Sambutan WTD dijalankan dalam pelbagai cara termasuk menggalakkan pendidikan tentang penyu dalam bilik darjah dan aktiviti membersih pantai. Aktiviti membersih pantai dijalankan kerana pantai tempat penyu mendarat dan bertelur serta kawasan perairan mungkin tercemar dengan sampah terutama plastik.

Kes penyu mati disebabkan plastik sudah banyak dilaporkan dalam media antarabangsa.

British Broadcasting Corporation (BBC) News melaporkan hasil kajian Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CSIRO) mendapati 22 peratus kematian penyu memakan satu plastik dan 50 peratus kematian jika memakan 14 plastik.

Sekiranya penyu memakan 200 plastik, ia akan mati.

Mengikut pemerhatian penyelidik lagi mendapati walaupun plastik kecil boleh menyebabkan saluran pemakanan penyu tersekat dan boleh menyebabkan kematian.

Anak penyu yang hanyut mengikut arus lautan bersama dengan plastik yang ringan terapung lebih terdedah kepada bahaya itu. Penyelidik berpendapat anak penyu tidak mempunyai banyak pilihan makanan berbanding penyu dewasa yang memakan rumpai laut dan haiwan krustasia.

Anak penyu juga berada di lautan lepas berbanding penyu dewasa yang memakan di kawasan pantai. Ancaman plastik kepada anak penyu lebih daripada penyu dewasa.

Penyelidik CSIRO mendapati kira-kira 23 peratus penyu juvenil dan 54 peratus anak penyu baru menetas memakan plastik berbanding 16 peratus penyu dewasa. Ini boleh memberikan kesan kepada pengurangan populasi penyu dengan cepat dan meragukan kemandirian haiwan itu.

WTD yang disambut sejak tahun 2000 menarik minat ramai sukarelawan mendekati penyu dan membantu aktiviti pemuliharaannya.

Ancaman kepupusan penyu telah banyak dibincangkan disebabkan pengutipan telur, pencemaran, gangguan habitat, kehilangan habitat di seluruh dunia dan terjerat dalam pukat nelayan. Pukat hanyut antara peralatan menangkap ikan yang mengancam populasi penyu. Penyu memerlukan bantuan manusia untuk kelestarian populasinya dilautan.

Banyak pihak terlibat dalam pemuliharaan penyu di Malaysia termasuk Persatuan Pemuliharaan Penyu, Pusat Penyelidikan Penyu dan Spesies Terancam (TUMEC), Borneo Divers, Sea Sport (Sabah) Sdn. Bhd., Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Jabatan Perikanan.

Di Melaka misalnya, kerajaan negeri memberi perhatian tentang perlindungan dan pemuliharaan penyu menerusi program penghayatan penyu bersama Jabatan Perikanan Negeri dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Kerjasama penduduk dengan nasihat daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menunjukkan kejayaan dari segi peningkatan pendaratan penyu membuat sarang.

Statistik antara 2010 hingga 2015 menunjukkan peningkatan sehingga 400 sarang di Pantai Melaka.

Hakisan pantai juga penting dijaga dan kerajaan telah memperuntukkan RM9 juta untuk penahan ombak pada 2016.

Selain penyelenggaraan dan memantau pendaratan penyu, penyelidikan dan pendidikan tentang penyu juga diberi tumpuan. Usaha perlindungan penyu sejak 1990 terus dilaksanakan bersama pelbagai agensi.

Kelab Pencinta Alam MNS sekolah misalnya menjalankan program pendidikan berterusan tentang penyu, habitat dan ancaman terhadap penyu.

Program Kelab Pencinta Alam sekolah juga perlu bersama dengan penduduk tempatan menjaga pantai yang menjadi lokasi pendaratan penyu.

Penglibatan penduduk tempatan dalam pemuliharaan penyu terutama dalam hal melarang pengutipan telurnya secara haram sangat diperlukan.

Pantai di Melaka merupakan pilihan utama pendaratan penyu selepas kepulauan di Sabah. Pantai pendaratan utama adalah sekitar Kem Terendak, Pasir Gembur, Balik Batu, Pulau Upeh, Teluk Belanga, Tanjung Dahan, Meriam Patah dan Tanjung Serai. Kerajaan negeri perlu mewartakan kawasan pantai tertentu sebagai tempat penting pendaratan penyu.

Ini penting bukan sahaja untuk pemuliharaan penyu, tetapi juga boleh menjadi tarikan pelancong, penyelidikan dan pendidikan. Pembangunan kawasan pantai dan aktiviti di pantai perlu diberi perhatian untuk kelestarian populasi penyu.

Usaha-usaha pengurusan dan pemuliharaan penyu di Malaysia telah dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan sejak 1960-an.

Program ini diteruskan hingga ke hari ini di negeri-negeri yang mempunyai pendaratan penyu seperti Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang.

Maklumat yang ada berkaitan pemuliharaan penyu sangat penting dikongsi dengan orang ramai sebagai bahan pendidikan dan kesedaran ke arah pemuliharaan penyu yang lebih berkesan.

Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Melaka telah dibina pada 1992 dengan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM 250,000.

Fungsi pusat tersebut adalah menjalankan program-program penetasan, pemuliharaan dan penyelidikan penyu di Melaka, menyediakan maklumat dan aktiviti pendidikan serta kesedaran bahawa spesies penyu perlu dilindungi, melindungi penyu daripada ancaman kepupusan, sebagai kawasan tarikan pelancong di Melaka serta menjadi pilihan pelawat luar dan dalam negara kerana paling hampir dengan Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Penambahbaikan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu terus dilakukan dengan menaik taraf pusat, pembelian telur penyu dan program kesedaran.

Di Sabah kerjasama Borneo Divers dan Sea Sport (Sabah) Sdn. Bhd. dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan kajian tentang penyu dan mendidik penduduk tempatan serta pelancong.tentang pemuliharaan ekosistem marin.

Dalam kesibukan menyambut WTD, terdapat juga pengutipan dan penjualan telur penyu secara haram di Sabah. Penjualan terus berlaku walaupun terdapat undang-undang dan denda yang tinggi mencapai RM50,000 atau penjara selama lima tahun di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1997. Harga sebiji telur penyu serendah RM2.

Penjualan telur penyu di Sabah dan Sarawak adalah diharamkan kerana populasi penyu hijau dan penyu karah terancam. Pendidikan dan penguatkuasaan mesti terus dilaksanakan demi menjamin kelestarian penyu di negara ini.

Penjualan telur penyu secara haram terus berlaku kerana terdapat permintaan dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong. Telur penyu dipercayai memberikan manfaat kesihatan dan meningkatkan potensi seks dalam kalangan masyarakat China, Indonesia, dan Vietnam.

Pengutipan aktif telur penyu seperti di Pulau Selingan memerlukan kawalan yang ketat bagi menghalang pengutip telur dan pemburu haram. Penyu juga terancam oleh haiwan pemangsa seperti biawak.

Pulau Bakkungan Kechil dan Pulau Gulisan juga dipantau. Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Filipina memantau aktiviti di kepulauan sempadan kedua-dua negara untuk pemuliharaan penyu dan habitat di Laut Sulu adalah antara langkah pemuliharaan yang baik. Aktiviti lintas sempadan laut sukar dibendung.

Empat daripada tujuh spesies penyu di dunia mendarat di Malaysia.

Penyu tersebut adalah penyu belimbing, penyu hijau, penyu karah dan penyu lipas.

Penyu hijau adalah yang paling biasa di Malaysia manakala penyu belimbing yang hanya dilaporkan mendarat di Rantau Abang, Terengganu sudah tiada lagi.

Penyu merupakan antara haiwan yang penting dalam keseimbangan ekologi marin.

Penyu hijau (Chelonia mydas) diancam kepupusan oleh pengutipan telur yang aktif, pemburuan penyu dewasa, terperangkap dalam jaring nelayan dan gangguan atau hilang tempat bertelur. Lain-lain spesies penyu juga turut terancam.

Penyu belimbing (Dermochelys coriacea) iaitu penyu yang paling besar di dunia dengan berat antara 250 hingga 700 kilogram tidak lagi kelihatan mendarat di Rantau Abang, Terengganu.

Menurut TUMEC, pada 2006 masih terdapat lima sarang tetapi tidak lagi kelihatan pada 2007.

Daripada lima sarang yang didapati pada 2006, tiada sebijipun telur menetas. Pada 1960-an penyu belimbing banyak mendarat di Rantau Abang.