam CFS menjelang 2020, namun popolasi harimau malaya (Panthera tigris jacksoni) terus berkurang dengan serius. Usaha terbaharu adalah menambah bilangan kepada 500 ekor.

Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP) 2013-2022 juga diwujudkan bertujuan meningkatkan populasi gajah dan mengurangkan ancaman terhadap haiwan itu melalui pemantauan populasi dan habitat. Selain itu, kerajaan juga mengadakan Pelan Tindakan Orang Utan Sabah 2012-2016 yang berperanan memastikan populasi orang utan terjaga dan pembunuhan sifar. Pelan Tindakan Pemuliharaan Beruang Matahari bagi memastikan penyelidikan tentang status, ekologi, biologi, pemakanan dan taburannya. Pelan Tindakan Pemuliharaan dan Pengurusan Penyu dan Ikan Yu Kebangsaan juga sudah ada.

Semua pelan tindakan yang disediakan ini masih terlalu asas iaitu menumpu kepada pendidikan dan kesedaran awam. Tindakan yang lebih maju perlu diadakan dengan meningkatkan kajian terutama tentang biologi dan ekologi haiwan berkaitan.

Sebanyak 144 laluan di Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Perak, Johor, Kelantan, Pahang dan Terengganu telah dikenal pasti sebagai kawasan panas hidupan liar melintas.

Kemalangan yang terus berlaku akan memberikan kesan kepada populasi tapir malaya di Semenanjung.

R & R Tapir

Anggaran populasi tapir malaya di Semenanjung pada 2013 sekitar 1,100 hingga 1,500 ekor sahaja.

Bilangan itu dipercayai terus berkurangan. Kematian akibat dilanggar kenderaan kerana mereka mencari makanan dan mencari pasangan untuk pembiakan.

Semua empat spesies tapir di dunia adalah terancam dengan sebab-sebab utama adalah penebangan hutan dan pemburuan haram.

Sambutan WTD Sedunia adalah bagi mengingatkan semua orang tentang komitmen menyelamatkan tapir sebelum terlambat. Tapir malaya merupakan tapir yang paling besar daripada empat spesies lain dan asli di Asia. Ia dijumpai di Semenanjung , Thailand dan Sumatera.

Kawasan Kenaboi, Jelebu, Ulu Bendul dan Senaling Inas merupakan kawasan hutan penting di Negeri Sembilan yang menjadi habitat tapir.

Tapir juga dijumpai di Hutan Belum di Perak, Taman Negara Pahang, Bukit Bauk Terengganu, Kompleks Hutan Ulu Muda Kedah dan sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2). Selain kehilangan habitat, populasi tapir juga terpengaruh dengan pembiakan yang perlahan dengan tempoh bunting 14 bulan dan tempoh anak bersama ibu antara 12 hingga 18 bulan.

Dalam usaha pemuliharaan tapir, kawasan-kawasan seperti di santuari hidupan liar Huai Kha Khaeng dan Taman Negara Khao Sok di Thailand serta Taman Negara Was Kambas di Sumatera telah disimpan untuk tapir. Menerusi kawasan yang dilindungi ini diharapkan populasi tapir akan berkembang biak dan meningkatkan populasinya.